Solat adalah tiang agama. Tanpa solat, hidup tak berguna, amal menjadi sia-sia dan rumahtangga porak peranda jadinya. Jadi kepada yang sukar untuk solat 5 waktu, cubalah untuk praktikkan tips yang ingin saya kongsikan ini. Tips ini saya praktikkan sejak saya Tingkatan 1. Semoga kita semua tetap mendirikan solat dalam kondisi apa jua pun.
Tanamkan Azam
Pertamanya, anda perlu menanam azam dan tekad yang kuat untuk mendirikan solat waktu 5 kali setiap hari. Ikhlaskan niat anda untuk melakukannya hanya kerana Allah. Dialah yang memberi banyak kenikmatan hidup kepada kita, sedangkan kita seringkali lalai dengan tugas sebagai hambaNya. Jadi, mulai hari ini tanamkan tekad untuk menjadi hamba yang tahu berterima kasih dengan mentaati suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Yakinlah bahawa anda mampu untuk melakukannya ! Kalau diri sendiri tak nak, memang tak jalan.
Solat di Awal Waktu
Sebaiknya anda meninggalkan segala urusan yang dilakukan (jika tidak memudaratkan) seperti menonton tv, membuat kerja rumah, bermain dan sebagainya sebaik sahaja anda mendengar azan dilaungkan oleh muazzin. Waktu ini adalah waktu yang paling tepat untuk memotivasikan diri anda mendirikan solat. Jangan sekali-kali bertangguh kerana ia akan memberatkan anda untuk mendirikan solat dan akhirnya waktu solat berlalu begitu sahaja.
Solat di Surau atau Masjid
Jika rumah anda tidak jauh dari masjid atau surau, gunakanlah kesempatan ini untuk membantu anda mendirikan solat 5 waktu. Terpulang kepada anda untuk solat 5 waktu di surau atau kurang daripada itu mengikut kemampuan anda. Tempat ini mempunyai cas positif yang banyak untuk memotivasikan diri anda serta memberi ketenangan dan kepuasan hidup. Solat di sini lebih khusyu' berbanding solat sendirian di rumah. Selain itu, anda juga akan mendapat kawan baru yang bakal memotivasikan diri anda untuk menjayakan misi ini. Mungkin pada permulaannya anda berat untuk ke surau, tapi beberapa ketika kemudian, anda akan jatuh cinta padanya. Bukankah orang yang mencintai surau dan masjid akan diberi lindungan ketika di padang masyar kelak? Jadi, ringankan langkah anda untuk ke sana.
Solat bersama-sama (berjamaah)
Anda mungkin boleh ke rumah teman yang juga ingin mendirikan solat fardu di surau. Wah, tentu seronok berlumba-lumba untuk beramal di jalan Allah ! Jika tidak, tak salah untuk mengajak ahli keluarga anda untuk solat bersama-sama. Solat berjemaah pahalanya berganda berbanding sendirian.
Doa
Berdoalah selalu agar anda diberi kekuatan dari Allah untuk tetap mendirikan solat dalam kondisi apa pun. Jadi pastikan anda membawa kelengkapan solat dan menutup aurat sebaiknya ketika keluar dari rumah. Jangan malu untuk singgah solat di masjid jika masuk waktu solat.
Perbaiki Kualiti Solat
Dalami ilmu berkaitan solat untuk memperbaiki kualiti solat anda. Lengkapkan solat fardu anda dengan solat sunat seperti solat rawatib, hajat, dhuha, taubat, tahajud dan sebagainya.
Hafaz surah baru
Adalah lebih lengkap jika anda menghafaz surah baru untuk dibaca dalam solat anda nanti. Anda juga boleh mengulang kembali surah yang telah dihafaz sebelum ini untuk lebih lancar. Jika berkesempatan, hafaz juga terjemahan bagi ayat yang anda hafaz agar dapat menambah kekhuyukan ketika solat.
Checklist dan hadiah
Untuk mengetahui prestasi kejayaan anda mendirikan solat 5 waktu setiap hari, tandakan setiap kejayaan anda dalam borang checklist solat 5 waktu anda. Memberi hadiah untuk diri sendiri juga perkara menarik untuk terus memotivasikan diri anda. Apa saja walaupun sekecil gula-gula.
Saya doakan agar kita semua diberi kekuatan untuk tetap mendirikan solat kerana solat adalah solusi utama dalam banyak masalah kehidupan kita. Maka, rajin-rajinkan diri untuk solat.
No comments:
Post a Comment