Friday, November 19, 2010

Fesyen Tudung Islami


Subhanallah. Masa berlalu begitu pantas sehingga fesyen tudung Islami juga turut mengorak langkah mengejar peredaran zaman. Tahniah buat wanita Islam yang bertudung. Fesyen tudung sekarang yang mudah dipakai tanpa memerlukan kesongsang dipinkan sana sini juga turut mendorong kanak-kanak bahkan bayi senang untuk memakainya. Satu pencapaian yang cukup hebat pada penilaian saya.

Dalam keseronokan kita menggayakan fesyen tudung yang pelbagai, saya ingin sekali mengembalikan diri sendiri dan rakan pembaca kepada Fesyen Tudung Islami yang sebenar. Jom kita koreksi diri .



Untuk apa kita bertudung ?
Setiap kali kita bertudung, bangkitkan persoalan dalam diri kita : Untuk apa kita bertudung ? Untuk kelihatan cantik ? Untuk dipuja-puji ? Atau untuk mentaati perintah Allah ? Jika yang terdetik dalam hati kita bertudung itu semata-mata hanya untuk selain Allah, maka bertudung itu bukan lagi sebagai ibadah yang mampu membawa kita ke syurga Allah, bahkan tudung yang cantik itu mungkin sekali membawa kita ke jurang neraka yang paling dalam. Mengapa tidak, dengan tudung yang bergaya, anda mampu menggoda pandangan lelaki yang memandangmu, membayangi setiap inci tubuhmu dan mungkin bakal meratah tubuhmu tanpa ikatan yang sah. Nauzubillah himinzalik.

Ciri-ciri keselamatan tudung ?
Jika topi keledar berfungsi untuk melindungi kepala penunggang dan pembonceng jika berlaku kemalangan, maka tudung juga berfungsi untuk melindungi bahagian tubuh wanita agar tidak dilihat lelaki ajnabi sehingga membawa kepada bencana yang bakal merosakkan tamadun manusia. Yang bakal menentukan keselamatan hidup di dunia hingga akhirat. Sedarlah sahabatku bahawa peranan tudung sangat besar untuk menjaga kepentingan kita. Jadi pastikan piawaian tudung melepasi tahap yang telah ditentukan oleh pihak SIRIM (Al-Quran dan As-Sunah)

Tidak jarang
Adakah kain jarang mampu menghalang pandangan lelaki dari melihat apa yang kita sembunyikan ? Tentu tidak ! Jadi pastikan kain tudung kita cukup tebal untuk tujuan perlindungan. Minta bantuan orang lain untuk melihat tahap ketebalan kain tudung setelah anda memakainya. Jika pemerhati masih dapat melihat bayangan leher anda di sebalik tudung, maka tudung itu tidak mampu menjamin keselamatan diri dan kehormatan anda. Carilah kain yang lebih tebal dan selamat.

Menutup rambut
Rambut adalah mahkota wanita, jadi simpanlah rambut anda untuk tontonan mereka yang benar-benar berhak ke atas anda dengan akad yang sah. Ia bukan barang murahan yang dijual di kaki lima. Maka pastikan rambut anda terlindung rapi di sebalik tudung dan serkup. Jika anda merasa bangga mempertontonkan jambul atau rambut yang disangka indah itu, sebaiknya anda kembali menyoal diri : banggakah aku bila orang dapat menyaksikan rambutku dibakar dengan api kelak ? Cukuplah syurga menjadi impian dan neraka menjadi pengajaran buat kita wahai sahabatku .

Menutup dada
Bab menutup dada agak mencabar dalam memilih tudung yang bersepah di pasaran. Jika anda sudah akil baligh, maka elakkan memakai tudung yang dipin ke belakang leher di hadapan lelaki ajnabi. Jika tudung tersebut menutup bahagian dada hadapan, mintalah pemerhati untuk memastikan tudung anda turut menutup bahagian tepi dada anda. Kenapa ia penting untuk anda ? Kerana dada adalah tempat pertama yang dipandang oleh mata lelaki. Jika anda ingin selamat, maka pastikan tudung anda juga mampu memberi tahap keselamatan yang tinggi untuk bahagian ini.

Menarik atau tidak
Seronoknya kalau dapat memakai tudung yang menarik. Betul tu ! Tapi simpanlah tudung sebegitu untuk dipakai di rumah dan bukan di hadapan lelaki ajnabi. Tudung yang manarik mampu menarik lebih banyak mata lelaki untuk memandang anda, dan tentu ia juga tidak selamat untuk anda. Jadi jangan memancing lelaki untuk bertindak lebih jauh tanpa ikatan yang sah (nikah). Pilihlah tudung yang kurang menarik perhatian umum yang mampu menjaga keselamatan diri dan kehormatan anda.

Bila sebenarnya kita bertudung ?
Bertudunglah dengan sebaiknya apabila wujudnya lelaki ajnabi atau perempuan bukan Islam yang mampu melihatmu. Ia tidak sekadar di jalanan, bahkan kuatkanlah dirimu untuk bertudung saat mereka wujud di dalam rumah dan tempat tinggalmu. Alah bisa tegal biasa. Yang kita perlu ikuti bukan kebiasaan ramai tapi kebenaran yang mampu membawa kita menemui Allah dengan jiwa yang aman. 

Tahukah anda ?
Jika kita memperbetulkan niat bertudung kerana Allah dan memakai tudung selamat yang mengikut syariat maka kita bukan sekadar menjadi hamba yang taat pada perintah Allah serta menjauhi laranganNya, tapi bertudung tersebut menjadi ibadah bahkan dakwah untuk mereka yang melihatnya. Subhanallah. Berubahlah sahabatku sebelum terlambat.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka meperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya"

[Surah An-Nur ayat 31]

Sehingga kita mampu merasakan bahawa kematian bukan sebuah ketakutan tapi jalan menuntut janji Tuhan. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya melainkan Allah. 
panduankelahiran

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com