Wednesday, November 10, 2010

Penilaian dan Stimulasi Kanak-kanak Normal 2


KEBANYAKAN kecacatan kanak-kanak boleh dielakkan sekiranya perkembangan awal dalam masa 12 bulan pertama selepas bayi dilahirkan diberi perhatian sepenuhnya oleh penjaga.


Pengesanan awal perkembangan kanak-kanak ini membolehkan penjaga melakukan langkah selanjutnya iaitu membuat stimulasi atau rangsangan bagi membetulkan keadaan.




Menurut pakar perunding pediatrik dan juga pensyarah di Jabatan Pediatrik Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr. Wan Asma Wan Ismail, secara normalnya, perkembangan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada empat aspek utama.



Empat aspek itu ialah perkembangan kanak-kanak dari segi motor kasar, perkembangan pergerakan motor halus dan penglihatan, perkembangan pertuturan dan bahasa serta perkembangan sosial.



"Perkembangan motor kasar adalah perkembangan yang terpenting sekali kerana jika terbantut atau tidak mengikut tahap sepatutnya, maka ia akan menjejaskan pergerakan-pergerakan lain kanak-kanak itu.



"Perkembangan motor kasar merujuk kepada kebolehan kanak-kanak menggunakan otot-otot besar atau otot kasar mereka termasuklah otot-otot di leher, belakang, badan, lengan dan kaki,'' katanya ketika ditemui di Kubang Kerian, Kelantan, baru-baru ini.



Menurut beliau, bayi normal yang baru dilahirkan berkebolehan untuk menggerakkan semua kaki dan tangannya secara bebas dan aktif walaupun tanpa tujuan tertentu.



Bagaimanapun bagi bayi yang bermasalah semasa dilahirkan seperti lemas serta tidak cukup bulan, pergerakan ini akan mengalami sedikit sebanyak gangguan.



Ibu bapa perlu mengambil tindakan susulan jika tanda-tanda awal seperti lemahnya kawalan leher yang baik walaupun bayi berusia tiga bulan ke atas atau bayi hanya menggerakkan sebelah anggotanya sahaja.



Langkah-langkah stimulasi seperti aktiviti-aktiviti rangsangan untuk kawalan kepala perlu dilakukan bagi membaiki keadaan ini.



Perkembangan seterusnya yang perlu dilalui oleh bayi-bayi yang normal jelas Dr. Wan Asma, ialah perkembangan pergerakan halus dan penglihatan.



Ia merujuk kepada kebolehan mengguna dan mengawal pergerakan yang dilakukan oleh otot-otot kecil dan halus yang terdapat pada jari-jari tangan dan otot-otot di lengan.



"Jika bayi masih menggenggam jari-jarinya pada kebanyakan masa selepas berumur enam minggu ke atas, terutamanya semasa bayi berumur tiga bulan, ini mungkin menunjukkan tanda-tanda awal kerencatan otak jenis spastik.



"Bayi juga seharusnya memandang muka seseorang dengan tepat,'' jelasnya.



Perkembangan seterusnya yang perlu diperhatikan ialah dari segi pertuturan dan bahasa.



Dalam aspek ini, tanda-tanda yang perlu diperhatikan ialah jika bayi terlalu baik tanpa menangis atau lapar, atau tidur sepanjang masa terutamanya selepas berumur enam minggu ataupun menangis tidak berhenti-henti tanpa sebab.



Bayi yang tidak bertindak balas dengan bunyi yang kuat atau tidak menunjukkan tindak balas ketika kita bercakap dengannya juga perlu diberi perhatian.



"Jika bayi tidak menunjukkan apa-apa tindak balas terhadap bunyi yang kuat, ini memerlukan pengesahan dari doktor,'' jelasnya lagi.



Seterusnya, perkembangan sosial merujuk kepada kecenderungan bayi untuk melihat dan memerhatikan wajah ibu terutama sekali apabila ibunya bercakap-cakap dengannya.



"Ini adalah kebolehan sosial bayi yang pertama dan bayi mula memberikan senyuman yang bermakna kepada ibunya semasa berumur enam minggu ke atas,'' katanya.



Bagi memberi bimbingan yang lebih terperinci terutamanya untuk mengesan tanda-tanda awal perkembangan kanak-kanak serta langkah yang boleh diambil untuk mengatasinya, sebuah kit semakan perkembangan awal kanak-kanak kini diterbitkan.



Kit Semakan Perkembangan dan Stimulasi Awal Kanak-Kanak ini akan dilancarkan pada Mac tahun hadapan.



Terang Dr. Asma, kit ini mempunyai 155 slide perkembangan kanak-kanak serta proses stimulasi yang boleh dilakukan oleh penjaga.



Buku baru tulisan beliau sendiri bertajuk Penilaian dan Stimulasi Kanak-Kanak Normal dua cakera padat mengenai perkembangan kanak-kanak serta penilaian dan proses-proses stimulasi kanak-kanak turut dimuatkan dalam kit ini.



Penjaga juga boleh membeli komponen-komponen di dalam kit ini secara berasingan.



Kit ini juga turut disasarkan kepada jururawat untuk membolehkan mereka memberi nasihat kepada penjaga agar melakukan stimulasi atau rangsangan tertentu sementara menunggu temu janji dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.



Mereka yang berminat untuk mendapat kit atau buku boleh menghubungi Dr. Wan Asma sendiri di Jabatan Pediatrik, PPSP USM Kubang Kerian, Kelantan atau menghubungi beliau di talian 09-7651711 sambungan 2192.


No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com