Assalamualaikum semua.
Semestinya kita tidak sunyi daripada menerima teguran, lembutnya terkadang sukar untuk mengubah kelakuan bahkan ada teguran yang sangat tajam sehingga menikam ke jantung. Terkadang air mata gugur kerana sebuah teguran yang hadir secara tiba-tiba. Walau bagaimanapun rupa sebuah teguran itu, hakikatnya kita perlukan teguran untuk memperbaiki kualiti prestasi diri kita dan hidup yang kita jalani. Tapi bagaimanakah cara kita bersikap apabila ditegur ?
1. Sabar
Saat anda dilempar dengan teguran, komen atau kritikan, tindakan anda yang pertama adalah SABAR. Dengarkan semua kata-kata yang dilontarkan oleh pengkritik tanpa membalas dengan keras. Siapa pun dia, apa pun statusnya, berapa pun usianya : jangan dipersoalkan. Diamkan mulut anda yang satu dan mendengarlah dengan dua telinga anda.
2. Ucapkan terima kasih
Setelah si pengkritik selesai menyampaikan kritikan, belajarlah untuk mengucapkan terima kasih. Bukan mudah untuk seseorang menyampaikan teguran di hadapan kita. Betapa sikap berani tersebut perlu kita hargai kerana ramai yang lebih suka membincangkan keburukan kita di belakang kita. Menjaja-jajanya sehingga seluruh isi bumi dan langit mengetahuinya.
3. Tenang & fikir
Mungkin anda ingin mencari kawasan yang tenang untuk meredakan perasaan anda. Maka lakukanlah tadabbur Quran, tafakur alam atau menangis semahu-mahunya. Kemudian timbang-timbangkan teguran yang telah meluluhkan hati anda tadi. Hakikatnya, tak ramai orang yang mampu memberi teguran yang berhikmah tapi belajarlah untuk menerima apa yang diungkapkan.
4. Bertindak
Jika teguran itu benar dan anda mampu untuk berubah menjadi lebih baik. Maka lakukanlah perubahan tersebut walaupun perit kerana ia bagus untuk kecemerlangan diri anda. Mungkin perubahan itu tidak mampu dilaksanakan sekarang tapi pada masa mendatang. Berbincanglah dengan orang yang dipercayai dan pakar untuk membantu anda. Jika perubahan itu penting untuk agama anda, maka mohonlah pertolongan Allah untuk mempermudahkan urusan anda. Berubahlah kerana Allah.
5. Elakkan Permusuhan
Jika teguran itu tidak benar dan sebagainya, maka maafkanlah pengkritik tersebut kerana kita sendiri pun terkadang khilaf memberikan pendapat, tersasar dalam penelitian. Islam itu bersaudara dan tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri. Belajarlah untuk memaafkan kesilapan orang lain.
Saat kritikan itu dilontarkan padamu, maka sambutlah dengan rela hati. Berubahlah sayangku kerana kau punya waktu untuk itu.
memberi dan menerima teguran.. 2-2 juga sukar, namun teguran yang membina pasti mudah dietrima berbanding teguran yg menjatuh..
ReplyDeletebetul tu.semogamenegur, menerima teguran dan berubah, semuanya krn Allah.
ReplyDelete