Assalamualaikum semua.
Anda tahu tentang kitar hidup kupu-kupu ? Dalam istilah sains, ia dipanggil metamorfosis kupu-kupu. Proses ini menjelaskan tentang ciri-ciri yang dialami dan gaya hidup serta cabaran kupu-kupu sejak dari telur, ulat kecil, ulat besar, kepompong hingga terbang tinggi dengan megah sebagai kupu-kupu yang hebat. Saya suka untuk mengumpamakan kitar hidup kita juga seperti itu. Tapi kenapa ?
Hidup kita bermula saat persenyawaan benih ayah dan ibu menjadi zigot, embrio, fetus, bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan orang tua. Kemudian kita akan mati seperti yang telah dijanjikan oleh Allah. Setiap fasa tersebut melibatkan perubahan ciri yang amat ketara dari segi saiz, cabaran hidup dan tanggungjawab yang perlu kita lunasi. Itulah metamorfosis kehidupan kita.
Kita tidak mampu untuk menyekat pertumbuhan kita menuju fasa hidup yang seterusnya dengan alasan ingin lari dari tanggungjawab yang cukup membebankan. Tapi yang pasti kita perlu siap menghadapi cabaran yang bakal mendatang. Persiapan awal menghadapi tanggungjawab yang bakal kita lunasi sedikit sebanyak akan membantu melancarkan serta memudahkan jalan hidup kita.
Secara alami, prestasi hidup seseorang sedikit merudum tatkala memasuki fasa baru. Masih ingat lagi tangisan anda tatkala takut ditinggalkan ibu di sekolah. Homesick dan kejutan budaya tatkala baru melangkah ke asrama dan universiti. Terkejut dengan perubahan baru dalam hidup tatkala baru menjejaki alam perkahwinan dan beranak-pinak. Lalu siaplah untuk beradaptasi dengan perubahan hidup yang bakal kita lalui. Belajarlah untuk terus mencipta kejayaan dalam setiap fasa yang kita lalui.
Tentunya kupu-kupu juga menghadapi kesukaran yang sama di setiap fasa hidupnya, tapi ia terus berjuang sehingga mampu terbang tinggi dengan gayanya. Setinggi mana ia terbang cabaran akan tetap perlu dihadapinya, begitu jua dengan kita.
Sebelum berakhir, ingatlah hidup bukan sekadar di dunia, akhirat masih ada menunggu kita. Semoga berbahagia di dunia dan akhirat. Amin.
No comments:
Post a Comment