Anda mungkin tertanya-tanya kenapa banyak kes jenayah yang tercetus di negara kita ? Kenapa seorang ibu sanggup membuang anak yang dikandung 9 bulan ? Kenapa zina dan couple kini dianggap biasa-biasa sahaja ? Kenapa hukuman gantung pada pengedar dadah tidak berjaya menangani masalah dadah ? Kenapa ? Kenapa ? dan kenapa ? Semua tak belajar tentang Islam ke kat sekolah ?
Jawapannya semua yang pernah bersekolah belajar tentang Islam, hadiri fardu ain dan lulus ujian KAFA. Tapi persoalannya seramai manakah yang mempraktikkan Islam dalam kehidupan mereka ?
Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah mendedahkan, 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu sehari. Peratusan ini diperoleh melalui tinjauan beliau dalam program-program ceramah dan motivasi yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam masa kini.
Tambah beliau, hanya sekitar 17 hingga 20 peratus sahaja yang cukup menunaikan solat fardu lima waktu sehari. Jumlah ini terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah penganut agama Islam di negara ini. Lebih menyedihkan, dalam kalangan pelajar sekolah menengah, hanya 15 peratus sahaja mengaku mengerjakan solat lima kali sehari. Bayangkan...
15 peratus itu pun jumlah pelajar yang melakukan solat, atau 20 peratus bagi orang awam. Kekhusyukannya, kesempurnaannya bagaimana pula? Perkara ini perlu kepada perbincangan lain yang lebih khusus pula. Namun dengan bersangka baik sekalipun, angka 20 peratus itu sudah cukup menakutkan bagi satu kewajipan yang Nabi ingatkan menjadi pembeza antara Muslim dengan kafir.
Jika solat pun sudah ditinggalkan, maksudnya diri sudah tidak takut pada Allah. Tiada lagi erti syurga dan neraka pada diri. Jadi mereka tidak takut untuk melakukan apa sahaja walaupun dilarang oleh agama kerana nafsu sudah pun ditabalkan menjadi raja.
Jika kita ingin menjaga diri dan keluarga daripada terjebak dalam masalah sosial, maka pantaulah perlaksanaan solat 5 waktu. Jika anda mencintai keluarga anda, kejutlah mereka untuk melaksanakan solat subuh, ingatkan mereka untuk sentiasa mendirikan solat saat azan dikumandangkan. Ajaklah dengan cinta dalam mencari cinta Allah menuju negara kekal abadi.
Jika benar kita bersusah payah untuk mencari sesuap nasi di dunia, sanggupkah kita bersusah payah untuk hidup selesa di akhirat sana ?
No comments:
Post a Comment