Showing posts with label susu ibu. Show all posts
Showing posts with label susu ibu. Show all posts

Sunday, January 29, 2012

Bagaimana Menceraikan Susu Anak Anda ?

Saya menceraikan susu anak pertama saya pada usianya 3 tahun 6 bulan dan anak ke-2 pada usia 1 tahun 11 bulan. Pada saya, bukan senang untuk menceraikan susu badan dengan anak. Buktinya, saya menyusukan anak pertama dan kedua serentak (tandem nursing) selama setahun lebih. Akhirnya, saya nekad untuk menceraikan susu anak pertama saya. Kemudian menceraikan susu anak kedua saya walaupun sempat tandem nursing sebulan dengan anak ketiga. Jawapan untuk kejayaan ini adalah TEKAD YANG BULAT.

Tiba masanya, anak perlu bercerai dengan susu ibunya kerana susu ibu tidak lagi dapat memenuhi nutrien yang diperlukan oleh anak mereka. Jadi, jika anda ingin melakukannya, lakukan dengan tekad yang bulat. Jangan sekali-kali kesian melihat mereka menangis untuk menyusu lalu menyusukannya. Jika ia terjadi, maka anda akan lebih sukar untuk menceraikan susunya. Gantikan susu anda dengan susu formula dan makanan yang berkhasiat lainnya.

Gunakanlah kekreatifan anda untuk mengelakkan dia menyusu dengan anda dan berilah semangat untuknya mencuba susu yang baru kerana dia sudah cukup besar untuk terus menyusu dengan anda. Lama kelamaan anak anda akan cukup mandiri untuk tidak menyusu lagi dengan anda. Selamat mencuba.

Wednesday, September 1, 2010

Kekangan dalam menjayakan Penyusuan Ibu

Seringkali ibu-ibu baru yang bercadang untuk menyusukan anaknya dengan susu ibu secara eksklusif akan menghadapi kekangan dan cabaran seperti berikut:
  1. Kita hidup di dalam masyarakat yang menganggap penyusuan susu formula adalah lumrah (perkara biasa) untuk bayi.
  2. Masyarakat sedar penyusuan ibu adalah baik untuk bayi dan ibu tetapi susu formula masih dilihat pilihan yang baik, tambahan pula dalam keadaan penyusuan ibu tidak begitu berjaya.
  3. Ibu-ibu baru tidak mendapat sokongan keluarga, saudara mara dan rakan-rakan yang menyokong penyusuan ibu atau yang berjaya dalam penyusuan ibu untuk berkongsi pendapat, pengetahuan dan pengalaman.
  4. Profesional kesihatan seperti doktor dan jururawat menerima penyusuan susu formula adalah penyelesaian kepada masalah penyusuan ibu tanpa memberi nasihat /cadangan bagaimana mengatasi masalah penyusuan ibu yang dialami.
  5. Agensi kerajaan tidak memahami kepentingan penyusuan ibu dan mengapa kerajaan harus memperbanyakkan usaha mempromosikan penyusuan ibu.
  6. Media massa memperoleh pendapatan lumayan daripada pengiklanan susu formula tanpa menghiraukan kesan buruk pengaruhnya kepada masyarakat umum.
  7. Syarikat susu formula membelanjakan wang yang banyak untuk promosi yang ada ketikanya melanggar etika yang digariskan dalam kod etika WHO berkaitan promosi dan pemasaran susu formula.
  8. Pandangan umum mengatakan ibu-ibu tidak perlu merasa “bersalah” sekiranya tidak menyusukan anak mereka dengan susu ibu.

Pendapat umum #1: Kita selalu menganggap jika penyusuan ibu tidak berjaya, penyusuan susu formula adalah pilihan kedua terbaik untuk menyusukan bayi.
Hakikatnya: WHO telah menggariskan secara jelas bahawa susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Pilihan kedua ialah penyusuan susu ibu yang diperah. Jika gagal juga maka pilihan ketiga ialah susu ibu daripada ibu susuan. Jika tidak dapat diperolehi maka barulah susu formula boleh diberikan kepada bayi (pilihan keempat!)

Pendapat umum #2: Profesional perubatan seperti doktor dan jururawat tahu banyak perkara berkaitan penyusuan ibu (atau penyusuan yang sesuai untuk ibu berikan kepada bayinya).
Hakikatnya: Memang semua profesional perubatan menyokong penyusuan ibu kerana agak sukar menafikan kebaikan susu ibu berbanding susu formula. Tambahan pula hampir semua hospital telah menggariskan polisi penyusuan ibu di hospital masing-masing. Namun ramai profesional perubatan tidak dapat membantu ibu sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah berkaitan penyusuan ibu. Ketidakupayaan ini mungkin berpunca daripada pengalamannya sendiri. Pasti sukar memberi nasihat atau galakan kepada ibu-ibu untuk menyusukan bayinya dengan susu ibu sedangkan diri sendiri gagal memberikan susu ibu kepada anaknya. Malah ramai doktor mengakui penyusuan ibu tidak ada di dalam sukatan pelajaran ketika di universiti.

Kenalpasti antara tanda-tanda atau petunjuk seseorang profesional perubatan (doktor/jururawat) menyokong penyusuan ibu:
  • Tidak mempamerkan bahan cetak atau logo mana-mana syarikat pengeluar susu formula di kliniknya termasuk carta pertumbuhan kanak-kanak.
  • Poster, brosur dan maklumat penyusuan ibu dipamerkan di klinik.
  • Menyenaraikan kumpulan sokongan yang boleh dirujuk oleh ibu-ibu sekiranya menghadapi masalah penyusuan ibu.
  • Tidak menyebarkan brosur atau risalah (walaupun berkaitan penyusuan ibu) daripada syarikat pengeluar susu formula.
  • Tidak memberikan “gift pack” berupa sampel susu formula.
  • Sebelum bersalin, ibu-ibu diberi nasihat dan panduan berkaitan penyusuan ibu dan kepentingan penyusuan ibu pada 1 jam pertama selepas kelahiran.

Kod Antarabangsa Pemasaran Susu Formula (1981).
  • Syarikat pengeluar susu formula tidak boleh memasarkan secara terus sebarang produk (susu formula, botol atau puting tiruan, dan makanan tambahan) kepada pengguna. Wakil syarikat pengeluar tidak dibenarkan mempromosikan produk mereka kepada wanita hamil, ibu-ibu baru atau ahli keluarga mereka terutamanya di wad bersalin, klinik atau hospital.
  • Syarikat pengeluar susu formula tidak dibenarkan memberikan sampel percuma atau potongan harga istimewa kepada wanita hamil, ibu-ibu baru atau ahli keluarga mereka.
  • Informasi saintifik berkaitan susu formula hanya boleh diberikan kepada profesional perubatan.
  • Informasi berkaitan penyusuan untuk bayi hanya boleh diberikan oleh kerajaan bukannya oleh syarikat pengeluar susu formula.
  • Semua sumbangan derma atau peralatan perubatan daripada syarikat pengeluar susu formula kepada pihak tertentu (klinik / hospital) perlu diumumkan secara terbuka dan tiada keistimewaan boleh diberikan kepada syarikat tersebut kerana sumbangannya itu.
Persoalannya.. adakah kod etika ini dipatuhi sepenuhnya di negara kita??

Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answers by Jack Newman, M.D., and Teresa Pitman.
http://www.momschoice.com.my/blog/

panduankelahiran

Risiko yang mungkin dihadapi bayi tidak diberi Susu Ibu

Berikut adalah senarai risiko penyakit/masalah yang mungkin dihadapi oleh bayi yang tidak diberi susu ibu hasil kajian pakar:

1. Perkembangan kognitif dan kecerdasan.

  • Perkembangan otak bayi belum sempurna sebaik dilahirkan, malah pembentukan dan perhubungan sel-sel saraf berkembang pesat dalam 3 tahun pertama hayatnya. Apabila proses ini selesai, sel otak boleh mati namun tidak akan berganti. Susu ibu yang memang khusus untuk bayi manusia mengandungi semua nutrien yang diperlukan untuk perkembangan otak bayi untuk mencapai potensi maksimum. Sebaliknya susu formula tidak mengandungi semua nutrien tersebut (malah kita tidak mengetahui dengan tepat apakah kandungan sebenarnya!)
  • Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang diberi susu ibu ketika bayi menunjukkan skor yang tinggi dalam ujian kepintaran.
  • Para pengkaji juga mendapati kanak-kanak yang minum susu ibu dalam jangka waktu lama menunjukkan skor kepintaran yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang minum susu ibu dalam jangka masa singkat.


2. Diabetes.

  • Diabetes jenis I (yang diwarisi secara genetik) biasa dikesan di kalangan kanak-kanak . Kajian ke atas kanak-kanak yang tidak diberi susu formula (sekurang-kurangnya sehingga umurnya 1 tahun) mendapati bahawa kanak-kanak tersebut mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk menghidap diabetes.


3. SIDS (Sudden Infant Death Syndrome).

  • SIDS ialah situasi kematian mengejut bayi, biasanya ketika tidur. Tidak diketahui penyebab terjadinya kematian begini. Namun begitu kajian menunjukkan bayi yang diberi susu formula lebih tinggi risiko terjadinya SIDS.


4. Masalah pernafasan.

  • Peningkatan penyakit asma di kalangan kanak-kanak amat ketara pada masa sekarang. Tidak dinafikan faktor persekitaran menyumbang kepada peningkatan tersebut termasuk pendedahan kepada pencemaran udara dan pertambahan bilangan kanak-kanak di nurseri, tadika serta pusat jagaan mendorong pendedahan kepada virus pada usia muda.
  • Kajian menunjukkan pemberian susu formula kepada bayi meningkatkan risiko kepada asma dan juga masalah pernafasan lain seperti respiratory syncytial virus (RSV). Kanak-kanak ini juga lambat sembuh berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu.


5. Jangkitan telinga.

  • Jangkitan telinga agak biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Kajian mendapati risiko terjadinya otitis media (jangkitan telinga) lebih tinggi di kalangan kanak-kanak yang diberi susu formula.
  • Jangkitan telinga sangat sakit bagi bayi/kanak-kanak dan boleh menyebabkan komplikasi lain – pengumpulan cecair di dalam telinga dalam jangka masa yang lama akibat jangkitan itu boleh menyebabkan masalah pendengaran dan perkembangan pertuturan pada kanak-kanak tersebut.


6. Kanser.

  • Kajian mendapati kanak-kanak kecil yang minum susu formula mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser pada usia mudanya.


7. Jangkitan saluran pencernaan.

  • Tidak dapat dinafikan masalah sistem pencernaan berkait rapat dengan apa yang dimakan. Pemberian susu formula meningkatkan risiko terhadap cirit birit dan lebih buruk lagi mengalami fasa penyembuhan yang perlahan. Ini adalah kerana apabila bayi mengalami cirit birit dan muntah-muntah, doktor selalu menasihatkan supaya mengurangkan pemberian susu formula dan banyakkan minum air (untuk mengelakkan kekontangan). Kurang menyusu bermakna kurang nutrien diperoleh bayi. Sebaliknya bayi yang minum susu ibu masih boleh terus menyusu. Oleh itu bayi akan mendapat nutrien yang cukup dan juga antibodi yang akan membantunya membunuh kuman yang menyebabkan jangkitan pada saluran pencernaannya.
  • Bayi yang minum susu ibu juga jarang-jarang mengalami sembelit sebaliknya bayi yang minum susu formula sering mengalami masalah pembuangan air besar.


8. Keberkesanan vaksin.

  • Pemberian susu formula mengurangkan keberkesanan pemvaksinan dengan mengurangkan respon bayi terhadap penghasilan antibodi di dalam badan.
  • Sebaliknya bayi yang minum susu ibu memberi respon yang baik kepada pemvaksinan dan menghasilkan lebih banyak antibodi di dalam badannya.
  • (Catatan peribadi: pemvaksinan ialah kaedah imunisasi dengan cara menyuntik vaksin ke dalam badan. Suntikan vaksin akan merangsang sel darah putih menghasilkan antibodi untuk melindungi badan daripada jangkitan penyakit.)


9. Perkembangan rahang dan otot muka.

  • Adakah anda menyedari bahawa teknik hisapan bayi yang minum melalui botol (susu formula) berbeza dengan bayi yang minum susu ibu daripada payudara ibunya? Sesetengah orang mengakui bahawa bayi yang minum susu ibu dapat dikenal melalui pipinya yang cantik membulat!
  • Perkembangan rahang, otot muka dan pipi ini akan ketara kepentingannya apabila bayi ini membesar menjadi kanak-kanak nanti kerana bayi yang minum susu ibu apabila besar kelak kurang memerlukan rawatan pergigian berbanding kanak-kanak yang minum susu formula.
  • Penyusuan ibu menjadikan pembentukan rahang dan otot muka terbentuk dengan baik dan seterusnya menghasilkan rahang yang cantik dan gigi yang tersusun rapi.


10. Obesiti

  • Bayi yang minum susu formula juga terdedah kepada masalah obesiti (kegemukan) pada usia muda (kanak-kanak dan remaja).

Kesimpulan: banyak lagi masalah kesihatan lain yang boleh berlaku apabila bayi tidak diberi susu ibu dan diganti dengan permberian susu formula. Ini termasuk eczema, masalah jantung, alergi, kolik, meningitis dan sebagainya.


[Nota peribadi: Susu ibu diciptakan spesifik untuk tiap-tiap bayi di dunia, mengandungi semua yang terbaik untuknya.]

Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answer, by Jack Newman M.D and Teresa Pitman.

http://www.momschoice.com.my/blog/

relaktasi

Definisi relaktasi (relactation) menurut Dr. Jack Newman,

Relactation refers to restarting breastfeeding with the same baby after it has been stopped for some reason.

Sebab-sebab sesetengah ibu berusaha untuk relaktasi adalah kerana bayi tidak sesuai dengan susu formula, masalah kesihatan bayi, kekesalan kerana berhenti menyusukan bayi terlalu awal atau mungkin kerana perubahan tugas sepeti berhenti kerja dan menjaga bayi sepenuh masa.

Usia 6 bulan ke bawah adalah usia yang realistik untuk kejayaan relaktasi namun ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi jika usia bayi lebih daripada 6 bulan.

Dalam usaha untuk menjayakan relaktasi, ada 2 perkara yang perlu diambil perhatian:

  1. memujuk bayi untuk kembali menyusu daripada payudara ibu;
  2. mencetuskan penghasilan susu (jika susu sudah “tiada”) atau meningkatkan penghasilan susu (jika susu ibu kurang).

Kebarangkalian untuk kejayaan relaktasi bergantung kepada beberapa faktor:

Faktor #1 – Pengeluaran susu sebelum berhenti

  • Jika ibu pernah menghasilkan susu yang banyak sebelum berhenti menyusu dahulu, kemungkinan untuk menghasilkan susu semula adalah lebih tinggi.
  • Namun begitu jika bayi berhenti menyusu dahulu kerana ibu “kurang susu”, ibu masih boleh mencetuskan susu semula kerana kemungkinan “kurang susu” berlaku kerana kesilapan teknikal.

Faktor #2 – Berapa lamakah bayi sudah berhenti menyusu daripada ibu?

  • Semakin lama bayi sudah berhenti menyusu, semakin sukar untuk memujuknya kembali menyusu daripada ibu.
  • Memang lebih sukar untuk memujuk bayi yang lebih besar untuk kembali menyusu daripada ibu kerana kebiasaan yang “selesa” dengan penyusuan botol dan susu formula.
  • Namun begitu ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi, walaupun tidak berjaya untuk menyusu secara eksklusif tetapi sekurang-kurangnya sedikit itu lebih baik daripada tiada.

Faktor 3# – Berapa lamakah tempoh bayi pernah menyusu daripada payudara ibu?

  • Semakin lama tempoh bayi pernah menyusu daripada ibunya semakin mudah untuk memujuknya menerima susu ibu semula.
  • Jika bayi pernah menyusu secara eksklusif selama 16 minggu (4 bulan), lebih mudah untuknya kembali menyusu daripada ibu berbanding bayi yang hanya menyusu 2 bulan sahaja.
  • Namun sekali lagi ditegaskan, ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi.

Faktor #4 – Kesediaan ibu.

  • Relaktasi memerlukan kesediaan yang bersungguh-sungguh daripada ibu.
  • Ibu yang tidak bekerja memang lebih mudah untuk relaktasi kerana relaktasi memerlukan usaha dan kesabaran yang tinggi.
  • Sesetengah ibu yang bekerja mengambil cuti panjang untuk menjayakan relaktasi.

Bagaimana caranya?

1. Relaktasi apabila bayi bersedia menyusu daripada payudara ibu.

  • Jika bayi dapat menerima puting payudara ibu maka usaha relaktasi menjadi lebih mudah.
  • Bagaimana melatih bayi menerima payudara ibu semula?
  1. Kebiasannya ibu-ibu mula melatih bayi menerima payudara ibu pada waktu malam sebelum tidur;
  2. Tawarkan puting payudara ibu pada ketika bayi dalam keadaan relaks, tidak terlalu lapar, tidak terlalu mengantuk, dalam bilik yang agak gelap, dan tiada gangguan bunyi bising;
  3. Ambil masa untuk mendakap, membelai dan mengusap bayi dengan lembut dan mesra;
  4. Jadikan sesi penyusuan sebagai sesi yang membahagiakan;
  5. Jika bayi menolak payudara ibu, jangan berputus asa, bersabar dan cuba lagi.
  6. Jangan memaksa bayi menerima payudara kerana ini menyebabkan bayi stress.
  • Ada 2 paten penerimaan bayi terhadap payudara ibu;
  1. bayi menghisap puting payudara ibu untuk ketenangan seolah-olah seperti menghisap pacifier (puting kosong) dan bayi tidak kisah dengan pengeluaran susu ibu yang sedikit.
  2. bayi menerima payudara ibu kerana merasa ada susu dihasilkan tetapi berhenti sebaik penghasilan susu berkurang.
  • Paten 1. Jika bayi hanya menghisap payudara untuk menenangkannya, ibu-ibu wajar memberhentikan pemberian puting kosong secara perlahan-lahan. Gantikan dengan penyusuan daripada payudara ibu.
  • Namun begitu ibu masih perlu menggunakan lactation aid (sejenis peralatan khusus) yang diisi dengan susu formula.
  • Biarkan bayi menghisap payudara ibu untuk merangsang pernghasilan susu ibu.
  • Jika susu ibu dihasilkan dengan baik, kurangkan pengaliran susu melalui lactation aid.
  • Paten 2. Sebaliknya jika bayi menghisap payudara ibu kerana mahukan susu ibu, lactation aid yang diisikan susu formula boleh digunakan.
  • Susu formula di dalam lactation aid perlu diberikan supaya bayi tidak mengamuk kerana kekurangan susu.
  • Rasionalnya ialah jika bayi mengamuk dia mungkin menolak terus payudara ibu maka rangsangan terhadap payudara ibu tidak dapat dilakukan.
  • Jika bayi terus mengamuk dan tidak mahu menyusu lagi daripada payudara ibu, jangan putus asa… tawarkan susu formula kepada bayi tetapi beri bayi minum menggunakan sudu/cawan dan bukannya botol dan puting tiruan kerana bayi akan keliru puting dan usaha menggembalikan bayi kepada payudara ibu akan terganggu.

MEDELA Supplemental Nursing System (SNS)

2. Relaktasi apabila bayi tidak mahu menyusu daripada payudara ibu.

  • Jika bayi tidak mahu menyusu daripada puting payudara ibu, harapan ibu adalah kepada usaha peningkatan penghasilan susu ibu.
  • Jika susu ibu bertambah kemungkinan untuk bayi kembali menyusu daripada ibu adalah lebih cerah.
  • Atau sekurang-kurangnya ibu boleh memerah susu dan memberikannya kepada bayi.
  • Dalam pada itu ibu boleh melatih bayi secara perlahan-lahan untuk kembali menyusu terus daripada ibu.
  • Bagaimana meningkatkan penghasilan susu?
  1. perah/pam dengan kerap
  2. makan makanan berkhasiat dan seimbang
  3. makan makanan penambah susu seperti Fenugreek
  4. menggunakan ubat-ubatan (minta nasihat doktor) seperti Domperidone (motilium)
  5. kurangkan stress
  6. berfikiran positif

Kesimpulan: Relaktasi bukanlah usaha yang mudah. Ia boleh mengambil masa secepat 2 minggu atau selewat-lewatnya sebulan untuk berjaya atau langsung gagal. Namun ibu-ibu wajar berusaha dengan yakin dan bersungguh-sungguh jika benar-benar mahu menjayakan penyusuan semula kepada bayi. Minta nasihat doktor atau pakar laktasi untuk bimbingan yang lebih sempurna.


http://www.momschoice.com.my/blog/

Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answers by Jack Newman, M.D., and Teresa Pitman; kellymom.com, naturalchildbirth.org, idahopublichealth.com

Induce Lactation (Mencetuskan Penyusuan Ibu)

Artikel ini ditujukan khusus kepada ibu-ibu yang mengambil anak angkat dan berusaha untuk menjadi ibu susuan kepada anak angkat.


Mencetuskan penyusuan ibu atau induce lactation bagi ibu angkat yang hendak menyusukan anak angkat bukanlah perkara mudah kerana biasanya ibu-ibu ini tidak pernah hamil atau tidak pernah melahirkan anak sebelum itu. Jadi proses pembentukan dan kematangan kelenjar mamari seperti yang dialami semasa proses kehamilan tidak pernah berlaku kepada ibu-ibu ini. Namun begitu ini tidak boleh menjadi penghalang untuk ibu-ibu angkat berusaha untuk menghasilkan susu ibu untuk diberikan kepada anak angkat mereka.


Memberikan susu ibu kepada anak angkat bukanlah semata-mata untuk tujuan menjadikan anak itu muhrim kepada ibu bapa angkat tetapi lebih kepada memberikan makanan terbaik untuk bayi. Susu ibu tetap yang terbaik berbanding susu formula. Seperti yang dinyatakan oleh Dr Jack Newman di dalam bukunya, “The Ultimate Breastfeeding Book of Answers”, susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Susu formula adalah pilihan keempat selepas susu perahan ibu dan susu ibu dari ibu susuan.


Semasa kehamilan badan wanita akan meningkatkan penghasilan hormon progesteron dan estrogen (dirembeskan oleh ovari) dan hormon prolaktin (dirembeskan oleh kelenjar pituitari) untuk menyediakan payudara untuk penyusuan ibu. Di akhir kehamilan, aras progesteron dan estrogen akan menurun manakala aras prolaktin akan bertambah untuk memulakan penghasilan dan pengeluaran susu ibu di payudara. Prosedur inilah yang cuba ditiru untuk membolehkan ibu-ibu yang tidak pernah hamil mengalami proses mencetuskan susu ibu di payudara mereka. Apabila susu ibu sudah berjaya dihasilkan maka langkah seterusnya menjadi lebih mudah iaitu meningkatkan dan mengekalkan penghasilan susu ibu.


Bilakah induce lactation harus bermula?

Sebaik-baiknya lebih awal bermula lebih baik hasil yang akan diperoleh dalam usaha untuk mencetuskan susu ibu. Sebagai contoh, ibu boleh bermula 6 bulan atau lebih awal sebaik sahaja mengambil keputusan menerima bayi angkat untuk menyediakan susu ibu kepada bakal bayinya.


Persediaan bagi ibu yang mempunyai masa 6 bulan:

  1. 6 bulan sebelum jangkaan bayi lahir; makan pil perancang (Yasmin atau Microgestin) setiap hari bersama 10 mg Domperidone 4 kali sehari selama 1 minggu. Penggunaan pil perancang pada peringkat awal ini adalah bertujuan merencat penghasilan susu ibu sebagaimana proses yang berlaku di awal kehamilan.
  2. Selepas seminggu, tingkatkan dos Domperidone kepada 20 mg 4 kali sehari. Payudara akan mengalami sedikit perubahan saiz dan ini adalah normal.
  3. Teruskan kekalkan dos yang sama sehingga 6 minggu sebelum tarikh jangkaan bayi lahir.
  4. 6 minggu sebelum bayi lahir; hentikan pengambilan pil perancang tetapi teruskan dos 20 mg Domperidone 4 kali sehari. Menghentikan pil perancang pada peringkat ini akan mengurangkan aras progesteron dan meningkatkan penghasilan prolaktin pula untuk persediaan mencetuskan susu ibu.
  5. 2 minggu kemudian, ibu boleh mula mengepam setiap 3 jam. Sebaiknya gunakan pam elektrik (double pumping hospital grade brastpump )untuk mendapatkan hasil yang baik. Apabila ibu mula mengepam ibu-ibu boleh menambah makanan penggalak susu ibu dalam nutrisi mereka seperti Fenugreek (halba) dan oat. Ibu juga harus minum banyak air tetapi kurangkan pengambilan kopi (minuman berkafein) kerana kafein boleh mengurangkan kandungan air dalam badan.
  6. Pada peringkat ini susu ibu sepatutnya sudah hadir tetapi dalam kuantiti yang sedikit dan warna putih yang jernih sebelum mendapat susu sebenar selepas beberapa hari/minggu.
  7. Sebaik bayi lahir (jika boleh) ibu boleh terus cuba menyusukan bayi pada payudara ibu. Alternatif lain yang lebih baik, ibu sebenar boleh menyusukan bayinya kerana kolostrum daripada ibu adalah makanan paling baik untuk bayi baru lahir.


Persediaan bagi ibu yang mempunyai masa kurang daripada 6 bulan:

  1. Makan pil perancang (Yasmin atau Microgestin) setiap hari selama 30-60 hari bersama 20 mg Domperidone 4 kali sehari. Penggunaan pil perancang pada peringkat awal ini adalah bertujuan merencat penghasilan susu ibu sebagaimana proses yang berlaku di awal kehamilan.
  2. Selepas 30 hari, jika berlaku perubahan pada payudara (saiz bertambah, rasa tegang dan penuh) hentikan pengambilan pil perancang tetapi kekalkan dos Domperidone 20 mg 4 kali sehari.
  3. Ibu juga boleh mula mengepam. Sebaiknya gunakan pam elektrik (double pumping hospital grade brastpump )untuk mendapatkan hasil yang baik. Makan makanan penggalak susu ibu seperti Fenugreek (halba) dan oat, minum banyak air.
  4. Sama seperti saranan di atas, ibu angkat boleh terus cuba menyusukan bayi sebaik bayi lahir.


Kes yang pernah terjadi kepada rakan saya yang mengambil anak angkat dan melakukan proses induce lactation sebulan sebelum kelahiran bayi angkatnya. Pada hari bayi dilahirkan ibu sebenar tidak mahu menyusukan bayinya (sedih sekali!) dan terus menyerahkan bayi kepada ibu angkat pada hari kedua bayi lahir… Ibu angkat berusaha menyusukan anak angkatnya walaupun kuantiti susu masih belum mencukupi! Namun beliau berjaya mencetuskan susu ibu untuk diberikan kepada bayi angkatnya.


Ringkasnya, mencetuskan susu ibu ada 4 fasa:

Fasa 1: makan pil perancang dan Domperidone untuk membolehkan badan “meniru” proses pembentukan kelenjar mamari sebagaimana yang berlaku semasa proses kehamilan.

Fasa 2: hentikan pil perancang tetapi teruskan Domperidone untuk mencetuskan penghasilan susu ibu.

Fasa 3: memerah susu untuk menggalakkan penghasilan dan pengeluaran susu ibu.

Fasa 4: beri bayi menyusu terus daripada payudara ibu untuk meningkatkan rangsangan ke atas payudara untuk menggalakkan penghasilan lebih banyak susu.


Nasihat saya kepada ibu (ibu angkat):

  1. Susu ibu tetap makanan terbaik bagi bayi baru lahir. Sebaiknya susukannya sekurang-kurang selama 6 bulan pertama hayatnya.
  2. Ibu harus berfikiran positif, cekal, sabar dan mempunyai keyakinan yang tinggi untuk berjaya mencetuskan susu ibu. Penghasilan susu ibu bergantung kepada tindak balas hormon dan rembesan hormon bergantung kepada “arahan” daripada otak. Jadi “didik”lah otak supaya ia mahu bekerjasama dengan kita utk menghasilkan susu ibu yang mencukupi untuk bayi kita.
  3. Latih bayi menyusu terus dari payudara ibu untuk meningkatkan rangsang ke atas payudara untuk menghasilkan lebih banyak susu. Jika perlu alat SNS (rujuk rajah di bawah) boleh digunakan.
  4. Jangan perkenalkan puting tiruan kepada bayi. Walaupun ketika susu ibu masih belum mencukupi dan ibu terpaksa memberi susu formula kepada bayi, sebaiknya beri menggunakan sudu atau cawan kecil bagi mengelak bayi keliru puting.
  5. Jika masalah keliru puting berlaku lebih sukar memujuk bayi menyusu daripada payudara ibu. Kesannya payudara kurang dirangsang maka penghasilan susu akan berkurangan.
  6. Dapatkan nasihat doktor dan pakar laktasi untuk membincangkan penggunaan pil dan ubat-ubatan di atas. Kenalpasti juga kesan sampingan yang mungkin berlaku dengan penggunaan ubat-ubatan tersebut. Namun begitu ibu harus kuat, tabah dan yakin bahawa “susu ibu makanan terbaik bagi bayi”.
Sumber: www.asklenore.info

http://www.momschoice.com.my/blog/

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com