Wednesday, September 1, 2010

relaktasi

Definisi relaktasi (relactation) menurut Dr. Jack Newman,

Relactation refers to restarting breastfeeding with the same baby after it has been stopped for some reason.

Sebab-sebab sesetengah ibu berusaha untuk relaktasi adalah kerana bayi tidak sesuai dengan susu formula, masalah kesihatan bayi, kekesalan kerana berhenti menyusukan bayi terlalu awal atau mungkin kerana perubahan tugas sepeti berhenti kerja dan menjaga bayi sepenuh masa.

Usia 6 bulan ke bawah adalah usia yang realistik untuk kejayaan relaktasi namun ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi jika usia bayi lebih daripada 6 bulan.

Dalam usaha untuk menjayakan relaktasi, ada 2 perkara yang perlu diambil perhatian:

  1. memujuk bayi untuk kembali menyusu daripada payudara ibu;
  2. mencetuskan penghasilan susu (jika susu sudah “tiada”) atau meningkatkan penghasilan susu (jika susu ibu kurang).

Kebarangkalian untuk kejayaan relaktasi bergantung kepada beberapa faktor:

Faktor #1 – Pengeluaran susu sebelum berhenti

  • Jika ibu pernah menghasilkan susu yang banyak sebelum berhenti menyusu dahulu, kemungkinan untuk menghasilkan susu semula adalah lebih tinggi.
  • Namun begitu jika bayi berhenti menyusu dahulu kerana ibu “kurang susu”, ibu masih boleh mencetuskan susu semula kerana kemungkinan “kurang susu” berlaku kerana kesilapan teknikal.

Faktor #2 – Berapa lamakah bayi sudah berhenti menyusu daripada ibu?

  • Semakin lama bayi sudah berhenti menyusu, semakin sukar untuk memujuknya kembali menyusu daripada ibu.
  • Memang lebih sukar untuk memujuk bayi yang lebih besar untuk kembali menyusu daripada ibu kerana kebiasaan yang “selesa” dengan penyusuan botol dan susu formula.
  • Namun begitu ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi, walaupun tidak berjaya untuk menyusu secara eksklusif tetapi sekurang-kurangnya sedikit itu lebih baik daripada tiada.

Faktor 3# – Berapa lamakah tempoh bayi pernah menyusu daripada payudara ibu?

  • Semakin lama tempoh bayi pernah menyusu daripada ibunya semakin mudah untuk memujuknya menerima susu ibu semula.
  • Jika bayi pernah menyusu secara eksklusif selama 16 minggu (4 bulan), lebih mudah untuknya kembali menyusu daripada ibu berbanding bayi yang hanya menyusu 2 bulan sahaja.
  • Namun sekali lagi ditegaskan, ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi.

Faktor #4 – Kesediaan ibu.

  • Relaktasi memerlukan kesediaan yang bersungguh-sungguh daripada ibu.
  • Ibu yang tidak bekerja memang lebih mudah untuk relaktasi kerana relaktasi memerlukan usaha dan kesabaran yang tinggi.
  • Sesetengah ibu yang bekerja mengambil cuti panjang untuk menjayakan relaktasi.

Bagaimana caranya?

1. Relaktasi apabila bayi bersedia menyusu daripada payudara ibu.

  • Jika bayi dapat menerima puting payudara ibu maka usaha relaktasi menjadi lebih mudah.
  • Bagaimana melatih bayi menerima payudara ibu semula?
  1. Kebiasannya ibu-ibu mula melatih bayi menerima payudara ibu pada waktu malam sebelum tidur;
  2. Tawarkan puting payudara ibu pada ketika bayi dalam keadaan relaks, tidak terlalu lapar, tidak terlalu mengantuk, dalam bilik yang agak gelap, dan tiada gangguan bunyi bising;
  3. Ambil masa untuk mendakap, membelai dan mengusap bayi dengan lembut dan mesra;
  4. Jadikan sesi penyusuan sebagai sesi yang membahagiakan;
  5. Jika bayi menolak payudara ibu, jangan berputus asa, bersabar dan cuba lagi.
  6. Jangan memaksa bayi menerima payudara kerana ini menyebabkan bayi stress.
  • Ada 2 paten penerimaan bayi terhadap payudara ibu;
  1. bayi menghisap puting payudara ibu untuk ketenangan seolah-olah seperti menghisap pacifier (puting kosong) dan bayi tidak kisah dengan pengeluaran susu ibu yang sedikit.
  2. bayi menerima payudara ibu kerana merasa ada susu dihasilkan tetapi berhenti sebaik penghasilan susu berkurang.
  • Paten 1. Jika bayi hanya menghisap payudara untuk menenangkannya, ibu-ibu wajar memberhentikan pemberian puting kosong secara perlahan-lahan. Gantikan dengan penyusuan daripada payudara ibu.
  • Namun begitu ibu masih perlu menggunakan lactation aid (sejenis peralatan khusus) yang diisi dengan susu formula.
  • Biarkan bayi menghisap payudara ibu untuk merangsang pernghasilan susu ibu.
  • Jika susu ibu dihasilkan dengan baik, kurangkan pengaliran susu melalui lactation aid.
  • Paten 2. Sebaliknya jika bayi menghisap payudara ibu kerana mahukan susu ibu, lactation aid yang diisikan susu formula boleh digunakan.
  • Susu formula di dalam lactation aid perlu diberikan supaya bayi tidak mengamuk kerana kekurangan susu.
  • Rasionalnya ialah jika bayi mengamuk dia mungkin menolak terus payudara ibu maka rangsangan terhadap payudara ibu tidak dapat dilakukan.
  • Jika bayi terus mengamuk dan tidak mahu menyusu lagi daripada payudara ibu, jangan putus asa… tawarkan susu formula kepada bayi tetapi beri bayi minum menggunakan sudu/cawan dan bukannya botol dan puting tiruan kerana bayi akan keliru puting dan usaha menggembalikan bayi kepada payudara ibu akan terganggu.

MEDELA Supplemental Nursing System (SNS)

2. Relaktasi apabila bayi tidak mahu menyusu daripada payudara ibu.

  • Jika bayi tidak mahu menyusu daripada puting payudara ibu, harapan ibu adalah kepada usaha peningkatan penghasilan susu ibu.
  • Jika susu ibu bertambah kemungkinan untuk bayi kembali menyusu daripada ibu adalah lebih cerah.
  • Atau sekurang-kurangnya ibu boleh memerah susu dan memberikannya kepada bayi.
  • Dalam pada itu ibu boleh melatih bayi secara perlahan-lahan untuk kembali menyusu terus daripada ibu.
  • Bagaimana meningkatkan penghasilan susu?
  1. perah/pam dengan kerap
  2. makan makanan berkhasiat dan seimbang
  3. makan makanan penambah susu seperti Fenugreek
  4. menggunakan ubat-ubatan (minta nasihat doktor) seperti Domperidone (motilium)
  5. kurangkan stress
  6. berfikiran positif

Kesimpulan: Relaktasi bukanlah usaha yang mudah. Ia boleh mengambil masa secepat 2 minggu atau selewat-lewatnya sebulan untuk berjaya atau langsung gagal. Namun ibu-ibu wajar berusaha dengan yakin dan bersungguh-sungguh jika benar-benar mahu menjayakan penyusuan semula kepada bayi. Minta nasihat doktor atau pakar laktasi untuk bimbingan yang lebih sempurna.


http://www.momschoice.com.my/blog/

Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answers by Jack Newman, M.D., and Teresa Pitman; kellymom.com, naturalchildbirth.org, idahopublichealth.com

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com