HUKUM MENYEDIAKAN KENDURI KEMATIAN
(Dari Majalah Pengasuh yang mana Tok Kenali antara pengasasnya , asalnya tulisan jawi)
oleh: Hasan Ahmad
MUQADDIMAH
Sudah menjadi lumrah kepada orang melayu beragama islam di tanah air kita, apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga, maka ahli keluarga si mati itu akan menyediakan makanan dan minuman.
Pada kebiasaannya, keluarga si mati akan memasak dan menyediakan nasi bungkus mengikut bilangan orang yang hadir bersembahyang jenazah atau mengikut jumlah orang yang terlibat memberi pertolongan mentajhizkan mayat, termasuk penggali kubur dan sebagainya. Sebaik sahaja selesai sembahyang jenazah, nasi bungkus akan diedar dan dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang turun dari rumah.
Kemudian, pada malam pertama hingga malam ketujuh diadakan majlis tahlil kepada ruh si mati, dan sesudah majlis tahlil, keluarga si mati akan menghidangkan makanan dan minuman kepada jiran dan para jamaah yang hadir, sama ada jamuan ringan atau jamuan berat mengikut qadar kemampuan masing-masing.
Manakala pada malam ke-3, ke-7, ke-20, ke-40 dan ke-100 pula, pada kebiasaannya akan dihidangkan jamuan nasi dengan aneka masakan yang enak-enak. Kemudian, setiap malam jumaat selepas hari ke-7 hingga hari ke-40 atau kadang-kadang sehingga hari ke-100, diadakan lagi majlis-majlis tahlil, dengan setiap lepas tahlil akan dihidangkan pelbagai hidangan dan masakan oleh ahli si mati.
Pendek kata, menjamu makanan dan minuman selepas kematian telah menjadi tugas yang terpaksa dilakukan oleh ahli si mati, sama ada mereka terdiri dari orang kaya atau kurang berada. Kalau tidak dibuat, nescaya akan dicela oleh jiran tetangganya, kaum kerabatnya dan sahabat handainya. Bukan setakat dicemuh, malahan keluarga si mati yang tidak menurut resam turun temurun itu akan dipandang serong oleh masyarakat sekitar. Bermacam-macam tuduhan dan cemuhan dilemparkan kepada ahli si mati yang tidak mengikut adat tradisi itu. Umpamanya dikatakan kedekut, bakhil, tidak mengenang jasa si mati atau juga dikatakan seperti mengambus batang pisang dan sebagainya.
Itulah antara ungkapan dan ujaran yang menggambarkan kejinya sesiapa yang meninggalkan tradisi tersebut, sebahagian besar dari kalangan umat islam menganggap dari ajaran islam yang penting yang tidak boleh diabaikan, kerana ianya turut dilakukan oleh orang-orang yang berpengatahuan agama. Sama ada dari lepasan madrasah-madrasah pondok atau lepsan dari sekolah-sekolah arab/agama. Mana-mana individu yang mengkritik adat resam itu akan dicap dan dilabelkan sebagai kaum muda yang hendak merusakkan ajaran islam yang suci.
Walaubagaimanapun ada jugak segolongan kecil umat islam di negara kita yang berpendapat bahawa membuat dan menjamu makanan selepas kematian adalah amalan bid'ah yang perlu ditinggalkan, kerana ia tidak pernah dibuat atau dilakukan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan sahabat-sahabatnya.
KEMBALI KEPADA ALLAH DAN RASULNYA
Penyusun merasa terpanggil untuk mengambil bahagian dalam perbincangan masalah perselisihan yang tidak ada kesudahan ini, dengan harapan semoga masyarakat kita, khususnya alim ulamak dan bijak pandai islam, dapat menilai siapakah yang sebenarnya berada di pihak yang hak dan siapakah yang berada dipihak yang kabur dalam masalah yang dinyatakan.
Ulamak silam telah membentangkan kepada kita mengenai hukum sebenar membuat dan menjamu makanan kepada orang ramai selepas berlaku kematian. Antaranya ialah dengan cara membawa hadis-hadis yang menjelaskan secara khusus mengenai
perkara ini:
1) Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud, al-Tarmizi dan Ibnu Majah dari Abdulllah bin Ja'far, beliau berkata apabila tiba berita kematian Ja'far (bin Abi Talib) nabi bersabda:
Maksudnya: "Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja'afar (isteri-isteri dan anak-anaknya). Sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka.
Dalam Hadis diatas, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengharapkan jiran tetangga yang tinggal berhampiran dengan keluarga si mati agar membuat makanan kepada mereka yang ditimpakan musibah dan dukacita kematian. Ja'afar bin Abi Talib telah mati syahid dalam peperangan mu'tah pada tahun kelapan Hijrah.
Sebaik sahaja berita kematian sampai, nabi menyuruh jiran tetangganya melakukan perkara itu kepada ahlinya bagi meringankan beban dukacita ahli keluarga si mati dengan memberi makan kepada mereka.
2) Hadis Jarir bin Abdullah Radiallahu anhu katanya:
Maksudnya: "Kami mengira berhimpun orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah sebahagian dari ratapan kematian". (Diriwayatkan oelh Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan isnad yang sahih).
Hadis diatas menunjukkan kepada kita bahawa orang ramai yang berhimpun dirumah ahli si mati dan memakan makanan yang dimasak dan disediakan oleh ahli si mati adalah sebahagian dari perbuatan ratapan kematian. Dan ratapan selepas kematian adalah perbuatan jahiliyyah yang hukumnya adalah haram sebagaimana dimaklumi.
Ahli si mati tidak patut membuat makanan dan memberi makan atau menjamu orang lain kerana perbuatan itu tidak disyara'kan.
No comments:
Post a Comment