Kebudayaan dan kesenian adalah unsur yang indah dalam kehidupan. Ia wujud dalam persekitaran hidup kita berupa ukiran pada bangunan, lukisan dan corak pada pakaian, irama yang indah untuk didengar dan pelbagai lagi.
Dewasa ini kita semakin tenggelam dalam arus modenisasi sehingga kita lupa apa ertinya kebudayaan dan kesenian Islam. Apa konsep, prinsip dan fungsinya untuk diri dan masyarakat kita ? Betul ke seni adalah jalan menuju TAQWA? Tajuk kerja kursus Tamadun Islam yang saya terima sulit untuk saya siapkan. Bagaimana mengaitkan seni dengan TAQWA ? Setelah melawat, Muzium Kesenian Islam dan membaca kajian yang berkaitan, alhamdulillah persembahan saya untuk tajuk tersebut adalah persembahan terbaik dalam hidup saya kerana ia adalah persembahan yang bermanfaat untuk saya dan para pendengar.
Konsep Kebudayaan dan Kesenian Islam
Konsep kebudayaan dan kesenian islam adalah bermotifkan amar ma'ruf dan nahi mungkar dalam kerangka membentuk akhlak, iman, matlamat agama dan falsafah kehidupan manusia. Tujuan utamanya adalah untuk melahirkan individu yang baik dan beradab dalam menuju puncak ketaqwaan kepada Allah.
Prinsip Kebudayaan dan Kesenian Islam
Kebudayaan dan kesenian Islam adalah berprinsip untuk mengangkat matlamat insan tanpa meninggalkan nilai alam sekitar yang cukup indah dan penting untuk kehidupan kita. Ia menghubungkan keindahan dengan taqwa dan memadukan manusia, Tuhan, alam dan makhluk lain kerana ia mementingkan unsur akhlak dan kebenaran yang diwahyukan oleh Allah.
Fungsi Kebudayaan dan Kesenian Islam
Kebudayaan dan Kesenian Islam berfungsi mengaitkan akal dengan kewujudan alam agar manusia mengagungkan ciptaan Allah yang sangat sempurna. Ia cuba menanam rasa khusyuk dalam diri manusia kerana seni tersebut bermatlamatkan ketaqwaan kepada Allah untuk manusia, makhluk dan alam sekitar. Kebudayaan dan Kesenian Islam juga berfungsi untuk memancarkan rasa ketauhidan di mana manusia menerima dengan sebenar-benarnya kesaksian akan keesaan Allah yang mencipta kita dan alam ini.
Contoh Kebudayaan dan Kesenian Islam
Contoh kebudayaan dan kesenian Islam adalah seperti :
a) khat - sejarah dan perkembangan penulisan al-Quran
a) khat - sejarah dan perkembangan penulisan al-Quran
Dengan khat dan al-Quran, manusia mengenal Penciptanya, memahami apa suruhan dan larangan Tuhannya seterusnya mempraktikkan kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian. Maka jadilah mereka umat cemerlang yang bertaqwa pada Allah.
b) tekstil - pakaian yang menutup aurat mengikut syariat
Islam tidak melarang umatnya untuk mereka pelbagai jenis fesyen daripada fabrik yang pelbagai mengikut keperluan semasa. Tapi peraturan pakaian menutup aurat yang sebenar sahaja yang mampu membawa si pemakai menuju ketaqwaan kepada Allah. Sebaik-baik pakaian adalah pakaian taqwa.
c) peralatan dalam rumah
Peralatan dan perhiasan dalam rumah juga sepatutnya mengingatkan kita kepada Pencipta. Jauhilah perhiasan berupa patung yang menghalang malaikat daripada menziarahi rumah kita.
d) senibina masjid
Senibina masjid banyak dipengaruhi oleh senibina sesebuah daerah dan negara. Namun begitu, senibina masjid tetap mempertahankan ciri-ciri keislaman seperti ukiran ayat-ayat al-Quran. Masjid digelar rumah Allah. Sebagai mana selesa berada di rumah dan kita rindu untuk ke rumah maka Allah juga ingin kita merasa perasaan yang sama pada masjid. Pada masjid, ada sebuah ketenangan, kegembiraan, kebahagian, kerinduan dan kehambaan yang hanya difahami oleh mereka yang mengerti erti jatuh hati pada Ilahi.
e) seni suara - nasyid, taranum, zikir dan berzanji
Seni suara adalah seni yang cukup indah. Malah ada yang jatuh cinta hanya dengan mendengar suara. Suara bacaan al-Quran juga telah melembutkan hati Umar al-Khattab untuk menukar niat membunuh Muhammad kepada menjadi umat Muhammad saw. Maha suci Allah yang menjadikan seni itu indah.
Allah sebagai Pencipta yang agung memberi kita ruang bagi menyalurkan fitrah manusiawi untuk berhibur dan berkreasi dengan jalan kebenaran yang dipandu Quran dan sunah agar destinasi akhir kita adalah kebahagian dunia dan akhirat. Akhir kata, marilah kita merenung kembali : 'Adakah kebudayaan dan kesenian yang kita nikmati setiap hari membawa kita setapak menuju kecintaan dan ketaqwaan kepada Allah ?'
Keletihan dalam membuat kebaikan akan hilang, sedang kebaikan akan terus kekal. Keseronokan dalam membuat dosa akan hilang, sedang dosa akan terus kekal. Bertaubatlah sebelum terlambat !
p/s: persembahan kerja kursus ini tak kan pernah saya lupakan.