Apa yang anda tahu tentang hadith ? Hadith adalah petikan kata-kata Rasulullah saw yang diriwayatkan (rekodkan) oleh para sahabat untuk diamalkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Ilmu hadith cukup luas seperti kaedah menentukan martabat hadith, jenis-jenis hadith dan ciri-cirinya, huraian tentang maksud hadith dan sebagainya. Sebagai seorang Islam yang beriman, kita sepatutnya mempelajari, menghafaz dan mengamalkan hadith yang sahih. Bagaimana nak menghafaz hadith sebenarnya ? Dan ia adalah pengalaman dan ilmu yang berharga.
Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda kenapa kita perlu menghafaz hadith dan bagaimana nak menghafaznya.
Kenapa kene hafaz hadith ?
Hadith dihafaz supaya kita ada pegangan dalam beramal. Jika seseorang menyoal anda apa itu perkara syubhat ? Anda boleh menjawab bahawa perkara syubhat adalah perkara yang samar-samar di antara yang haram dan halal, sebab itulah ramai yang terjatuh ke dalam perkara syubhah seperti dalam hadith youtube di atas. Selain menghafaz lafaz arab dan terjemahan bahasa melayu, anda sepatutnya mendalami syarah (huraian) berkaitan hadith yang dijelaskan dengan rinci berkaitan hadith tersebut.
Apa yang saya dapat dengan menghafaz hadith ialah saya lebih yakin dalam melakukan sesuatu kerana merujuk kepada sumber yang sahih. Pastikan bahawa hadith yang diamalkan bukan hadith maudu' (palsu). Hadith ini direka-reka untuk kepentingan diri sendiri dan ada pula untuk menambah minat orang untuk beribadah dengan fadhilat beramal dengan sesuatu amalan.
Cara Menghafaz Hadith
1. Luruskan niat - berniatlah untuk mencari redha Allah dan bukan untuk tujuan duniawi.
2. Ada buku hadith kecil berserta terjemahan dan syarah hadith yang ingin dihafaz - beli kat kedai buku agama. Saya suka hafaz Hadith 40 susunan Imam Nawawi.
3. Anda boleh memilih mana-mana hadith untuk dihafaz.
4. Baca lafaz bahasa Arab, terjemahan dan syarahnya jika rajin. Syarah hadith menambah rasa penting untuk anda menghafaz hadith.
5. Ambil pensil dan bahagikan lafaz bahasa arab dan maksudnya kepada beberapa bahagian mengikut ayatnya. contohnya innal hallal la bayyin (sesungguhnya yang halal itu jelas), innal haram ma bayyin (sesungguhnya yang haram itu jelas) dan seterusnya.
6. Pastikan anda menghafaz lafaz bahasa arab dengan maksudnya. Ia bertujuan untuk anda lebih mengingati susunan hadith berdasarkan cerita yang ingin disampaikan. Selain itu ia amat berguna untuk anda dalam kehidupan seharian.
7. Ulang ayat bahagian pertama yang dibahagi tadi 21 kali dan sambungkan ke ayat seterusnya sehingga selesai.
8. Anda boleh menukarkan rentak hadis menjadi nasyid seperti di atas atau coral speaking kerana otak lebih cekap mengingat perkara yang menyeronokkan. Ia akan kekal lebih lama dalam ingatan anda.
9. Bila menghafaz beberapa hadith lain, anda perlu membuat jadual ringkas untuk mengelakkan kekeliruan sanad dan matan untuk hadith-hadith yang dihafaz. Jadi tuliskan no hadith, tajuk, matan dan sanad. Ia amat membantu anda untuk tidak keliru bila melafazkannya nanti.
Sesungguhnya, menghafaz hadith membawa kita selangkah lebih dekat kepada Allah.