Assalamualaikum, saya berminat dengan tulisan Prof Madya Dr. Harlina tentang Pergaulan Antara Jantina Di mana Batasnya? (SOLUSI 28&29). Sebagai seorang anak perempuan yang kehilangan bapa sejak umur 7 tahun kerana bercerai dan tinggal di asrama sejak tingkatan satu sehingga ke universiti, saya sememangnya bebas untuk bergaul dengan sesiapa sahaja tanpa kawalan ketat daripada keluarga.
Di samping ramainya ‘secret admire’, usikan, hadiah, gosip, lamaran dan pelbagai aktiviti berkumpulan yang melibatkan rakan berbeza jantina sebenarnya membuka ruang seluas-luasnya untuk saya bersosial tanpa batasan. Begitu juga dengan rakan remaja dan belia yang lain. Inilah cabaran yang perlu kita hadapi !
Namun, saya menolak semua pelawaan tersebut. Pertama, saya tetapkan niat bahawa zaman persekolahan dan kuliah adalah kembara mencari ilmu bukan hanyut dalam cinta murahan. Lalu saya sibukkan diri dengan buku, kuliah dan aktiviti bermanfaat. Saya juga menghargai keringat ibu yang membesarkan kami 5 beradik tanpa bantuan kewangan daripada ayah.
Kedua, saya dalami ilmu agama dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Bersama sahabat-sahabat yang baik akhlaknya, kami belajar bersungguh-sungguh, merutinkan solat berjamaah, solat sunat, tilawah al-Quran, menutup aurat sebaiknya termasuk memakai stokin di luar waktu persekolahan. Iman adalah pelindung paling utuh untuk kita menghadapi cabaran dan godaan dunia. Tanpa iman, kita akan hanyut dalam arus kemaksiatan. Maka, tingkatkan iman dengan melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
Ketiga, berbekalkan iman, saya menjauhi semua pintu-pintu penzinaan. Saya menolak semua pelawaan keluar makan, ‘dating’, ‘couple’, bergayut, ‘chatting’ dan semua aktiviti tidak berfaedah bersama rakan berbeza jantina. Cukuplah sekadar berkawan atas dasar kerja berkumpulan yang dihadiri oleh rakan-rakan perempuan yang lain. Saya juga menutup semua rancangan tv atau ‘access’ internet yang membuka aurat, hedonisme dan pornografi. Kenapa? Kerana ia adalah langkah pertama untuk menyelamatkan iman dan maruah diri saya daripada jatuh ke lembah penzinaan.
Keempat, saya memegang prinsip bahawa saya tidak perlu menghiraukan apa orang kata tapi mentaati setiap kata-kata Allah kerana tanpa Allah kita tidak akan wujud di bumi ini. Saya tidak pernah merasa malu jika tiada ‘couple’, tidak ‘dating’ dan sebagainya.
Alhamdulillah Allah membayar jihad kecil ini dengan menganugerahkan saya seorang suami yang terbaik iman dan akhlaknya tanpa jalan ‘couple’. Pernikahan bukan sekadar atas dasar cinta yang dicanang-canangkan tapi mengajak kita untuk bercinta hingga ke syurga. Mampukah jalan ‘couple’ membawa anda ke syurgaNya ?
Akhir kata, semoga SOLUSI terus melangkah untuk menerangi hati umat Islam di Malaysia khasnya dengan cahaya Rabani yang tidak akan pernah padam. Amin.
Ummu uswah,
Kelantan.
P/S : Ni surat untuk solusi.