Monday, December 12, 2011

SEMINAR TRANSFORMASI PENDIDIKAN ISLAM



Pendidikan penuh cabaran.

Ia membentuk manusia, sama ada kepada menjadi manusia yang benar kemanusiaannya, atau hilang kelebihan diri yang asalnya sudah bergelar Khalifah.

Menerima Islam sebagai titik mula dan fondisi utama pendidikan, sudah pun sedia diterima di dalam masyarakat.

Kemunculan sekolah-sekolah agama, sama ada sekolah kerajaan mahu pun swasta, sangat memberangsangkan.

Sekolah-sekolah ‘bukan agama’ dan sains juga menyediakan pelbagai program untuk tidak ketinggalan pada melengkapkan diri dengan keperluan agama.

Sejauh manakah kita telah berada di landasan yang tepat untuk mencapai apa yang diidamkan?
Apakah dengan menghasilkan seorang jurutera yang juga hafiz 30 juzuk al-Quran, maka protege Ibnu Sina dan al-Farabi sudah terhasil?

Bagaimanakah kita menilai pencapaian dan keberkesanan apa yang dinamakan sebagai pendidikan Islam.
Di era sekularisasi nilai dan materialisma, dan digital ini, bagaimanakah manusia boleh kekal berseni untuk benar-benar memiliki upaya mencerap keseluruhan dimensi ilmu?

Ibu bapa mahu memilih sekolah yang bagaimana untuk anak mereka?
Jika ada badan korporat yang mahu menaja pembiayaan sebuah sekolah agama baru, apakah yang perlu dipertimbangkan tentang hala tuju, isi kandungan dan pendekatan yang menterjemahkan visi serta misi sekolah itu?

Persoalan-persoalan ini adalah di antara fenomena yang bakal disentuh di dalam SEMINAR TRANSFORMASI PENDIDIKAN ISLAM anjuran Akademi Sinergi. Bertemakan “Sekularisasi Nilai dan Solusi Islam”, seminar ini akan menyediakan platform bagi Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Synergy Training & Consulting), Tuan Fazrul Ismail (Total Success Training & Consultancy) dan Ustaz Mohd Hasni Mohamed (Pengetua Sekolah Menengah Islam al-Amin, Gombak) untuk mewacanakannya dari perspektif yang pelbagai.

Terbuka kepada orang ramai, program yang mensasarkan ibu bapa, warga pendidik, kumpulan pendidik sokongan yang terbabit dalam program-program remaja dan aktivis ini bakal berlangsung pada 18 Disember 2011 di Universiti Putera Malaysia.
Untuk keterangan lanjut, layari AKADEMI SINERGI dan mendaftar segera untuk mendapatkan tempat anda.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com