Thursday, March 10, 2011

Kematian - kebahagiaan @ ketakutan


Jika saat ini, malaikat maut ingin mencabut nyawa kita, sanggupkah kita untuk menghadapinya ? Adakah kematian suatu berita gembira yang menjadi jalan yang membawa kita ke syurga yang penuh kenikmatan atau sebuah ketakutan yang memutuskan hubungan kita dengan nikmat dunia menuju kesengsaraan neraka jahanam ? 

Persoalan ini perlu kita timbulkan setiap hari. Adakah kematian itu sebuah kebahagiaan atau sebuah ketakutan buat diriku? Siapkah aku menghadapi sebuah kematian? Kenapa? Kerana setiap saat, satu demi satu manusia hidup dimatikan Allah untuk disoal setiap amalnya dan kita juga akan pasti mengalami kematian yang sama.


Alangkah bahagianya jika selepas kematian kita adanya kenikmatan syurga dan berakhirnya sengsara cubaan dunia. Tapi alangkah deritanya jika yang menanti kita adalah ular berbisa, minuman yang meluruhkan isi perut kita dan kepanasan api neraka yang tiada taranya. 

Saat ini saya cuba membawa pembaca untuk kembali mengira simpanan kita untuk menemui saat-saat kematian. Ibarat risaunya seorang pekerja yang bakal pencen, simpanan tiada sedang tanggungan masih terasa. 

Tujuan hidup
Persoalan pertama yang perlu kita perkukuhkan ialah tujuan hidup. Untuk apa kita hidup ? Jika kita hidup hanya sekadar untuk bersuka ria, mengejar pangkat, pasangan dan harta maka pasti buruk sekali pengakhiran kita. Jika kita memastikan bahawa tujuan hidup kita adalah berupa ibadah yang membawa kita kepada syurga dan redha Allah, maka setiap saat yang kita lalui sepanjang kehidupan ini adalah simpanan berharga untuk kita bertemu Allah.

Berilmu
Jika kita inginkan dunia dan akhirat maka carilah ilmu berkaitan dengannya. Sinergikan ilmu dunia dan akhirat agar kejayaan dunia dan akhirat pasti menjadi milik kita. Bak kata pepatah belajarlah dari buaian hingga ke liang lahat. 

Beramal
Ilmu bukan sekadar dipelajari di bilik darjah tapi perlulah diamalkan. Jika kita mempelajari bahawa aurat wanita adalah semua anggota kecuali muka dan tapak tangan, maka aplikasikanlah ia dalam kehidupan seharian kita. Jangan pula masih terikut-ikut dengan tren semasa seperti 'freehair', tudung atas dada, baju sendat, nipis dan cukup menghairahkan. Jika kita belajar solat fardu 5 waktu, maka jangan pula ada yang terkurang dalam mendirikannya. Jika solat Jumaat Adalah wajib untuk lelaki, jangan pula sampai terlupa untuk menghadirinya. Jika rokok difatwakan HARAM, kenapa masih enggan melepaskannya ?

Jauhi dosa
Bila bercakap tentang dosa, saya selalu terkenang pada hadith yang mengatakan akan tiba satu waktu yang mana seorang yang beriman seolah-olah terpaksa menggigit imannya dengan gigi gerhamnya lalu berlari menyelamatkannya dari satu gua ke gua yang lainnya. Itulah realiti kita hari ini dengan dikelilingi oleh pelbagai dosa. Pornografi, cerita tahyul, pembukaan aurat secara berleluasa, muzik yang entah apa-apa, riba dan sebagainya. Kita bukan lagi generasi yang dididik dengan Quran dan Sunah tapi dengan tv, astro dan internet. Kita bukan anak-anak yang dilatih dengan panah, kuda dan renang untuk menawan musuh tapi kita dilatih dengan game, hiburan dan realiti tv yang jauh dari leluhur jalan para nabi.   

Tiba saatnya kita perlu mengaudit buku kira-kira dan simpanan kita agar kita dapat mengagak apa yang menanti kita saat malam pertama di alam kubur ? Adakah seindah malam pertama raja sehari ? Saat masa masih berbaki, saya ingin sekali mengajak diri dan rakan pembaca untuk kita terus memohon keampunan Allah dan menambah koleksi amal yang diredhai Allah agar kematian pada kita adalah sebuah penantian untuk kita bertemu kekasih hati yang cukup banyak berbakti. Kasihnya melebihi kasih-sayang yang lain. Dialah Allah yang menghidupkan dan mematikan kita, dariNya kita datang dan kepadaNya pulalah kita akan kembali. Apa-apa pun, semoga kita semua bertemu di Syurga. InsyaAllah.
panduankelahiran

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com