Petang itu, saya menunggu suami di hentian bas Medan Kit. Dalam lautan orang yang menunggu bas dan saudara mara ke destinasi masing-masing, ada seorang perempuan yang mencuri perhatian saya. Penampilannya nampak kemas dengan baju uniform biru berlengan panjang, berseluar slack hitam dan bertudung hitam yang dimasukkan ke dalam baju. Alhamdulillah niat hati untuk mengenalinya dimakbulkan Allah saat dia mengambil tempat duduk di sebelah saya.
Dengan sedikit olesan lipstik di bibir menampakkan dia lebih matang daripada usia sebenar. Nyatanya dia hanyalah seorang pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM dan sedang menjalani PLKN. Kesempatan ini saya gunakan sebaiknya untuk bertanya situasi sebenar di kem PLKN. Tapi sayang PLKN yang dijadualkan dengan pelbagai ilmu kenegaraan, seni mempertahankan diri dan segala kebaikan ilmu yang ada rupanya kurang dari segi ilmu agama secara praktikalnya. Pelatih boleh memilih untuk mendirikan solat atau tidak, ingin bertudung atau tidak, mengikuti majlis tari menari atau tidak. Semua keputusan di tangan anak-anak yang baru mengenal dunia luar. Sehingga ada yang terlanjur di kem PLKN dan membuang bayi yang masih merah.
Pelajar ini katanya lepasan sekolah agama. Kenyataan itu membawa perbincangan kami ke topik yang lebih menarik. "Takkan dari tudung labuh tukar ke tudung dalam baju bila ke PLKN ?" soal saya menghangatkan suasana.
"Masa mula-mula ke kem saya pakai tudung labuh. Semua orang kata saya 'cam baik je'. Lama-lama saya rasa malu sangat hinggalah saya pakai tudung cam ni," terang pelatih itu dengan ikhlas.
"Pastu, pakai tudung cam ni tak malu la ?" soal saya lagi menguji keimanannya. Nak 'test' budak sekolah agama ni.
Ternyata dia tunduk membisu. Pada saya, budak sekolah agama tentunya arif tentang kriteria tudung yang telah digariskan dalam agama, ternyata malu pada ejekan kawan-kawan membuatkannya menggadai prinsip yang selama ini dia pegang.
"Pastu nak kene letak tudung kat luar ke ni ? Berkedut la kak. Nanti apa orang kata, apa ayah kata bila datang nanti" dia menyatakan keraguan demi keraguan yang bertimpa-timpa.
"Kita selalu risau dengan apa yang bakal orang kata, tapi kita tak pernah risau dengan apa yang Allah kata tentang kita sedangkan Allahlah yang menghidupkan kita, memberikan kita makan, minum dan perlindungan. Nanti kalau ayah tanya kenapa tudung berkedut-kedut, cakaplah inilah didikan agama yang dah ayah bagi pada saya selama ini : bertudung dengan sebaiknya. Untuk jadi baik, kita perlu kuat. Tak perlu rasa malu bila orang kata kita baik tapi rasa malu bila orang kata kita jahat. Pilihlah kawan-kawan yang baik baru kita jadi kuat untuk melakukan kebaikan. Keputusan terserah pada tangan awak, memilih syurga atau neraka," terang saya yang cuba memberi kekuatan baginya untuk memilih kebenaran.
Alhamdulillah, akhirnya dia memutuskan untuk meletakkan tudung di luar uniformnya walaupun tudung itu sedikit berkedut. Saat menunggunya keluar dari bilik air, ternyata suami yang ditunggu-tunggu sudah pun tiba. Sayang sekali, tidak sempat berpamitan dengan pelatih yang baru kukenali kerana tiada tempat letak kereta di Medan Kit.
Secara peribadi saya juga seorang yang gemar pada aktiviti lasak, walaupun bertudung labuh. Saya bangga dapat melakukan aksi 'flying fox', pernah panjat ke puncak Gunung Angsi, Bukit Keluang, rentas hutan di malam hari, berkhemah, menuruni air terjun dengan tali (abseiling), kawat kaki, aktiviti menyelamat bersama PBSM negeri, beraksi di Dusun Eko Resort, mengendali program perkhemahan dan motivasi serta pelbagai aktiviti yang mencabar.
Akhir kalam, jangan malu untuk melakukan kebaikan kerana kebaikan mengantar kita SYURGA tapi malulah untuk melakukan kejahatan kerana kejahatan menjerumuskan kita ke NERAKA. Pilihan di tangan anda.
tak perlu malu kalau niat kita baik. Perbuatan yg baik dpt pahala.
ReplyDeletebetul tu.
ReplyDeleteMalulah bila buat jahat. Tu baru betul.