Pengajaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) akan diajarkan pada pelajar darjah satu di setiap sekolah mulai 2011 bagi mengatasi masalah sosial, zina, rogol dan buang anak. Sejauhmanakah kertas cadangan ini dikupas sebelum dilaksanakan ? Mampukah ia mengurangkan masalah atau menambahbiak masalah sedia ada ? Adakah pendidikan ini berlandasankan al-Quran dan sunah atau berkiblatkan BARAT semata-mata ? Mana silibus pendidikannya agar rakyat yakin dengan isinya ? Mampukah guru mengajarnya agar rakyat yakin dengan perlaksanaannya ? Siapkah pelajar mempelajarinya agar tercapai cita-citanya ? Sanggupkah ibubapa menyokongnya agar lancar segala urusannya ?
Apakah silibusnya ?
Secara peribadi, saya fahami apa yang telah dinukilkan oleh Nasih Ulwan dalan buku Pedoman Pendidikan Anak-anak dalam Islam berkaitan kepentingan pendidikan seks yang perlu diajarkan kepada anak-anak bertunjangkan iman. Namun adakah PKRS bertunjangkan iman dan berpandukan Quran atau sekadar beracuankan barat semata ?
Siapkah guru mengajarnya ?
Siapakah guru yang sanggup untuk mengajar subjek PKRS ini di sekolah ? Apakah latihan yang disediakan untuk guru tersebut sehingga mampu untuk menyampaikan ilmu dan seterusnya menyelesaikan masalah sosial ini ? Adakah guru tersebut mempunyai latar belakang agama supaya ajarannya tidak lari dari anjuran Islam ?
Jika kita mengkaji kebolehan guru-guru menguasai bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains sangat mengecewakan walaupun telah diberi kursus, bagaimana pula dengan prestasi guru PKRS ini ? Kegagalan guru dalam mengajar dalam bahasa Inggeris menyebabkan ramai pelajar yang kandas dalam peperiksaan. Bagaimana pula jika guru gagal mengajar PKRS ? MERUAH menjadi taruhan !!!
Mampukah murid mencernanya ?
Mampukah murid-murid mencernakan tujuan pendidikan ini diajarkan ? Atau seperti ROKOK, makin dicanag keburukannya, makin meningkat pula perokok tegar di Malaysia ini. Jika pelajar kita tidak mampu mencerna Pendidikan Islam yang diajar dari Tadika sampai ke tingkatan 5 menjadi suatu cara hidup (way of life) seperti solat, menutup aurat, puasa, membaca al-Quran, menjauhi zina dan sebagainya maka mampukah murid kita mencerna tujuan PKRS ini untuk mengatasi masalah sosial.
Mahu ke ibubapa membantu ?
Kesibukan ibubapa menjadi alasan utama untuk tidak mempedulikan kebajikan rohani dan emosi anak-anak. Yang dikejar cuma harta agar anak-anak tidak berlapar dahaga. Jika ibubapa sendiri tidak menerapkan Islam dalam kehidupan seharian, mampukah ibubapa diharapkan untuk menyokong pelan tindakan PKRS ini ? Mahu ke ibubapa memerhatikan siapa kawan anaknya ? Apa kandungan sms dan email anaknya ? Apa cd dan buku kegemaran anaknya ? apa chanel astro tontonan anaknya ? apa laman web yang dilayari anaknya ?
Anak Kita Bukan Bahan Eksperimen
Hakikatnya anak kita bukan bahan eksperimen untuk setiap eksperimen yang belum sahih hasilnya. Dengan radas yang belum cukup, penyelidik yang ragu-ragu, langkah-langkah yang masih cuba-cuba dan segala kekurangan yang ada maka jangan dipertaruhkan anak kita untuk menjadi bahan eksperimen ini. Kajilah dengan sedalam-dalamnya bahawa solusi yang paling selamat cuma satu : praktikkan Islam dalam kehidupan.
Pendidikan Islam Bukan Sekadar Untuk Lulus Periksa
Ubahlah mentaliti belajar Pendidikan Islam sekadar untuk lulus periksa. Aplikasikanlah ia dalam kehidupan kita. Pada ibubapa, pastikan kita sekeluarga solat 5 waktu, berpuasa, mengeluarkan zakat, menutup aurat, tidak ber'couple' dan segala suruhan Allah yang lain. Tingkat iman di dalam dada, jauhi dosa. Sama ada pendidikan kesihatan reproduktif ini dilaksanakan atau tidak, pendidikan Islam wajib terus diperkasakan.
Artikel berkaitan :
No comments:
Post a Comment