Wednesday, December 22, 2010

Tips Hadapi Tangisan Anak


Kes Bayi Kerap Menangis dibaling Bapa menyebabkan saya ingin berkongsi tips Hadapi Tangisan Anak dengan para pembaca.

Anak-anak tidak hanya datang dengan kebahagiaan dan gelak-ketawa. Dia datang dengan kelebihan dan kekurangan, kesedihan dan kegembiraan, hak dan tanggungjawab. Maka ibubapa perlu siap untuk menghadapi setiap kemungkinan yang bakal dihadapi dengan kehadiran anak-anak yang dikatakan pelengkap hidup berumahtangga.


Tangisan anak cukup untuk membuatkan anda strees terutama ketika anda penat, lapar dan mengantuk. Pada anda, anak cukup merimaskan anda dengan tangisan mereka yang sukar dimengertikan apatah lagi dalam keadaan diri anda yang tidak tenang dalam menghadapi situasi tersebut. Kejadian ini, seringkali membawa ibubapa kepada tindakan yang tidak sepatutnya seperti di atas atau penderaan fizikal serta mental terhadap anak-anak.

Jika anak menangis
Jika anak anda menangis, pertamanya sedarlah bahawa dia sedang menyatakan kondisinya yang sedang lapar, sakit, tidak selesa, takut atau inginkan perhatian. Kemarahan anda tidak akan pernah menghentikan tangisannya kerana anda tidak memenuhi hak yang dimintanya.

Kedua, anda perlu sedar bahawa anak memerlukan anda untuk menyelasaikan masalah mereka. Maka fokuskan fikiran anda pada cara penyelasaian dan bukan pada kondisi anda yang lapar, penat atau mengantuk. Dengan cara ini, anda akan lebih tenang, sabar dan bertenaga untuk menyelesaikan permintaan anak.

Ketiga, lihat tanda-tanda lain dan kebiasaan kelakuan pada anak. Anda muJngkin boleh memberinya makan, susu atau mendodoikannya sehingga lena. Jika tangisannya masih berlarutan, anda perlu mengesan kesakitan padanya seperti mengetuk perutnya dengan jari (kembong), membuka ikatan barut perut (jika ada), kesan luka atau gigitan serangga dan sebagainya. Anak juga mengkin ada tabiat tidur dalam buai tapi tidak dapat tidur kerana anda tidak membawa buainya bersama saat balik kampung. 

Keempat, setelah anda mengetahui punca tangisan anak, maka cepat-cepatlah memenuhi keperluan tersebut.

Jika anda gagal mengesan punca tangisan anak atau tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut, bawalah anak anda ke klinik atau hospital 24 jam. Kecederaan atau kesakitan yang dialami oleh bayi boleh membawa maut jika anda tidak bertindak dengan segera.

Jika anda tidak dapat melakukan langkah demi langkah yang saya sarankan di atas kerana kondisi emosi yang belum stabil, adalah lebih baik anda menyerahkan tugas menjaga anak tersebut kepada pasangan atau mereka yamng lebih arif dalam menyelesaikan keperluan anak-anak. Tujuan pengasingan ini adalah untuk memberi ruang kepada anda untuk  bertenang dan mengelakkan tindakan yang kurang waras terhadap anak seperti Bayi kerap menangis koma dibaling bapa.

Dalam kesabaran, anda akan menemui banyak hikmah di atas segala kesulitan dan kepayahan yang anda lalui. Maka, mohonlah kepada Allah agar anda dicucuri kesabaran yang teramat banyak terutama dalam mendidik anak-anak.

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com