Friday, March 18, 2011

Penyebab Penceraian


Menurut statistik JAKIM, 1 pasangan bercerai setiap 15 minit. Persoalannya ke mana hilangnya kata-kata cinta yang diungkapkan dulu? Di mana perginya hantaran dan majlis nikah yang gilang-gemilang dulu ? Apakah penyebabnya sehingga ramai pasangan memilih penyelesaian yang paling dimurkai Allah iaitu BERCERAI ? Jom kita susuri penyebab penceraian agar kita dapat memperbaiki hubungan rumahtangga kita sehingga ke syurga.



1. Pasangan yang dipilih tidak berdasarkan agama dan bukan kerana Allah
Bila disoal kenapa anda nikah ? Ramai yang menjawab, "Sebab saya cintakan dia." Ramai pasangan berkahwin tanpa melihat dengan rinci perlaksanaan agama pasangannya. Hasilnya, selepas nikah baru disedari bahawa pasangan tidak tahu mandi wajib, tidak betah mendirikan solat fardhu, curi-curi makan waktu puasa Ramadhan dan enggan ke masjid untuk solat Jumaat. Jika ini terjadi, maka kita telah menderhakai anak dalam menjalankan haknya untuk didik oleh ibu yang beriman.

2. Dosa-dosa sebelum nikah
Kita juga tidak terlepas daripada dosa-dosa yang telah kita lakukan sebelum nikah seperti couple, dating, terlanjur dan sebagainya. Justeru, pasangan akan bertambah sangsi dengan kejujuran anda sehingga menimbulkan banyak prasangka dalam hubungan suami isteri. Jika anda belum bernikah saat ini, maka elakkan diri daripada melakukan sebarang maksiat kerana ia akan menghilangkan kebahagiaan rumah tangga. Jika sudah bernikah, maka banyakkanlah bertaubat atas dosa-dosa silam.

3. Tidak menegakkan syariat dalam rumahtangga
Berapa ramai ibubapa yang mengejut anak-anak untuk bangun solat Subuh berbanding bangun untuk ke sekolah ? Berapa ramai pula yang menegur ahli keluarga jika terlepas waktu solat dan tidak menutup aurat ? Berapa ramai pula ibubapa yang luput waktu solatnya kerana sibuk bekerja dan keluar berjalan-jalan di musim perayaan atau membeli-belah ? Dan anda juga akan menemui manusia yang tidak pernah sujud di tikar sejadah bertahun-tahun lamanya walaupun sudah bercicit ciut.

4. Tidak sanggup untuk berubah menjadi dewasa
Perkahwinan sepatutnya menjadikan anda dewasa menghadapi tanggungjawab yang kian memberat berbanding zaman bujang yang lebih ceria. Selepas nikah anda terikat dengan tanggungjawab kepada pasangan, ibubapa, mertua dan anak-anak yang kian bertambah saban tahun. Tanpa iman yang memancing pertolongan Allah dan kemahiran hidup berumahtangga dalam membantu anda mengharungi samudera pernikahan ini, anda gagal menjadi manusia dewasa yang matang menghadapi cabaran hidup. Lalu...anda

5. Lebih cenderung menuntut hak berbanding melaksanakan tanggungjawab
Jika anda bertanya kepada si suami kenapa bercerai, suami akan menjawab "dia tak pandai urus keluarga, sibuk dengan kerjanya sehingga saya seolah-olah tiada. Makan pakai saya selalu diabaikannya! Kata-kata saya semuanya tak didengarnya."

Bila bertanya dengan isteri, si isteri akan menjawab "Dia tak mampu jadi suami yang baik, solat jarang sekali, Solat Jumaat langsung tak pergi, puasa pun tak pernah, makan minum keluarga saya yang perlu cari, ade ke nak hidup dengan suami macam tu. Asyik nak goyang kaki je."

6. cinta 3 segi dengan rakan sepejabat
Bila hubungan dengan Allah tidak dipenuhi dan hubungan rumahtangga kian bergolak. Suami isteri mula mencari cinta baru di pejabat. Walaupun sekadar dimulai dengan sapaan mesra, luahan perasaan dan akhirnya cinta berputik antara mereka. Kehadiran orang ketiga menambah kuat suami isteri yang bermasalah untuk tidak lagi hidup sebumbung atau bercerai.
  
Solusi untuk penceraian adalah mempraktikkan Islam dalam kehidupan dan melaksanakan tanggungjawab. Kita membina rumah dengan apa yang kita ada, tapi kita membina rumahtangga dengan apa yang kita berikan. Semakin banyak kita memberi, semakin banyak yang bakal kita terima. Tapi semakin banyak kita meminta, semakin banyak kekecewaan kita kerana manusia tidak suka kepada mereka yang meminta-minta.

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com