Kepetahan dan kefasihan itu tidak dimiliki oleh semua orang. Begitu juga, ketajaman dan ketangkasan pena itu tidak dimiliki oleh semua insan. Bahkan ramai yang fasih lidahnya, tidak lancar pula penanya. Demikian juga, ramai yang lancar penanya namun tidak fasih pula lidahnya.
Hanya insan-insan yang tertentu sahaja yang Allah kurniakan kedua-dua kefasihan lidah dan kelancaran pena. Walaubagaimanapun, samada lidah yang fasih atau pena yang lancar, kesemuanya adalah anugerah Allah swt yang akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak. Firman Allah swt :
“Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).” (QS At Takaathur : 8)
PERANAN LIDAH DAN PENA
Peranan lidah dan pena adalah sama iaitu menyampaikan mesej kepada sasaran yang ditujukan. Mesej yang disampaikan itu seharusnya menggambarkan apa yang tersimpan dalam perasaan atau benak pemikiran seseorang penyampai. Jika dia menyampaikan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang dipercayainya, maka dia seorang pengkhianat.
Kemampuan menyampaikan sesuatu mesej kepada sasaran sehingga kadar ilmu atau perasaan yang tersimpan dalam jiwa atau pemikiran seseorang penyampai itu difahami atau dirasai oleh sasarannya adalah pengukur kepada tahap keupayaan seseorang pembicara atau penulis.
Pembicara atau penulis yang baik menjadikan sasaran dapat :
a. Menghayati perasaannya.
b. Menikmati ilmunya.
Ini bukanlah sesuatu yang mudah dan mampu dilakukan oleh semua orang.
PENA DAN LIDAH WAJIB BERPERATURAN
Sepertimana lidah itu ada peraturan dan amanah yang Allah bebankan ke atas insan yang mampu menyampaikan mesej, maka begitu juga para penulis.Firman Allah swt :
“Tiada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisiNya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (QS Qaaf : 18)
Bahkan kadangkala, bebanan tanggungjawab penulis jauh lebih besar. Sesuatu perkataan buruk yang dilafazkan mungkin hanya berakhir dalam satu majlis atau tersebar dalam masyarakat dalam tempoh tertentu. Tetapi, sesebuah buku atau penulisan yang buruk mungkin diwarisi dari generasi ke generasi.
Justeru, kadar dosa yang ditanggung oleh seseorang itu berdasarkan kadar keluasan daerah keburukan yang disebarkan. Adalah tidak mustahil kadangkala hanya dengan satu perkataan yang ditulis menyebabkan kerosakan yang bukan sedikit kesannya. Demikian juga, tidak mustahil dengan hanya satu perkataan dapat menyelamatkan kezaliman dari tercetus. Sabda Rasulullah saw :
“Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (HR Malik dan Tirmizi)
Sepatah ucapan atau tulisan mampu menghalang kezaliman atau menyelamatkan individu, masyarakat dan negara. Begitu juga sebaliknya, sepatah ucapan atau tulisan boleh menyebabkan ada pihak yang dizalimi atau kerosakan individu, masyarakat dan negara.
Ini merangkumi :
1. Ucapan dalam pidato.
2. Sembang-sembang.
3. Bisik-bisikan.
4. Tulisan.
5. Surat menyurat.
6. SMS.
7. E-Mail.
8. Iklan.
9. Rencana.
10. Buku.
Betapa banyak tulisan yang telah menggerakkan perkara-perkara besar yang memberi manfaat kepada masyarakat. Begitu juga, betapa banyak pula tulisan yang mampu menghalang kezaliman pihak tertentu.
Demikian juga betapa banyak tulisan yang :
a. Membawa keburukan.
b. Menyebabkan kezaliman.
c. Mengubah hakikat dan fakta sebenar.
yang berlegar dalam kehidupan masyarakat.
bersambung..
sumber : sini
No comments:
Post a Comment