Saat kita bergurau senda dan berlawak jenaka, tiba-tiba pergaduhan tercetus juga. Itulah kebiasaan yang terjadi sepanjang kita bersama-sama menjalani hidup ini. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Tapi sebenarnya bukan suami isteri sahaja yang bergaduh, kawan-kawan, ibubapa, anak-anak, bos-pekerja dan sebagainya. Persoalannya bagaimana kita ingin memanfaatkan pergaduhan tadi ?
Saling mengenali
Pertengkaran sering terjadi apabila sesuatu yang tidak disukai dilakukan oleh orang lain pada dirinya. Kita ambil contoh video di atas. Pertengkaran terjadi kerana mainan syamil dirosakkan oleh kawannya secara tidak sengaja. Jadi, kawan syamil mengenali watak syamil yang tidak suka akan perlakuan tersebut.
Saling memaafkan
Saat terjadi pertelingkahan, belajarlah untuk meminta maaf, memberi maaf dan saling memaafkan. Hakikatnya, sebagai manusia biasa setiap dari kita akan pernah melakukan kesilapan. Dengan memaafkan, anda sebenarnya memadamkan api kemarahan dan dendam. Dendam bukan sekadar mencelakakan orang lain bahkan diri sendiri turut hangus terbakar kerananya.
Elakkan pertelingkahan
Dalam kehidupan seharian, cuba analisa langkah yang anda perlu ambil setelah pertengkaran terjadi. Elakkan pertengkaran pada masa mendatang dengan mengenali kesukaan dan ketidaksukaan orang yang berada di sekeliling anda. Berkomunikasi dengan jelas juga dapat mengelakkan pertengkaran kerana salah faham atau salah tafsiran terhadap komunikasi yang terjadi seringkali membawa kepada pertengkaran. Sebagai contoh, jika anda ingin meminta pertolongan seseorang terutama lelaki, nyatakan permintaan anda dengan jelas dan tepat seperti dalam cerita di bawah.
Seorang isteri telah tiba di hentian bas dan menelefon si suaminya.
"Assalamualaikum. Abang, nanti tolong ambil saya kat hentian bas depan taman kita ye," ujar si isteri
"Wa'alaikumussalam. Ye lah," jawab si suami.
Sejam kemudian, si isteri menelefon suaminya untuk kali kedua.
"Hello. Abang kat mana? Dah lama saya tunggu dengan anak kat hentian bas ni," kata si isteri dengan nada tidak puas hati.
"Tak cakap pun dah sampai," telah si suami.
"Yang saya telefon tadi tu dah sampai la," balas isterinya.
"Lain kali cakaplah minta ambil sekarang, bukan nanti. Nanti tu... bila-bila ajelah," terang si suami.
"Ooo..macam tu ke?"
Akhir kalam, saya dengan sejujurnya memohon kemaafan kepada semua yang mengenali dan tidak mengenali diri ini. Mungkin ada yang tersilap kata, terkasar bahasa, tersalah laku dan sebagainya. Salam kemaafan untuk semua.
No comments:
Post a Comment