Thursday, October 28, 2010

Pencegahan Secara Holistik

sgs
KOTA BHARU – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Kota Bharu dan Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kelantan berpendapat bahawa gejala buang bayi yang semakin meningkat dalam masyarakat hari ini berpunca daripada pergaulan bebas dan jenayah zina yang tidak ditangani sewajarnya.


Dalam satu kenyataan bersama baru-baru ini, kedua-dua NGO tersebut menyatakan bahawa sejak tahun 2000 hingga Julai 2008 sahaja terdapat lebih daripada 257,000 sijil kelahiran tanpa nama bapa dikeluarkan, manakala untuk tempoh dari Januari hingga Jun 2010, 45 kes pembuangan bayi telah dilaporkan di seluruh negara berbanding 75 kes bagi sepanjang tahun 2009.



IKRAM Kota Bharu dan Wanita JIM Kelantan bagaimanapun yakin bahawa gejala sosial ini boleh dibendung dengan pendekatan holistik membabitkan semua pihak dalam masyarakat dan negara.

“Prinsip syariat Islam perlu dilaksanakan melalui pencegahan dengan mengutamakan pendidikan yang menyeluruh, menutup pintu-pintu kemudaratan serta merawat melalui aktiviti pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam usaha menangani gejala sosial ini daripada terus membarah dalam masyarakat, kedua-dua NGO ini menyarankan agar masyarakat kembali mengamalkan cara hidup berpandukan ajaran agama. Umat Islam perlulah mempelajari dan mengamalkan ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah.

Selain itu, pendidikan yang merangkumi aspek kehidupan perlulah bermula dari rumah di samping ibu bapa sendiri harus berperanan dalam mendidik serta prihatin dengan perkembangan anak-anak.

"Media juga seharusnya sama-sama bertanggungjawab dalam mendidik masyarakat dan tidak menyebarkan bahan-bahan yang menggalakkan dan merangsang remaja untuk terlibat dalam aktiviti gejala sosial dan keruntuhan akhlak."

Tidak kurang pentingnya, menurut kenyataan itu lagi, penguatkuasaan undang-undang haruslah dijalankan dengan tegas. Pesalah jenayah zina dan buang bayi hendaklah dikenakan hukuman setimpal agar ia menjadi iktibar buat masyarakat, seterusnya menghentikan gejala ini daripada terus berleluasa.

Kenyataan media tersebut ditandatangani oleh Yang Dipertua IKRAM Kota Bharu, Ustaz Dr Mohd Sharani Mohd Naim dan Ketua Wanita JIM Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim. Ia dikeluarkan bersempena dengan “Seminar Gejala Zina dan Buang Bayi: Kita Mampu Menghentikannya (Penyelesaiannya Menurut Syariah)” dan ”Bengkel Pendidikan Seksualiti Bermula Di Rumah” yang telah diadakan pada Sabtu lalu di Hotel Raudhah di sini.

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com