Saturday, October 16, 2010

Pendidikan Seks : Apa pendapat saya ?


Kenapa dinamakan pendidikan seks ?

Ramai yang kurang bersetuju apabila nama pendidikan seks digunakan untuk membahas isu ini. Rasa tabu kian menebal tatkala menyebutnya. Isu ini kian hangat apabila kerajaan ingin agar ianya diajarkan di sekolah-sekolah untuk membendung masalah sosial yang kian meruncing. Kenapa ia dinamakan pendidikan seks dan bukan pendidikan fiq, pendidikan islam, pendidikan biologi dan sebagainya ? Begitulah soalan yang hangat diperkatakan.


Hakikatnya, pendidikan seks adalah nama yang paling tepat untuk membahas segala ilmu yang berkaitan dengannya. Jika tidak, mengapa Dr. Abdullah Nashih Ulwan menggunakan istilah pendidikan seks untuk menerangkan ilmu ini secara khusus dalam bukunya yang berjudul Pedoman Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam yang diterbitkan sejak tahun 1996 lagi?

Walau apa pun pandangan dan pendirian anda, jom kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan seks dan kenapa ia begitu penting untuk diajarkan kepada anak-anak mengikut peringkat umur mereka.


Apa itu pendidikan seks ?

Menurut Dr. Abdullah Nashih Ulwan dalam bukunya yang berjudul Pedoman Pendidikan Anak Dalam Islam, pendidikan seks adalah upaya pengajaran, penyedaran, dan penerangan tentang masalah-masalah seksual yang diberikan kepada anak sejak ia mengerti masalah-masalah yang berkenaan dengan seks, naluri, dan perkahwinan. 

Dengan begitu, jika anak telah dewasa, ia akan dapat mengetahui masalah-masalah yang diharamkan dan dihalalkan, bahkan mampu menerapkan perilaku islami dan tidak akan memenuhi naluri seksualnya dengan cara-cara yang tidak islami.

Menurut Doktor Mastura Badzis pula, pendidikan seks meliputi pengajaran tentang kesihatan, kebersihan, hubungan sosial dan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat ini merangkumi konsep perkahwinan, mengekang perlakuan seks rambang dan juga mencegah penyakit berbahaya.

Pendidikan seks di dalam Islam merupakan bahagian integral dari pendidikan akidah, akhlak, dan ibadah. Terlepasnya pendidikan seks dengan ketiga unsur itu akan menyebabkan ketidakjelasan arah dari pendidikan seks itu sendiri, bahkan mungkin akan menimbulkan kesesatan dan penyimpangan dari tujuan asal manusia melakukan kegiatan seksual dalam rangka pengabdian kepada Allah. Oleh karena itu, pelaksanaan pendidikan seks tidak boleh menyimpang dari tuntutan syariat Islam.


Apa kepentingan pendidikan seks untuk anak-anak ?

Pendidikan seks penting diberikan secara berperingkat kepada anak-anak mengikut usia mereka. Hal ini penting diajarkan oleh ibubapa agar anak-anak tidak mencarinya sendiri melalui internet dan media cetak yang selalunya terpesong daripada landasan Islam yang sebenar. 

Anak juga diajar untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada berlakunya zina, rogol dan sumbang mahram. Anak yang diajar pendidikan seks beracuan Islam mampu mengekang dirinya daripada melakukan seks sebelum nikah kerana mereka sedar bahawa ianya adalah haram di sisi agama dan dapat membawa bencana kepada diri, keluarga dan agama. Mereka juga tinggi nilai iman, amal dan taqwanya pada Allah. 

Apa yang penting bukanlah pada namanya tapi pada apa isi yang ingin kita cernakan pada anak-anak muda zaman kini. Saat zina murupakan perkara biasa, mampukah ibubapa mendidik anak untuk mengatakan tidak kepada zina tersebut ? Melainkan iman dan taqwalah yang menjadi perisainya.

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com