PENA JUJUR BUKAN PEDANG SI ZALIM
Pena yang amanah bukan seperti pedang si zalim yang mencederakan sesiapa sahaja yang dibencinya. Pena yang amanah bagaikan pedang keadilan yang hanya menghukum yang zalim dan mempertahankan yang benar.
Pedang si zalim amat berbeza dengan pedang perwira yang soleh. Pedang si zalim tidak perlu bertanya tentang salah dan bukti untuk ia menebas mangsa seterusnya. Dia hanya perlu tahu siapa yang ada di hadapannya samada orang yang dia suka atau yang dia benci.
Sesiapa yang dibenci, maka dia dihukum walaupun dosanya tidak terbukti atau kadar dosa itu belum cukup untuk dia dihukum sedemikian rupa. Ini bercanggah dengan arahan Allah berikut :
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (QS Al Maaidah : 8)
PENA BUKAN PERAKAM TANPA AKAL
Penulis bukan pelapor setiap yang diterimanya tanpa memikirkan kebenaran dan kesan terhadap laporan tersebut. Penulis bukan seperti alat perakam yang hanya merakam apa sahaja tanpa menilai samaada benar atau salah.
Penulis yang amanah, meskipun dia melaporkan sesuatu maklumat yang meragukan, hendaklah dia memberikan komentarnya yang amanah lagi adil mengenainya agar pembaca yang tidak memiliki kemampuan menilai sendiri tergerak untuk berfikir atau merenung sesuatu maklumat itu agar tidak ditelan mentah-mentah. Justeru itu Nabi saw bersabda :
“Cukuplah untuk seseorang itu dianggap berdusta dengan dia menceritakan setiap yang dia dengar.” (HR Muslim).
TAQWA MEMANDU PENA
Apabila ilham datang dan semangat pun mengundang, maka pena penulis pun berlari pantas sehingga jika tidak berhati-hati, dek kerana derasnya arus idea yang mengalir, dia mungkin terlupa berpaut pada dahan tanggungjawabnya sebagai seorang yang akan dipersoalkan oleh Allah pada Hari Kiamat. Dia mungkin terlupa akan tujuan dan juga kesannya.
Dia mungkin menganggap tulisannya hanya coretan pena atau taipan di alam maya lalu dia lupa ada pihak yang mungkin :
1. Tercedera tanpa dosa.
2. Tertekan tanpa kesalahan.
sepertimana yang disebut di dalam firman Allah swt :
“Ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”. (QS An Nur : 15)
Sabda Rasulullah saw ketika haji terakhir baginda :
“Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Makkah).” (HR Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, setiap penegak kebenaran mestilah membuat timbang-tara terlebih dahulu akan sesuatu perkara yang kita dengar. Jauhilah diri kita dari persangkaan kerana kita khuatir jika tulisan mahupun perbicaraan kita boleh menimbulkan fitnah yang tiada asasnya itu kian menyebar luas serta menempati di dalam hati sanubari masyarakat dan akhirnya kian membarah dengan perselisihan dan pertikaian dan lebih mendukacitakan apabila kekusutan itu berlaku di antara saudara sesama muslim, Wal’iyazubillah.
Marilah kita insafi bahwa apa yang kita tulis di atas lembaran kita, ia juga ditulis di sisi Tuhan! Maka ketika tangan kita mencatat di bumi, jiwa kita hendaklah mendongak ke langit tinggi!!!
Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang amanah dalam pembicaraan dan penulisan kami sehingga tiada yang terkeluar dari mulut kami dan tercatat dalam penulisan kami melainkan semuanya adalah kebenaran. Ya Allah, jadikanlah kebenaran itu tetap benar sehingga kami mampu mengikutinya dan jadikanlah kebatilan itu tetap batil sehingga kami mampu menghindarinya.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
JK Tarbiah IKRAM Shah Alam
"Ukhuwah Teras Kegemilangan"
sumber : sini
No comments:
Post a Comment