Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pada Isnin (25 Okt) mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.
Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen semalam(25 Oktober).
Hutang merupakan senjata berbahaya yang menjadi alat negara-negara Kapitalis dalam menguasai negara-negara membangun. Hutang yang semakin meningkat akan semakin menyukarkan negara peminjam melunaskannya. Sangat mencekik darah, bahkan, ada negara yang sehingga terpaksa menggadaikan aset nasionalnya untuk membayar hutang tersebut. Ironinya, bukan semua hutang tersebut adalah kepunyaan pemerintah, malahan syarikat swasta juga turut menikmati ‘bantuan’ tersebut, sehingga negara terpaksa menjaminnya. Seorang penulis iaitu Jon Hanson dalam bukunya yang bertajuk Good Debt, Bad Debt telah mengibaratkan hutang sebagai kolesterol. Seperti kolesterol, hutang jika terlalu banyak boleh mendatangkan masalah kepada individu atau sesebuah negara, malah ada kalanya ia boleh membunuh.
Pada tahun 2007 sehingga 2009, seluruh dunia dikejutkan dengan krisis hutang global. Bermula dari negara kuasa ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS) sehinggalah krisis itu merebak ke seluruh dunia. Walaupun pada awalnya, ada yang meramalkan tahun 2010 merupakan tahun pemulihan krisis ekonomi dunia, namun krisis hutang terbaru yang melanda Eropah menggusarkan masyarakat dunia mengenai prospek pemulihan dan pertumbuhan ekonomi dunia.
Pada bulan Mei 2010 yang lalu, kesatuan Eropah telah meluluskan dana sebanyak 110 bilion euro atau RM466.4 bilion untuk menyelamatkan Greek. Ini termasuklah bantuan kewangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 30 bilion euro (RM127 bilion). Jumlah dana yang luar biasa ini terpaksa dikeluarkan bagi membolehkan krisis itu tidak merebak ke negara-negara Eropah lain dan seterusnya ke seluruh dunia.
Model Ekonomi Baru?Apakah model ekonomi yang ingin di bangunkan oleh Malaysia sebenarnya? Apakah kemajuan di nilai dengan jumlah hutang yang semakin membesar, memiliki bangunan-bangunan melangit atau melahirkan seramai mungkin jutawan bumiputra? Atau mencapai 30% kekayaan Negara di miliki oleh kaum bumiputra yang sehingga saat ini masih tidak tercapai sejak DEB diperkenalkan?
Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam karyanya Aina al-Khalal pernah berkata: "Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran daripada galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta-kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun."
sumber : http://usrahkeluarga.blogspot.com/2010/10/hutang-negara-bertimbun.html
No comments:
Post a Comment