Ada kalanya anda tentu teringin untuk menasihati seseorang agar menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Tapi, sukar sekali menyusun kata untuk meluahkan apa yang dirasa. Bimbang juga, perubahan yang baik tiada, bahkan membawa sengketa. Jadi, saya ingin sekali berkongsi dengan anda bagaimana cara untuk memberi nasihat yang baik kepada orang lain.
Ikhlaskan niat
Pertamanya, anda perlu meluruskan niat sebelum menegur seseorang. Apakah motif teguran tersebut ? Adakah untuk membuka aib mereka lalu mengangkat tinggi darjat anda di mata orang lain ? Adakah sekadar satu penghinaan kepadanya ? Atau anda benar-benar ikhlas menegur kerana Allah ? Jika niat anda selain daripada kerana Allah, maka luruskanlah dahulu niat anda.
Perbaiki Hubungan
Teguran bukan senang untuk ditelan, ia bagaikan tamparan yang menyakitkan. Bekasnya bukan sekadar di muka tapi lebih parah lagi di hati. Jadi, sebaiknya jika mampu, kenalilah orang yang anda ingin nasihati itu. Siasati, apakah punca kekhilafan dia dan bagaimana cara terbaik untuk menegurnya agar teguran itu dapat diterima dengan hati yang terbuka.
Sendirian
Malu besar jika teguran itu dibuat di khalayak ramai. Apatah lagi jika yang ditegur itu adalah orang terkenal, ternama dan pemimpin rakyat. Teguran yang baik jika dibuat di khalayak ramai hanya mengundang mudarat dan tiada manfaat. Maka gunakanlah kesempatan jika memungkinkan anda untuk berdua sahaja bersamanya. Teguran ini lebih diterima dengan hati terbuka.
Tegur Kerana Sayang
Tegurlah seseorang kerana anda menyayanginya kerana Allah. Nyatakan diawalnya bahawa anda ingin meminta maaf jika teguran anda mengguris hatinya tapi ia penting kerana anda menyayanginya kerana Allah. Kata-kata begini membolehkan orang yang ditegur siap untuk menerima teguran anda. Jadi sebaiknya yang menasihati dan yang dinasihati adalah sejantina, takut-takut lain pula jadinya.
Memuji sebelum menegur
Besarkan hati seseorang dengan kebaikan yang ada padanya. Nyatakan apa yang anda kagumi dengannya. Kemudian, nyatakan teguran anda dan sebaiknya. Jika tidak, dia akan merasakan bahawa kebaikan dan pengobanannya seolah-olah tidak dihargai. Seseorang tidak memerhatikan apa yang dikatakan tapi bagaimana ia diperkatakan.
Hadiah
Jika anda ingin menegur dia agar bertudung, tak salah untuk anda memberikan hadiah tudung kepadanya sebagai dorongan. Pastikan dia memahami niat anda untuk mendorong dia ke arah kebaikan dan bukan untuk menghinanya. Salah faham akan meretakkan hubungan anda.
Perubahan memerlukan masa
Bukan senang untuk berubah, ia memerlukan mujahadah yang sangat tinggi, jadi bersabarlah dalam memberikan dorongan kepadanya untuk berubah. Tiba masanya, mungkin dia lebih baik daripada kita.
Tingkatkan kebaikan
Hati kita umpama sebiji gelas, jika kita mengisinya dengan air (kebaikan), maka ruang kosong (kejahatan) akan berkurang. Begitulah sebaliknya. Jadi jangan diungkin kesalahan lalu tapi perbanyakkan dorongan untuk dia melakukan kebaikan sehingga kejahatan akan terhilang dengan sendiri.
Tutupilah Aibnya
Pastikan anda tidak membicarakan aibnya di hadapan orang lain melainkan untuk mendapatkan nasihat seperlunya tanpa menyebutkan nama. Atau sesuatu yang dibolehkan oleh syarak. Jika tidak, nasihat anda sekadar mencurah air di daun keladi. Dia akan kecewa dengan kepercayaan yang diletakkan pada anda.
Doa
Jangan lupa untuk berdoa kepada Allah agar dia dan anda diberikan kekuatan oleh Allah untuk tetap melakukan kebaikan. Allahlah yang membolak-balikkan hati kita. Kita sekadar berusaha, Allah jualah yang menetukannya. Dan kepadanya jualah kita akan kembali.
Berlapang dada
Anda perlu sedar bahawa setiap orang ada hak, pandangan dan pegangan mereka sendiri. Berlapangdadalah ketika nasihat anda tidak diterima atau belum dapat diaplikasikan pada waktu terdekat ini. Bersabarlah selalu kerana Allah selalu berserta orang yang sabar.
" Berikanlah aku nasihat di kala aku sedang bersendirian, dan janganlah
nasihati aku di kala aku di tengah kerumunan orang. Memberi nasihat di
tengah keramaian orang samalah dengan kehinaan dan aku tidak sudi
...mendengarkannya. Apabila engkau tidak sependapat denganku dan aku tidak
mahu mematuhi nasihatmu, maka janganlah marah ".(imam syafie)
No comments:
Post a Comment