Alhamdulillah, diberi kesempatan dari Allah untuk menyambung siri pesan buat isteri. Seni rumahtangga adalah sedikit sebanyak kupasan saya berkaitan siri sebelum ini. Siapa yang tak nak kawin ? Pastinya semua yang belum nikah nak sangat nikah. Siang tertunggu-tunggu dan malam termimpi-mimpi : siapakah pasangan sehidup semati ? Yang dah ada satu isteri, masih mencari-cari calon untuk memenuhi 3 kekosongan lagi. Wah begitu hebatnya penangan sebuah pernikahan ! Topik yang tidak pernah basi la katakan.
Namun, hidup tidak selalunya indah, laut tak selalunya tenang. Tiba masanya, hujan pastikannya turun, taufan tentunya melanda kerana itulah suratan kehidupan. Namun bagaimana kita mengelola kemudi, saat bahtera pernikahan diamuk badai yang mengganas ?
Kenapa pergaduhan terjadi ?
Kita perlu sedar hakikat bahawa suami dan isteri datang dari 2 jantina yang berbeza, keluarga yang berbeza, didikan dan perangai yang berbeza. Dalam mengenali, memahami dan menyulami perbezaan ini tentu sekali berlaku banyak percanggahan pendapat. Pernikahan juga datang bersama tanggungjawab, siapkah kita belajar untuk memikul tanggungjawab yang tidak pernah kita sentuh sebelum ini ? Dan ramai yang kecundang kerananya.
Bersiap dengan sabar
Kepada yang belum bernikah, bersiaplah menuju hari bahagia anda dengan sebaiknya. Belajar dan praktikkan selok-belok agama dan kehidupan berumahtangga sehingga bagaimana mendidik anak-anak. Ia penting agar anda tidak terkejut dengan perubahan yang bakal terjadi setelah nikah dan menimang cahaya mata. Dunia bujang dan dunia berumahtangga adalah dua dunia yang cukup berbeza. Pernikahan membawa anda untuk lebih dewasa dan meninggalkan zaman anak-anak dan remaja.
Pilih memilih
Sebelum nikah, pilihlah pasangan yang terbaik agamanya, akhlaknya, keturunannya (keluarganya), urusan rumahtangganya. Selidiki juga kelemahan dan kekurangannya agar anda siap menerimanya setelah nikah. Kita nak nikah dengan orang sanggup susah dan senang bersama kita, masa muda kita hingga di hujung nyawa kita. Jadi pilihlah yang terbaik untuk kita. Pastikan juga ibubapa kita dan calon pasangan merestui pernikahan kita. Belanja nikah ni bukan sikit, jadi baik juga kalau ada tabungan dari sekarang.
Setelah nikah
Seronokkan dapat nikah :) Itulah orang yang kita tunggu-tunggu dan tercari-cari sebelum ini : belahan hati kita. Siapa pun dia, dialah anugerah Allah yang terbaik untuk kita. Kalau ada cela, belajarlah menghargai kebaikan yang masih banyak pada dirinya. Ingatlah bahawa usia pernikahan kita masih baru dan banyak lagi yang perlu kita timba untuk meneroka samudera rumahtangga. Perbaikilah diri dengan memperlengkapkan diri dengan ilmu rumahtangga dan pendidikan anak-anak. Ingat, anda bukan sekadar mengambil pasangan anda sahaja tapi seluruh keluarganya juga menjadi keluarga besar anda.
Saat samudera bergelora
Saat samudera bergelora, belajarlah untuk bersabar. Kemarahan akan memburukkan lagi keadaan. Mintalah nasihat daripada ibubapa untuk memperbaiki hubangan anda dan pasangan. Itulah pentingnya menikah dengan restu ibubapa kedua-dua belah pihak, ibubapa akan memberikan solusi terbaik untuk permasalahan kita dan bukannya menambahkan masalah. Jika permasalahan itu berpunca dari kita, siaplah untuk berubahan. Dengan perubahan anda, insyaAllah pasangan juga akan berubah menjadi lebih baik walaupun terkadang mengambil masa yang lama.
Belajar dan terus belajar
Walau berapa pun usia pernikahan kita, kita perlu terus belajar untuk saling mengenali, memahami, memaafkan dan membantu pasangan kita dengan seoptima mungkin. Kenapa ? Kerana setiap tahap pernikahan itu berbeza cabaran dan keperluannya sehingga menuntut perubahan diri dan kehidupan berumahtangga. Sebagai contoh, kelahiran cahaya mata, peningkatan usia anak, kos hidup, tekanan kerja, keadaan masyarakat, keperluan pelajaran anak-anak, kahadiran menantu dan cucu, tahap kesihatan, pencen, zaman tua dan kematian. Terbukalah dengan perubahan yang mungkin di luar jangkaan anda.
Allahlah sebagai pembantu
Jangan pernah lupa bahawa kita sentiasa bertuhan. KepadaNyalah tempat untuk meminta rezeki, solusi dan perlindungan. Letakkanlah diri, pasangan dan anak-anak anda di bawah perhatian, pertolongan dan perlindungan Allah. Ikatlah mereka dengan cinta dan pengawasan Allah kerana Allahlah tempat untuk meminta tolong. Rumahtangga yang didirikan tanpa tiang agama selalu gagal untuk bertahan lama.
Akhir kalam, semoga akad pernikaha kita yang disaksikan oleh Allah membawa kita ke syurgaNya. Tentu laluannya bukan mudah, maka sabarlah dalam melalui mehnahnya kerana di hujungnya Syurga sedang melambai di sana. Sanggupkah kita menyahut cabaranNya ?
No comments:
Post a Comment