Sunday, November 7, 2010

Tips Menghadapi BANJIR


SK Kg Laut (sumber)

Secara peribadi, saya gembira bertemu banjir. Bagi saya, ia bukan malapetaka yang menakutkan tapi pesta air yang dinanti-nantikan saban tahun. Kami siap menanti kehadiran banjir kerana setiap tahun banjir pasti datang berkunjung ke kampung kami dan kami menyambutnya dengan gembira. Aneh bukan ? Jom saya kongsikan tips untuk menghadapi banjir.


Rumah bertiang tinggi
Jika anda berkunjung ke kampung saya, (Kampung Laut) atau kampung yang biasa didatangi banjir, rumah mereka bertiang tinggi. Rekabentuk ini bertujuan untuk memastikan penghuni rumah masih boleh menetap di rumah saat banjir melanda. Lagi cantik jika tandas pun dibina di atas rumah bagi mengatasi masalah membuang air dan mandi. Jika rumah anda tidak bertiang tinggi seperti ini, maka anda perlu siap untuk berada di kem banjir saat banjir mula menampakkan diri. Rumah flat atau rumah di tanah tinggi juga tidak dinaiki air.

Perahu dan pelampung
Kebanyakan orang kampung yang biasa didatangi banjir mempunyai perahu dan pelampung mereka sendiri. Saat musim banjir kian tiba, pelampung dan perahu diperbaiki untuk digunakan ketika banjir sebagai pengangkutan menggantikan motor dan kereta. Seronoknya dapat main air.

Stok Makanan
Makanan penting buat anda dan keluarga terutama saat anda tidak mampu untuk keluar mendapatkannya di kedai. Jadi pastikan anda menyimpan stok makanan secukupnya jika banjir melanda.

Banjir Bermula
Banjir bukan tsunami yang akan memenuhkan laman rumah anda dengan air dalam masa satu saat, tapi mungkin satu jam atau satu hari. Saat anda melihat bahawa air kian menghampiri pintu pagar rumah anda, maka anda perlu siap untuk bertindak. Situasi ini biasanya dihadapi oleh mereka yang tinggal berhampiran dengan sungai dan parit besar. Anda juga boleh melihat paras air jika hujan lebat melanda. 

Kawasan Tinggi
Anda seharusnya mengetahui di mana lokasi tanah tinggi yang tidak dinaiki air jika banjir melanda. Di sinilah lokasi strategik untuk dibina pasar, masjid, balai raya dan sebagainya. Jika banjir pun, fasiliti ini masih boleh digunakan. Kami biasa solat  raya dan solat jumaat ketika banjir melanda sebab masjid masih boleh digunakan.

Selamatkan Kenderaan
Cepat selamatkan kenderaan anda. Bawa kenderaan ke kawasan tinggi yang tidak dinaiki air. Pastikan kenderaan dikunci stering dan leher motor untuk mengelakkan kecurian. Anda juga boleh mengangkat motor ke atas rumah jika memungkinkan bagi mengelakkan ia dimasuki air.

Kemaskan barang
Kemaskan barang-barang di laman rumah agar tidak dihanyutkan air dan diletakkan di tempat tinggi. Pastikan alat elektrik tidak ditenggelami banjir. Dokumen-dokumen penting dan buku persekolahan diletakkan setempat untuk memudahkan anda jika terpaksa berpindah.

Main Air
Pastikan anak-anak bermain banjir dengan pengawasan orang dewasa di tempat yang selamat. Anda perlu mengetahui di mana lokasi tempat membuang sampah, longkang, parit dan tempat berbahaya kerana gagal dilihat setelah ditenggelami banjir. Ramai yang meninggal kerananya.

Jika berpindah
Jika air terus naik dan anda diminta untuk berpindah, maka pastikan bahawa suis utama elektrik ditutup dan alatan elektrik diletakkan di tempat yang tinggi. Bawa barang berharga bersama anda.

Setiap tahun, kami meraikan banjir di rumah sendiri dengan kenangan tersendiri. Mungkin... itulah penyebabnya ia dinanti-nanti.

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com