Tuesday, August 24, 2010

Seronoknya Beraya Di Kampung



Pulang ke kampung adalah satu kemestian apabila menyambut hari raya. Meriahnya bertemu sanak-saudara yang jarang bersua mata. Ibubapa sibuk memikirkan apa yang bakal dimasak bersama ipar duai, pakaian yang bakal dipakai dan segala persiapan termasuklah kampung suami atau isteri yang patut didahulukan. Anak-anak pula siap dengan bunga api dan mercun yang dibungkus rapi untuk dimainkan bersama sepupu-sepupu mereka nanti. Nenek di kampung sibuk menghitung anak dan cucu yang mana akan pulang di hari raya nanti. Pendek kata, semuanya ternanti-nanti hari yang bahagia ini.

Saya semestinya gembira dengan kegembiraan kalian. Inilah masanya, yang jauh didekat-dekatkan, yang dekat dimesra-mesrakan. Cuma saya ingin sekali agar sambutan hari raya kali ini lebih bermakna untuk kita semua. Jom kita renungkan dan lakukan perubahan untuk keselamatan di dunia dan akhirat. Agar Ramadhan yang kita lalui akhirnya menjadikan kita semua mukmin yang benar-benar bertaqwa.


Aurat

Disebabkan kita bakal bertemu dengan ramai orang, ada baiknya kita menyemak naik hukum berkaitan aurat. Aurat berasal daripada bahasa Arab, 'Aurah' yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab, ayat 59).

BATAS AURAT WANITA MENURUT ULAMA’ MAZHAB

Antara batas aurat wanita yang telah ditetapkan oleh syariat menurut pendapat dan fatwa mazhab ialah ;

1. Di hadapan lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuh. Maksudnya semua termasuk rambutnya, mukanya, kedua tapak tangannya zahir dan batinnya juga kedua tapak kakinya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : ”Sesungguhnya wanita itu adalah aurat”. (Hadith riwayat Al-Bazar dan At-Tirmizi).

2. Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya, batas auaratnya adalah antara pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi akhklak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah wanita itu menjaga dan menutup auratnya yang selain dari pusat hingga lutut agar tidak menimbulkan ghairah kepada lelaki walaupun darjatnya mahrahm dengannya. Lebih-lebih lagi ditakuti akan timbul fitnah, kes sumbang mahram dan lain-lain.

3. Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah aklaknya, aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan dua tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.

4. Aurat wanita sahaya (hamba) kepada lelaki yang mahram dengannya dan sesama perempuan auratnya adalah dari pusat hingga lutut. Dengan lelaki bukan mahram dengannya ( ajnabi ) auratnya adalah seluruh tubuh badan.

Penjelasan-penjelasan ulama tentang batas-batas aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ( bukan mahram). Perbezaan pendapat;

1. MAZHAB SYAFI’IE : ada 2 qaul ;

a) Qaul pertama : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Qaul ini adalah qaul yang paling soheh dalam Mazhab Syaf’ie.

b) Qaul kedua : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedah muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah kepada wanita itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah iaitu ( ”apa yang lahir pada dirinya yang mana dengan melihatnya boleh mendatangkan nafsu syahwat).

2. MAZHAB HAMBALI : ada 2 qaul ;

a) Qaul pertama : Semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali kepada lelaki ajnabi.

b) Qaul kedua : Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

3. MAZHAB HANAFI : ada 2 qaul ;

a) Qaul pertama : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.

b) Qaul kedua : Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan dan dua tapak kaki.

4. MAZHAB MALIKI : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.


SIAPAKAH YANG DIKATAKAN GOLONGAN MAHRAM DENGAN WANITA.

1. Suami

2. Bapa sendiri ( bapa kandung)

3. Bapa suami (bapa mertua)

4. Anak lelaki

5. Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.

6. Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).

7. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara)

8. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara)

9. Wanita Islam yang berakhlak.

10. Hamba lelaki yang mereka miliki

11. Pelayan lelaki (khadam) yang sudah tidak ada syahwat kepada wanita.

12. Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).

13. Anak lelaki susuan.

14. Bapa susuan.

15. Saudara susuan.

16. Bapa saudara sususan, datruk saudara susuan hingga ke atas, dan anaksaudara susuan hingga ke bawah.

17. Menantu lelaki.



Pembahagian Bilik

Di mana kita sekeluarga tidur apabila pulang ke kampung? Tentunya bersesak-sesak di ruang tamu dan mungkin hingga ke dapur kerana bilik semuanya sudah berpenghuni. Rimas atau tidak, itulah tradisi sejak kita kecil. Lagi merimaskan apabila keluarga kian bertambah dari tahun ke tahun. Bila tidur, tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai aksi yang dapat ditonton. Kalau lelaki mungkin tidak bermasalah, tapi kalau perempuan bagaimana pula ?

Kali ini, cuba kita bincangkan bersama keluarga agar para ibu dan anak-anak perempuan diwajibkan untuk tidur di bilik, begitu juga dengan bayi yang masih menyusu. Anak-anak lelaki dan para ayah pula berkorbanlah untuk tidur ruang tamu. Jadi, kita semua akan lebih selesa dan beraktiviti dengan semaksima mungkin. Aurat antara kita sekeluarga juga akan lebih mudah untuk dijaga.



Bersalaman

Bersalaman adalah satu kemestian semasa menziarahi sanak-saudara. Tapi pernahkah anda memastikan dahulu apakah status orang yang anda salami : mahram, bukan mahram atau haram sementara untuk dikahwini ? Hal ini penting agar kita tidak mendapat dosa secara sengaja atau tidak sengaja.

Jika anda pasti bahawa orang yang menghulurkan tangan itu haram untuk anda salami, anda boleh menjaga hatinya dengan melapik kain pada tangan anda. Tapi, untuk jangka panjang saya cadangkan anda sekadar tersenyum dan menggelangkan kepala kepadanya. Hasilnya, orang tersebut akan memastikan bahawa kejadian seperti itu tidak akan berulang pada masa mendatang.


Akhir kalam, semoga lebaran kali ini lebih bermakna buat kita semua. Amin.

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com