Setiap kali terjadinya kes pembunuhan dan pembuangan bayi, masyarakat selalu mencemuhnya, polis sibuk mencari bukti dan menteri pula berbincang sesama sendiri. Jika tertangkap, maka pesalahnya pasti akan dihukum gantung sampai mati. Tapi berbeza dengan perokok, walaupun 10000 orang maut setahun kerana merokok dan menghidu asap rokok, namun kerajaan masih berkompromi. Jutaan ringgit dilaburkan untuk merawat kanser yang dihidapi perokok, iklan tak nak rokok dan ceramah kesedaran.
Kandungan Rokok
Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.
Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.
Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.
Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.
Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.
Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal
Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak
- Tahap IQ yang rendah
Tahukah Anda ?
Keratan akhbar Berita Harian 1 April 2010 menyiarkan bahawa Profesor Simon Chapman mengesahkan wujudnya kandungan darah babi dalam putung rokok.
Fatwa
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-37 yang bersidang pada 23 Mac bersetuju membuat keputusan bahawa :
"Merokok adalah HARAM dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan"
Fatwa ini berdasarkan dua dalil berikut :
"dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan" (2:195)
"tidak memudharatkan(orang lain) dan tidak saling memudharatkan(antara satu sama lain)" (HR Ahmad dan Ibnu Majah)
Sayangilah Keluarga Anda
Lihatlah wajah isteri dan anak-anak anda, mereka masih memerlukan anda sebagai seorang suami dan ayah. Siapakah yang bakal menanggung kos rawatan anda jika terkena sebarang kanser akibat rokok ? Siapakah yang bakal menyara mereka jika anda mati akibat rokok ? Relakah anda jika isteri dan anak-anak sakit dan mati kerana rokok yang anda puja-puja selama ini ? Dan andalah pembunuhnya !!!
Fikir-fikirkanlah duhai saudaraku. Berubahlah sebelum terlambat !
No comments:
Post a Comment