Saturday, February 5, 2011

Motivasi Solat Untuk Anak-Anak


Anak-anak adalah amanah Allah. Menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik anak-anak agar menjadi generasi yang taat mendirikan solat saat mereka masih kecil. Jadi, jom kita bincangkan tips untuk memotivasikan anak-anak untuk taat mendirikan solat.


Melihat lebih baik dari mendengar
Hakikatnya, anak bijak meniru apa yang dilihat berbanding apa yang didengar. Jadi sejak hari pertama anak lahir, perlihatkan pada mereka saat anda solat. Saat mereka semakin membesarkan, biarkan mereka terus berada di sekitar tempat anda solat. Bayangkanlah saat Hasan dan Husin membuatkan Rasulullah saw sujud dengan jangkamasa yang lama ketika solat baginda dan baginda malah menyukai kejadian tersebut. Jadi pastikan ibubapa tetap mendirikan solat 5 waktu ditambah dengan solat sunat yang lain.

Alatan solat
Memberikan sejadah khas untuk anak tatkala anda ingin mendirikan solat juga akan memberi motivasi solat untuk anak-anak selain mengurangkan gangguan untuk anda solat lebih khusyuk. Jika anak-anak sudah kian membesar, belikan mereka peralatan solat sendiri seperti baju melayu, kopiah dan telekung solat. Wah, mereka tentu gembira mendapat hadiah seperti itu.

Jom ke Masjid
Saat anda mengunjungi surau atau masjid, bawalah anak-anak juga untuk mendatangi rumah Allah. Anak-anak yang sejak kecil mengenal rumah Allah insyaAllah akan betah untuk ke masjid hingga ke hujung usianya. Namun begitu anda perlu menyelia anak-anak agar menjaga adab di dalam surau dan masjid. Bagus juga jika melibatkan anak-anak dengan aktiviti kejiranan yang dianjurkan oleh pihak masjid agar anak-anak merasakan  masjid adalah tempat istimewa di hati mereka.

Ilmu solat
Ajarkan anak-anak tentang kepentingan solat, rukun solat, tatacara untuk solat dan pelbagai ilmu lain yang berkaitan dengan solat. Otak anak-anak kecil cepat dan cekap menghafaz bacaan solat dan surah-surah pendek. Hasilnya, anak akan tumbuh menjadi individu yang bijak dan berakhlak mulia.

Solat Berjamaah di rumah
Solat berjamaah di rumah adalah satu cara yang sangat baik untuk mewujudkan suasana solat dalam rumah anda. Luangkan masa untuk solat berjamaah bersama keluarga tersayang dan anda akan merasai kebahagiaan yang sebenar dalam hidup berkeluarga kerana kasih-sayang dan kebahagiaan datangnya daripada Allah yang diturunkan ke dalam hati orang-orang yang beriman.

Disiplin
Ibubapa juga perlu mendisiplinkan anak untuk bagun solat subuh sebelum ke sekolah dan mendirikan solat fardhu yang lainnya. Mungkin anda boleh menyatakan pahala daripada Allah untuk mereka yang solat dan anda juga boleh memberi hadiah tanda menghargai usaha mereka. 

Kawan-kawan
Pastikan anak anda berkawan dengan anak-anak yang suka mendirikan solat dan baik akhlaknya. Kawan-kawan akan menjadi penolong anda mendidik anak-anak menjadi insan mukmin yang kamil.

Itu saja tips daripada saya, mungkin anda ingin berkongsi cara lain di bahagian komen. Terima kasih.
panduankelahiran

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com