Assalamualaikum semua,
Hari ini saya akan membawa kalian mengenali nenek saya yang kami panggil Tok Wan atau nama sebenarnya Wan Bidah binti Wan Muda @ Raja Abdullah. Percayakah anda jika pendapatan beliau sebulan ialah lebih RM2000 tanpa melakukan apa-apa kerja di rumah?
Menurut Tok Wan, beliau hidup dari zaman British dan Jepun memerintah Tanah Melayu. Pelbagai pengalaman dilalui olehnya termasuk berjalan kaki dari Kg Laut ke Peria untuk menjual dodol dan keropok. Zaman yang dulunya begitu susah untuk mendapatkan wang tapi barang yang dibeli sangat banyak dengan wang yang sedikit. Bayangkan sebaldi ikan berharga 10 sen dan sebidang tanah berharga RM5 sahaja. Itulah zaman beliau mengerah keringat mengerjakan sawah dan ladang.
Bidan dan Tukang urut
Selain itu, Tok Wan memiliki kepakaran mengurut, bertungku dan menyambut ramai bayi sewaktu para ibu bersalin di rumah suatu ketika dulu. Sejak usia semakin senja semuanya telah Tok Wan tinggalkan, kalau ada pun perkhidmatan khas untuk anak cucu yang sakit. Waktu Ummu Uswah mengandung, Tok Wan lah yang betulkan kedudukan bayi dalam kandungan. Bersusah-payah membantu menyediakan ramuan akar kayu dan berbarut waktu berpantang dengan bantua mak.
Pendapatan
Walaupun hanya goyang kaki di rumah, Tok Wan menerima bayaran RM2000 sebulan hasil sewa tanah getahnya yang berekar-ekar di Peria. Petua orang dulu-dulu, simpan duit untuk beli tanah kerana tanah akan bertambah harganya. Tok Wan juga mempunyai simpanan dalam akaun BSN dan ASB berjumlah lebih RM30 000. Keperluan yang lain banyak disediakan oleh anak cucu atas rasa kasih sayang.
Tetap mendirikan solat
Walaupun usianya sudah senja dan sesekali berkampung di hospital, Tok Wan tidak pernah meninggalkan solat, berpuasa dan mengeluarkan zakat termasuk zakat harta. Alhamdulillah, beliau juga telah pun mengerjakan haji di Baitullah.
Akhirkata, semoga kita juga menjadi orang kaya yang beriman dan beramal soleh. Orang yang bermanfaat kepada orang lain.