Alhamdulillah,
Hari ini kita akan bincangkan tentang tips mencari impian 4 iaitu KETERBUKAAN dan PENERIMAAN dari beberapa aspek. Sebelum itu, pembaca boleh menyemak tips Mencari Suami Impian 1, 2, dan 3 yang telah kita bincangkan sebelum ini. Tips-tips ini adalah bertujuan agar pihak rumahtangga yang dibina lebih bersedia dengan menghadapi cabaran baru dalam hidup berumahtangga.
Kita akan membincangkan keterbukaan dan penerimaan dari segi :
1. Penerimaan pihak lelaki atas kekurangan dan kelebihan pihak perempuan yang akan dinikahi dan sebaliknya.
Penerimaan ini penting kerana setiap individu mempunyai kelebihan dan kekurangan dari segi paras rupa, IQ, harta, darjat, pangkat dan taraf hidup keluarga. Sanggupkah pihak lelaki menerima pihak perempuan seadanya dan pihak perempuan menerima pihak lelaki seadanya. Kedua-dua belah pihak perlu telus dalam menyatakan kelebihan dan kekurangan masing-masing agar pasangan mereka siap menerimanya setelah akad nikah dilangsungkan.
Jika pasangan anda tidak dapat menerima anda seadanya, maka berpisah adalah pilihan yang terbaik untuk kalian sebelum akad nikah dijalankan. Melainkan anda sanggup menanggung risiko.
2. Lelaki duda atau suami orang
Jika lelaki tersebut duda yang telah mempunyai anak atau lelaki yang telah bersuami meminati anda. Maka, banyak perkara lain yang anda perlu timbang-timbangkan. Persoalan terbesar untuk anda : sanggupkah anda menghadapi cabaran hari-hari berikutnya dengan cabaran besar yang sedang menanti anda selepas akad dijalankan melebihi menikahi teruna ? Fikir-fikirkanlah.
3. Penerimaan kedua-dua belah keluarga
Biasanya, keluarga pihak lelaki akan mengunjungi keluarga pihak perempuan yang dipanggil upacara merisik dan bertunang. Dalam tempoh masa ini, kedua-dua belah pihak cuba mengenal dengan lebih dekat. Penerimaan kedua-dua belah keluarga terhadap pernikahan anda, calon suami dan besan baru adalah tanda barakah untuk pernikahan anda kerana mendapat restu ibubapa. Keistimewaannya, susah senang hidup anda di kemudian hari akan turut mendapat perhatian dan pertolongan kedua-dua belah keluarga berbanding mereka yang tidak direstui pernikahannya. Anda sekeluarga juga akan mendapat doa daripada mereka.
Jika tidak direstui, maka memutuskan hubungan kasih adalah keputusan yang paling tepat untuk kalian. Walaupun pahit untuk ditelan tapi manisnya akan datang dengan calon baru yang lebih barakah dan sesuai untuk anda.
Kesimpulannya, keterbukaan dan penerimaan terhadap kekurangan dan kelebihan pasangan adalah syarat yang agak penting agar kalian saling memahami, menyayangi, membantu dan menghargai antara satu sama lain. Suami isteri adalah individu yang saling melengkapi sehingga akhir usia mereka dalam meniti hari-hari menuju syurga yang hakiki.
Andai anda masih mencari, maka carilah teman ke Syurga. Andai anda sudah berpunya, maka jadilah peneman menuju SyurgaNya. Andai ada tersilap kata, terkasar bahasa, maaf juga yang saya pinta.