Sunday, December 21, 2014

Turunkan Berat Badan Secara Sihat

Yamin, 22, mempunyai berat badan berlebihan. Namun, dia nekad mendapatkan berat ideal sebelum melangsungkan perkahwinan. Apa yang bermain di fikiran adalah menggunakan jalan pintas dengan mengambil pil pelangsing disebabkan terpengaruh dengan iklan di media elektronik, media cetak dan media sosial.
Situasi yang dialami Yamin memang normal dalam masyarakat hari ini. Pembelian ubat kurus melalui jurujual terbuka kepada sesiapa saja tanpa mengira sejarah perubatan atau keperluan. Harganya pula mencecah ratusan ringgit, malah kadangkala ribuan ringgit kerana pengguna perlu mengambilnya secara berterusan. Lebih malang, si penjual tiada pengetahuan dan kepakaran dalam bidang perubatan dan hanya bergantung pada pengakuan si pelanggan semata-mata.


Menurut Pegawai Dietetik Hospital Azzahrah, Siti Hajar Mustaffa, pil pelangsing selalunya tidak diklasifikasikan sebagai ubat, sebaliknya sebagai makanan tambahan. Ini kerana ia tidak tertakluk dalam akta yang sama dengan ubat-ubatan yang mendapat preskripsi doktor. Justeru, dengan sewenang-wenangnya ia mudah didapati dan dijual tanpa bukti klinikal sahih.
"Keadaan ini menyebabkan pengguna perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan iklan ubat pelangsing. Paling utama, kurus bukan hanya untuk kelihatan cantik, tetapi juga untuk sihat," katanya.
4 kategori ubat kurus
Dalam perubatan, terdapat empat kategori ubat kurus iaitu ubat yang bertindak untuk meningkatkan kadar metabolisme badan, menyekat selera makan, membantu mengurangkan jumlah lemak dan berfungsi mengurangkan penyerapan makanan.
Setiap satu mempunyai tindak balas berbeza. Sebagai contoh, ubat yang menyekat selera makan akan menyebabkan berat badan pengguna turun dengan pantas kerana tidak makan manakala ada juga ubat yang menyebabkan pengguna berulang-alik ke tandas kerana kerap membuang air kecil dan besar.
Bagaimanapun, ubat yang bertindak dalam masa singkat dan tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia berkemungkinan mengganggu fungsi organ dalaman dan boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman pengguna. Hal ini ada dinyatakan dalam Garis Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Obesiti Malaysia 2004.
Hakikatnya, kurus atau langsing bukanlah perkara mudah yang mampu diraih dalam tempoh singkat. Jadi jika ada jurujual yang mendakwa pil pelangsing boleh membuatkan anda kurus dalam kadar yang cepat, pastikan anda tidak terpedaya.
"Kurus bukanlah boleh dicapai dalam tempoh tiga atau empat bulan dengan hanya bergantung kepada pil pelangsing semata-mata. Sebaliknya, gabungan pengambilan diet yang terjaga, senaman yang kerap dan mungkin jika anda memerlukan pil pelangsing, ia mesti diberi dengan kebenaran doktor bertauliah, juga untuk mereka yang mengalami obesiti keterlaluan," katanya.
Jelas Siti Hajar, proses menurunkan berat badan secara semula jadi paling baik, namun ramai wanita tidak mengamalkannya. Ini kerana proses yang perlu dilalui mengambil masa lebih lama, tetapi percayalah ia dapat mengelak sebarang komplikasi kesihatan berbanding pengambilan ubat pelangsing.
Ramai tidak tahu pil pelangsing memberikan kesan sampingan terhadap organ dalaman disebabkan kandungan bahan yang mampu mempercepatkan penurunan berat badan antaranya:
1. Kesan pada jantung seperti rasa berdebar-debar, meningkatkan tekanan darah, degupan jantung tidak sekata, sakit dada, resah dan penat.
2. Dalam sesetengah keadaan, ia membuatkan tangan menggigil, sakit kepala, pening, muntah, loya, cirit-birit, sakit perut dan mulut kering.
3. Ia juga menyebabkan mati pucuk.
4. Rasa segar sehingga sukar tidur.
5. Kesan lebih teruk boleh merosakkan organ dalaman sehingga membawa maut.
Oleh itu disarankan wanita mahupun lelaki bertemu doktor untuk mendapatkan rundingan mengenai penurunan berat badan yang diinginkan. Rundingan untuk mengenal pasti dan mengatasi masalah perubatan, biologi atau psikologi yang menyebabkan mereka mengalami lebihan berat badan.
Rundingan dengan pegawai dietetik atau pemakanan pula untuk mendapatkan nasihat cara menurunkan berat badan secara sihat dan selamat.
Apa yang perlu diketahui adalah keperluan tenaga harian supaya mereka mampu berdiet dengan selamat. Jangan terlalu mengurangkan pengambilan kalori misalnya dengan langsung tidak mengambil nasi atau makanan kegemaran. Ini kerana jika anda betul-betul lapar, anda akan makan secara berlebihan. Untuk itu, dapatkan menu makanan daripada pegawai dietetik.
Apa yang perlu dilakukan adalah makan mengikut saranan Piramid Makanan Malaysia dengan memperbanyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh.
"Diingatkan supaya tidak meninggalkan terus sumber gula dan lemak kerana ini boleh meningkatkan keinginan untuk makan. Selain itu, tubuh badan juga memerlukan nutrien yang terdapat dalam lemak dan karbohidrat," katanya.
Paling penting lakukan senaman secara konsisten. Mulakan dengan berjalan beberapa minit dan perlahan-lahan tingkatkan jangka masa senaman sehingga 45 hingga 60 minit setiap hari. Berjoging dan berenang antara senaman yang sangat baik untuk tubuh kerana menggunakan keseluruhan otot badan.
Tidak semua mampu melakukan aktiviti ini terutama mereka yang mengalami masalah obesiti keterlaluan. Ini kerana senaman berat menyebabkan masalah sendi dan lutut kepada pesakit. Oleh itu anda perlu mendapatkan nasihat pakar terlebih dulu sebelum bersenam.
"Ingat, penurunan berat badan yang sihat dan realistik memang mengambil masa. Kehilangan setengah kilogram seminggu mungkin tidak memotivasikan anda, tetapi jika terlalu cepat berat badan diturunkan, ia membuatkan diri anda lapar dan akhirnya makan lebih banyak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com