Subhanallah, rasa bukan saya seorang yang dihujani dengan persoalan jantina anak yang telah kita perolehi hasil dari perkahwinan kita.
Tentunya kita ingin anak lelaki dan perempuan hadir dalam keluarga kita. Namun bukan kita yang mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan jantina anak yang bakal isteri kita lahirkan. Semuanya kuasa Allah dengan sedikit usaha kita.
Allah jualah yang berhak untuk mengurniakan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan mejadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Dan tentunya Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.
Bila balik kampung je, kita akan mengira bilangan anak masing-masing. Si Along anak 5 orang anak perempuan, angah pula 5 orang anak lelaki. Wah, hebatnya! Cuba tanya balik, siapa lagi hebat. Along, Angah atau Allah ? Tentunya Allahlah yang Maha Hebat! Kerana Allahlah yang berhak menentukan jantina anak tersebut.
Janganlah bersedih saat anda mendapat deretan anak satu jantina terutama anak-anak perempuan sedangkan anda mengharapkan yang sebaliknya. Rasulullah s.a.w. saat dikhabarkan bahawa Saidatina Khadijah melahirkan anak perempuan baginda yang keempat tidak berasa kecewa bahkan berasa gembira dan bangga. "Sesungguhnya anak ini akan dimuliakan oleh Allah." Dan anak itu ialah Saidatina Fatimah yang paling disayangi Rasulullah s.a.w. dan umat ini. Subhanallah... Alhamdulillah... Allahhuakbar.
Betapa Rasulullah s.a.w. mencontohkan kepada kita agar bersyukur dengan apa jua kurniaan Allah pada kita lantas mendoakan kebaikan buat si anak. Bukankah di belakang seorang lelaki yang hebat, wujudnya seorang wanita hebat yang menjadi tulang belakang lelaki tadi. Justeru, tugas kita ialah mendidik anak-anak menjadi lelaki dan wanita yang hebat di dunia dan akhiratnya.
Semoga kita terus ikhlas, terus mencari ilmu dan terus berusaha untuk mencetak diri dan keluarga serta masyarakat kita menjadi calon-calon yang layak untuk masuk ke syurga Allah tanpa dihisab. Amin.
No comments:
Post a Comment