Saturday, January 31, 2009

Bola Sepak ?


Petang itu, angin bertiup sepoi – sepoi bahasa. Kami sekeluarga tenang menghadap teh masing – masing sambil melayan fikiran sendiri.

“Ayah… boleh tak kalau Along nak tengok bola di stadium malam ni?” soal abang sulung ku memecahkan keheningan kami.

“Em… Alongkan dah nak PMR tak lama lagi, kalau nak tengok juga, tonton dalam televisyen je, ayah tak suka anak ayah keluar malam!” tegas ayah.

“Ala… kali ni je. Ibu… ayah… boleh la…” rayu Along.

“Keputusan adalah muktamad, sebarang surat menyurat tidak akan dilayan,” jawab ayah sebelum berlalu meninggalkan kami.

Aku memandang ibu dan tersenyum melihat keletah Along dan ayah.

Sebelum masuk tidur, Along mengingatkan aku untuk mengejutkannya pukul 3.00 pagi, katanya dia teringin melihat pemain bola sepak yang diminatinya beraksi di atas padang.

“Tengoklah…” jawabu acuh tak acuh sebelum masuk ke bilik.

Pagi itu aku menemani Along menunaikan menyaksikan perlawanan bola sepak Manchester vs Chelsea. Ada sesuatu yang menarik perhatianku pada perlawanan itu. Lalu kuperhatikan gelanggangnya, pemain - pemainnya, bolanya, jersinya dan gaya permainannya. ‘Apa yang menarik ye ?’

“Sejak bila pemain – pemain ni pakai seluar panjang, bukan ke mereka biasa pakai seluar pendek je?” soalan Along memangkas lamunanku.

“O… itulah perkara yang menarik perhatian adik tadi. Bagus la tu, Along. Menutup auratkan adalah wajib di sisi Allah. Sehebat mana pun kita beraksi, kita akan menang hanya dengan pertolongan dan izin Allah,” Jawabku.

“Corak permainan mereka pun nampak lebih mantap daripada sebelum ini,” ulas Along.

“Along, adik lapar la. Adik cari makanan dalam peti ais dulu ye,” ujarku sambil berlalu pergi.

“Adik ! Adik !” jeritan Along membuatkanku bergegas mendapatkannya.

“Ye…kenapa?” soalku tercungap – cungap kepenatan. Boleh lemah jantung dibuatnya.

“Tengok tu, mereka solat ramai – ramai atas padang. Kagumnya …” terang Along dengan rasa takjub.

“Ayah!! Ibu !!!” kini giliran aku pula yang terjerit – jerit memanggil ayah dan ibu.

“Adik… adik…adik mengigau ye,” ibu menepuk – nepuk bahuku.

Aku terkebil – kebil memandang ibu. “Ibu, tadi adik mimpi ye?” soalku.

“Ya, adik mimpi apa ye?” soal ibu memancing minatku.

“Adik mimpi orang main bola sepak pakai seluar panjang, pastu mereka semua solat atas padang, bu,” terangku bersungguh – sungguh.

Ibu memandang tepat pada jam swiss yang berada di tangannya. “Ok, sekarang dah pukul 5.15 pagi, apa kata adik bangun, solat tahajud dan doakan apa yang adik mimpikan menjadi kenyataan, subuh nanti kita jemaah sama – sama kat bilik solat ye, sayang,” cadang ibu lembut.

“Baik,” ujarku lalu terus berlalu ke bilik air untuk berwuduk.

Solat kali ini kurasakan kekhusyukan yang tidak terungkap dengan kata – kata. Saat tangan kuangkat, lalu lisanku berdoa, “Ya Allah, sampaikanlah salamku buat Rasulullah saw, ahlil baitnya serta sahabat – sahabat baginda. Aku memohon ampun padaMu Ya Allah, atas segala dosa - dosaku, kedua ibubapaku, guru – guru, ahli keluargaku dan muslimin serta muslimat di seluruh dunia. Kurniakanlah kami dengan hidayahmu, agar mimpiku hari ini akan menjadi kenyataan esoknya. Amin.” Tanpaku sedar ada sungai jernih yang mengalir di pipiku.

Azan subuh menggamit kami sekeluarga ke ruang solat. Suara ayah mengangkat takbir memecah keheningan pagi dan kami terus khusyuk dalam bacaan kalamNya. Alangkah indahnya hidup ini andai hidup berpaksikan ajaranNya.


No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com