Memiliki payudara cantik dan sihat adalah anugerah yang tidak ternilai dan sangat beruntung bagi mereka yang memilikinya. Namun, bukan mudah mengekalkan kecantikan dan kesihatan payudara kerana setiap wanita berisiko menghidap kanser payudara dan ia menjadi ancaman utama sehingga mengundang kematian.
Disebabkan anggapan payudara juga adalah lambang kewanitaan, setiap wanita tanpa mengira usia dibayangi kebimbangan mengenai bentuk payudara mereka apabila usia semakin meningkat.
Ini kerana, wanita muda khuatir dengan saiz payudara sama ada terlalu kecil atau terlalu besar, manakala wanita yang semakin berusia pula runsing apabila payudara mula kendur dan tidak sepejal ketika muda.Malah, segelintir wanita juga beranggapan memberi susu badan kepada anak akan menjejaskan bentuk payudara.
Perunding Pakar Bedah Payudara, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Ng Char Hong berkata, sebagaimana tubuh berubah mengikut umur, bentuk dan keanjalan payudara juga akan berubah sebaik wanita memasuki usia 20-an, 30-an, 40-an dan 50-an.
Bagaimanapun, wanita muda atau berusia sepatutnya lebih mengutamakan kesihatan payudara dan bukan bentuk fizikalnya berikutan ancaman utama kepada payudara adalah kanser payudara, kanser paling banyak dihidapi golongan wanita di Malaysia.
Menurut Dr Ng, peluang terbaik untuk mengubati kanser payudara ialah apabila ia dikesan dan dirawat lebih awal. Justeru penting untuk setiap wanita menanam kesedaran mengenai kesihatan payudara dan menjaga bahagian tubuh berkenaan meÂngikut usia masing-masing.
Wanita 20-an
"Pada usia 20-an, amalan penjagaan dilakukan wanita ketika ini mampu mengurangkan risiko mendapat kanser payudara. Amalan pertama, buat pemeriksaan klinikal payudara dan sentiasa peka dengan keadaan payudara. Pemeriksaan klinikal payudara adalah pemeriksaan fizikal yang dijalankan oleh mereka yang profesional dalam perubatan.
"Pemeriksaan sedemikian dan perbincangan bersama doktor mengenai kesihatan keseluruhan dan faktor risiko mendapat kanser terbabit secara peribadi adalah cara terbaik untuk meÂngambil tahu apa yang normal dan tidak untuk mereka.
"Pemeriksaan klinikal ini perlu dilakukan secara tahunan, manakala pemeriksaan kendiri payudara dilakukan secara bulanan bagi mengesan sebarang perubahan walaupun kecil dan segera menemui doktor jika ada benjolan," katanya.
Katanya, wanita juga perlu tahu jika ada sejarah dalam keluarga mereka yang pernah menghidap kanser payudara dan berbincang dengan doktor bagi memahami risiko bakal dihadapi.
Mereka mungkin mempertimbangkan menjalani ujian mutasi gen dikenali sebagai Breast Cancer Susceptibility Gene 1 (BRCA-1) dan BRCA-2 yang berkaitan peningkatan risiko kanser payudara.
"Ibu yang baru melahirkan anak juga wajar memberi susu badan sekurang-kurangnya enam bulan berikutan beberapa kajian mendapati menyusu badan boleh mengurangkan risiko kanser payudara, terutama ibu yang menyusu badan selama setahun setengah hingga dua tahun.
"Kajian dikeluarkan Pusat Kajian Kanser Fred Hutchinson, Amerika Syarikat menunjukkan menyusu badan selama enam bulan atau lebih mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 20 peratus.
"Selain itu, wanita pada usia 20-an perlu melakukan senaman secara teratur sekurang-kurangnya 30 minit sehari sama ada berjalan, berbasikal, joging, menari atau apa saja aktiviti fizikal kerana ia juga mampu mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 20 peratus.
"Senaman adalah amalan yang bagus untuk kesihatan keseluruhan membabitkan tulang, sendi dan jantung. Pengambilan makanan seimbang juga perlu dititikberatkan pada usia ini sejajar dengan senaman dilakukan," katanya.
Wanita 30-an
Pada usia 30-an, memupuk kesedaran mengenai penjagaan kesihatan payudara penting dilakukan. Walaupun kadar kanser payudara pada wanita berusia 30-an masih rendah, ini masa penting untuk memulakan penjagaan payudara.
Malah, pada usia ini masalah payudara berkait dengan ketumbuhan bukan kanser. Wanita muda biasanya mengalami peÂnyakit fibrosistik yang menunjukkan gejala seperti kesakitan payudara, sista dan benjolan bukan kanser.
"Kesakitan pada payudara boleh datang sekali-sekala, dialami ketika haid atau boleh juga menjadi tetap. Gangguan fibroadenoma atau ketulan pada payudara juga boleh menjejaskan wanita pada usia 30-an.
"Ketulan membabitkan fibro dan tisu glandular yang bukan kanser tetapi boleh menyakitkan. Jika ia mengganggu, benjolan itu boleh dibuang.
"Bagi meneruskan amalan penjagaan kesihatan yang dilakukan ketika usia 20-an, beberapa lagi perkara boleh dipertimbangkan seperti buat pemeriksaan klinikal payudara dan teruskan pemeriksaan setahun sekali walaupun usia masuk 30-an.
"Nilaikan risiko untuk merancang pelan tindakan. Jika berada dalam kumpulan berisiko tinggi disebabkan sejarah keluarga, doktor akan menyarankan pemeriksaan mamogram atau pengimejan resonans magnet (MRI) setahun sekali," katanya.
Wanita berusia 30-an juga perlu bijak mengawal tekanan kerana kajian terbaru pada wanita bawah usia 45 tahun mendapati pendedahan kepada hidup yang penuh tekanan seperti mengalami perceraian atau kematian bersangkut-paut dengan risiko kanser payudara.
Bersikap ceria dan optimis mampu membangkitkan daya tahan semula jadi menentang penderitaan. Walaupun bersikap gembira tidak melindungi diri daripada kanser, berfikiran positif akan membuatkan kita terus kekal melakukan semua amalan baik yang dilakukan ketika usia 20-an yang menyumbang kepada gaya hidup sihat.
Wanita 40-an
Ketika menginjak usia 40-an, wanita perlu lebih prihatin terhadap kesihatannya kerana ketika ini kadar kanser payudara mula meningkat berdasarkan kajian yang menunjukkan satu pertiga kanser payudara di Malaysia didiagnosis pada umur 40-an.
Pada usia ini, masalah berkaitan payudara paling kerap ditemui adalah sista iaitu kantung dipenuhi cecair. Walaupun ia sejenis ketulan bukan kanser, ia juga menyakitkan, namun masalah ini boleh diselesaikan menerusi pembedahan.
Jangkitan pada lapisan kulit dan sel tidak normal yang muncul pada kelenjar susu iaitu penyakit atypical ductal hyperplasia juga boleh muncul pada usia ini dan meningkatkan potensi mendapat kanser payudara.
"Selain mengambil pemakanan seimbang, melakukan senaman dan mengehadkan tekanan, penjagaan payudara pada usia ini membabitkan membuat jadual pemeriksaan klinikal dan mamogram tahunan. Wanita berusia 40 tahun ke atas wajar melakukan pemeriksaan klinikal payudara dan mamogram setiap tahun.
"Prihatin dengan keadaan payudara sendiri dan segera menemui doktor jika ada sebarang keganjilan. Walaupun keganjilan pada payudara membabitkan benjolan bukan kanser, wanita perlu bersikap berhati-hati dan prihatin dengan keadaan payudara.
"Elak terdedah kepada penyebab kanser seperti radiasi dan bahan kimia. Beritahu pengamal perubatan yang melakukan sinaran X, terutama berdos tinggi seperti imbasan tomografi berkomputer (CT) jika pernah melakukan imbasan sedemikian.
"Jika perlu melakukan imbasan sedemikian, tanya doktor jika ada ujian alternatif seperti ultra bunyi atau MRI. Doktor akan membantu anda menilai sama ada anda memerlukan imbasan sedemikian atau tidak, bergantung kepada keperluan perubatan," katanya.
Wanita 50-an
Pada usia 50 tahun ke atas, ketika menghampiri menopaus, risiko mendapat kanser payudara terus meningkat dan disebabkan itu wanita berusia 50 tahun ke atas perlu lebih waspada mengenai kesihatan payudara.
Selepas putus haid, payudara menjadi kurang anjal, kurang lembut dan kurang ada benjolan. Benjolan tidak berbahaya muncul dan hilang seiring dengan kitaran haid pada wanita muda, tetapi benjolan yang muncul ketika usia ini memerlukan perhatian segera doktor.
Di samping meneruskan tabiat penjagaan payudara sebelum ini, wanita berusia 50 tahun ke atas boleh melakukan beberapa perkara untuk mengurangkan lagi risiko kanser payudara seperti mengekalkan berat badan yang sihat.
"Berat badan yang sihat membabitkan indeks jisim badan (BMI) sebanyak 25 peratus atau kurang. Kajian menunjukkan berat badan berlebihan atau obesiti, terutama wanita pada peringkat pos menopaus, meningkatkan risiko kanser payudara.
"Wanita dengan berat badan berlebihan mempunyai kadar rendah bertahan dari kanser payudara dan peluang tinggi untuk menghidap penyakit lebih agresif berbanding wanita dengan berat badan biasa atau kurang berat.
"Elak atau hadkan terapi penggantian hormon (HRT) kerana terapi ini meningkatkan risiko kanser payudara walaupun pada wanita yang mempunyai isu putus haid," katanya.
Dr Ng berkata, penting menjaga payudara pada setiap dekad usia tanpa mengambil kira saiz dan bentuk payudara. Memahami payudara sendiri membantu anda lebih yakin jika wujud sebarang keganjilan.
Perubahan seperti saiz atau bentuk, benjolan berbeza daripada tisu payudara, perubahan pada tekstur kulit seperti kerutan, bengkak pada ketiak atau tulang leher, sakit terus-menerus pada payudara atau bawah lengan, kemerahan atau ruam pada kulit atau sekitar puting, puting berubah kedudukan dan keluar cairan dari puting tanpa memicitnya.
"Peluang untuk pulih adalah lebih baik jika kanser payudara dikesan dan dirawat di peringkat awal. Saiz kanser dan sejauh mana ia merebak adalah faktor penting dalam meramal prognosis pesakit.
"Wanita yang mahu memulakan penjagaan kesihatan payudara mereka tetapi kurang pengetahuan untuk melakukan apa yang perlu diamalkan boleh berkunjung ke hospital yang menyediakan perkhidmatan pusat penjagaan payudara seperti Pusat Kecemerlangan Rawatan Payudara SunMed," katanya.
Pusat berkenaan yang dirasmikan pembukaannya oleh Ahli Exco Kumpulan Sunway, Puan Sri Dr Susan Cheah, baru-baru ini, menyediakan rawatan perubatan bertaraf dunia dengan menjadi pusat maklumat, rawatan perubatan dan sokongan sehenti yang dikendalikan oleh pasukan perunding dan jururawat pelbagai disiplin.
Matlamatnya untuk menyediakan pendekatan bersepadu dan menyeluruh untuk menambah baik capaian, penyelarasan rawatan, pendidikan dan sokongan bagi mereka yang memerlukan rawatan.
Pusat ini dilengkapi alat pengesanan awal menerusi mamogram, pengimejan payudara, perkhidmatan diagnostik dan pembedahan serta kumpulan sokongan kepada pesakit kanser payudara yang menjalani pembedahan dan kemoterapi. Ia juga dilengÂkapi perpustakaan dengan sumber seperti buku, risalah, video dan model payudara untuk mendidik pesakit dan pengunjung mengenai pelbagai topik kesihatan.
Seorang jururawat payudara khas sedia menasihati pesakit dengan menyampaikan maklumat perubatan praktikal sambil memberi sokongan emosi dan kepastian di semua peringkat diagnosis, rawatan dan pertemuan susulan untuk kanser payudara serta masalah perubatan lain berkaitan payudara.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9313#sthash.6bxwsomr.dpuf
No comments:
Post a Comment