Thursday, December 25, 2014

Info Banjir 25 Dis 2015

Kemas kini: Disember 25, 2014

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di empat negeri terutamanya di Kelantan, Pahang dan Perak terus meningkat pada petang ini dengan jumlah keseluruhan 97,025 orang.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat lagi petang ini apabila 34,491 orang dipindahkan berbanding 32,731 orang tengah hari tadi.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, ia membabitkan mangsa banjir di sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.
Bacaan paras air di Sungai Kelantan di Tangga Krai, Jambatan Guillemard serta Tambatan Diraja dan Sungai Golok di Rantau Panjang terus naik.


Keadaan cuaca pada sebelah petang adalah mendung.

Sementara itu, sebanyak 157 pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Baharu, dipindahkan sebelum air mula masuk di sesetengah bangunan di hospital berkenaan awal hari ini.

Bagaimanapun, di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menurun sedikit di negeri ini apabila hampir 1,500 orang mengambil peluang pulang ke rumah masing-masing setelah air di kawasan kediaman mereka beransur surut, berikutan cuaca kembali cerah di beberapa kawasan, petang ini.

Dengan perkembangan itu, jumlah mangsa banjir kini 28,561 orang daripada 7,001 keluarga berbanding 29,057 orang pada tengah hari tadi, demikian menurut statistik portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.

Kemaman masih lagi menyaksikan mangsa paling ramai iaitu 19,405 orang disusuli daerah Dungun 6,285 orang, Kuala Terengganu 1,612, Hulu Terengganu 654, Besut 490 dan Marang 115 orang.

Pusat operasi keseluruhan 116 iaitu Besut (lima), Dungun (33), Hulu Terengganu (11), Kemaman (53), Kuala Terengganu (12) dan Marang (dua).

Di PAHANG, keadaan banjir belum menunjukkan petanda untuk pulih dengan jumlah pemindahan mangsa terus meningkat petang ini kepada 28,578 orang daripada 7,244 keluarga berbanding 24,316 orang daripada 6,398 keluarga di lapan daerah yang terlibat tengah hari tadi.

Menurut laporan Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, kesemua daerah menunjukkan peningkatan mangsa banjir dengan jumlah mangsa paling banyak di daerah Kuantan iaitu 17,085 orang daripada 4,674 keluarga di 72 pusat pemindahan.

Di Jerantut, 3,926 mangsa ditempatkan di 41 pusat pemindahan diikuti Maran (2,904/20 pusat), Lipis (2,420/30 pusat), Pekan (1,067/21 pusat), Temerloh (736/lima pusat), Rompin (297/tujuh pusat) dan Bera (143/enam pusat).

Laman web Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia menunjukkan paras air di lapan batang sungai utama di Pahang melebihi paras bahaya.

Di PERAK, jumlah keseluruhan mangsa ialah 5,083 orang daripada 1,246 keluarga berbanding 4,335 orang (1,079 keluarga) pagi tadi, di kesemua 46 pusat pemindahan.

Menurut jurucakap MKN Perak, mangsa yang terjejas di daerah Perak Tengah semakin ramai apabila 1,627 orang dipindahkan petang ini berbanding 953 orang di sebelah pagi.

Dua pusat pemindahan baharu turut dibuka di kawasan Lambor menjadikan kesemua lapan pusat dibuka setakat petang ini.

Kuala Kangsar yang meliputi kawasan Sungai Siput masih mencatat jumlah bilangan tertinggi mangsa banjir dengan 2,842 orang daripada 665 keluarga dan 25 pusat pemindahan dibuka.

Di PERLIS, jumlah terkini mangsa banjir meningkat seorang kepada 279 orang berbanding 12 tengah hari tadi dan kesemua mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan iaitu MRSM Beseri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, Dewan orang ramai Padang Malau, Dewan Beseri Dalam dan Dewan Seri Pilihan.

Di KEDAH, jumlah mangsa yang dipindahkan tidak berubah iaitu sekurang-kurangnya 51 orang di beberapa kawasan di negeri itu terutama di daerah Padang Terap.

Info banjir Kelantan 

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com