Apa cita-cita anda ? Soalan budak tadika. Namun ia tidak sesenang itu ! Ramai dari kita melalui hidup ini tanpa ada cita-cita yang ingin dicapai dengan sebulat tekad. Lalu kita bermain bola tanpa tahu di mana gol yang membolehkan kita berbangga dengan kehandalan kita bermain bola. Kalau pun ada, ramai yang belum bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.
Apa pentingnya cita-cita ?
Cita-cita menberi anda inspirasi untuk berusaha melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan memudahkan orang lain membantu anda mencapai impian anda. Cita-cita adalah kerja yang memberi nilai material untuk anda mendapatkan kewangan bagi menyara kehidupan apabila dewasa dan membantu masyarakat dengan kepakaran yang anda ada. Sudah tentu penganggur bukan tergolong dalam cita-cita anda.
Dengan cita-cita juga anda lebih jelas tentang kursus yang perlu anda ikuti dan pencapaian minima yang anda perlukan untuk melayakkan anda mencapai cita-cita anda.
Bagaimana menetapkan cita-cita ?
Cita-cita ditetapkan melalui minat, kebolehan dan kemampuan anda terhadap satu-satu bidang kerjaya. Anda boleh bercita-cita menjadi doktor jika anda meminati bidang kesihatan, mendapat keputusan cemerlang untuk mengikuti kursus kedoktoran dan seterusnya grad dengan cemerlang dalam kursus tersebut tanpa cacat anggota badan.
Namun, cita-cita terkadang berubah mengikut usia dan kondisi semasa anda. Mungkin sejak kecil anda bercita-cita menjadi seorang doktor, tapi disebabkan keputusan peperiksaan Matrikulasi atau STPM anda kurang memuaskan, anda tidak layak untuk menganbil kursus kedoktoran. Atau mungkin anda tidak mendapat kewangan yang cukup untuk melanjutkan pelajaran serta pelbagai faktor lain yang menghalang anda daripada mencapai cita-cita tersebut.
Jika ia terjadi, percayalah bahawa Allah menentu sesuatu yang lebih sesuai untuk anda. Maka, pilihlah cita-cita lain yang mampu untuk anda mencapainya dalam kondisi anda sekarang.
Bagaimana merealisasikan cita-cita ?
Cara yang paling mudah untuk berjaya mencapai cita-cita anda adalah dengan bertanya kepada mereka yang telah berjaya dalam bidang yang ingin anda ceburi. Jangan sekali-kali malu untuk bertanya kepada mereka yang telah berjaya kerana untuk berjaya seperti mereka, anda perlu berusaha segigih mereka. Itulah jalan paling selamat berbanding anda 'try and error'. Ingat peluang hanya datang sekali, maka jangan sekali-kali mensia-siakannya.
Jangan lupa berdoa agar Allah membantu anda mencapai impian anda. Akhir kalam, selamat maju jaya.
No comments:
Post a Comment