Sunday, November 7, 2010

Banjir di tiga negeri beransur pulih

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Keadaan banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan beransur pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan semakin kurang manakala beberapa sekolah yang ditutup diarah dibuka semula esok.


Di KEDAH, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di negeri itu berkurangan kepada 33,121 orang berbanding 39,743 petang semalam. 


Keadaan banjir di daerah Padang Terap pulih dengan kesemua 3,993 mangsa daripada 1,015 keluarga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Bilangan mangsa di daerah Kubang Pasu pula mencatatkan penurunan dengan 11,488 orang daripada 3,170 keluarga masih berada di pusat penempatan berbanding 21,111 orang semalam.

Penurunan jumlah mangsa banjir turut dicatatkan di Pokok Sena iaitu seramai 1,413 mangsa daripada 234 keluarga dan Pendang seramai 242 mangsa daripada 62 keluarga dibenarkan pulang.

Bagaimanapun di daerah Kota Setar, mangsa dipindahkan meningkat 758 keluarga menjadikan jumlah semua yang dipindahkan sebanyak 4,805 keluarga.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, hampir 80 peratus bandar raya ini masih digenangi air dengan beberapa batang jalan ditutup termasuk Jalan Stadium, Jalan Sultan Badlishah, Jalan Teluk Wanjah dan Lebuh Raya Darulaman sementara dua jalan boleh dilalui iaitu Jalan Raja dari arah selatan manakala Jalan Langgar dari utara.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, setakat ini sebanyak 90 pusat penempatan mangsa banjir di seluruh negeri beroperasi berbanding 100 semalam.

Di PERLIS, banjir di negeri itu kian surut dengan jalan utama ke bandar Kangar mulai dibuka kepada kenderaan ringan.

Sehingga tengah hari ini, sebanyak 9,595 mangsa daripada 1,316 keluarga masih berada di 38 pusat pemindahan banjir.

Daripada jumlah tersebut, 34 buah pusat pemindahan di Kangar dan empat lagi di Arau masih dibuka sementara tujuh pusat pemindahan di Padang Besar pula sudah ditutup.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati kebanyakan premis perniagaan di daerah tersebut dan di Kangar telah membuka bisnes kepada orang ramai.

Orang ramai juga dilihat mula membersihkan rumah dan premis masing-masing berikutan air yang sudah mulai surut.

Bagaimanapun beberapa kawasan rendah seperti Institut Latihan Perindustrian di Jalan Behor Pulai masih dinaiki air kira-kira satu meter.

Di KELANTAN, kesemua 13 buah sekolah di Pasir Mas dan Tumpat yang ditutup Rabu lalu akan dibuka semula esok selepas bencana alam yang melanda daerah tersebut pulih sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Hussein Awang berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pengurusan sekolah terbabit bagi memastikan pelajar meneruskan semula persekolahan mereka seperti biasa.

Beliau berkata, seramai 7,000 pelajar terjejas selepas sekolah yang terletak di pinggir Sungai Golok itu ditenggelami air sedalam 0.5 sehingga tiga meter.

‘‘Kerja-kerja pembersihan bangunan sekolah itu telah dilakukan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPAM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memastikan pelajar dapat belajar seperti biasa bermula esok.

“Kita harap kesemua pelajar ini akan dapat kembali ke sekolah seperti biasa terutama bagi calon yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebanyak 13 buah sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang (I), SK Sri Rantau Panjang (II), SK Rantau Panjang, SK Lubok Setol, SK Kok Pauh, SK Rahmat, SK Gual Sito dan SK Gual Tok Deh. Sekolah lain adalah SMK Rantau Panjang, SRJKC Khay Boon, SK Bakong, SK Chenderong Batu dan SK Bendang Pak Yong.

sumber : utusan malaysia

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com