Wednesday, October 26, 2011

Bijak Mengawal Emosi

Emosi adalah reaksi perasaan kita terhadap sesuatu atau seseorang. Bijak mengawal emosi adalah faktor kejayaan seseorang dalam kehidupan. Namun, mengawal emosi tidak semudah mengawal kenderaan di jalanan.

Hakikatnya, hidup tidak selalunya seperti yang kita harapkan. Tekanan wujud di mana-mana sahaja sehingga menyebabkan kita hilang kawalan terhadap emosi sendiri. Emosi yang berlebihan seperti marah yang seringkali membawa kepada tindakan yang kriminal seperti penderaan, buang bayi dan sebagainya.

Rasulullah saw sendiri menasihati seorang sahabat untuk tidak marah dalam menghadapi sesuatu yang kita kurang senangi. Pelbagai tips diketengahkan yang mungkin kita boleh praktikkan.

a) istigfar saat anda sedang marah
b) lari dari tempat yang menyebabkan anda marah
c) berwuduklah
d) cuba tersenyum
e) elakkan bercakap atau melepaskan kemarahan pada barang atau orang
f) menerima kekurangan atau kelemahan orang lain
g) belajar memaafkan

dan banyak lagi...

Saya juga selalu berdoa agar dicurahkan kesabaran dalam menghadapi hari-hari mendatang. 

Tuesday, October 25, 2011

Isteri Berkerja atau Suri Rumah ?


Kerja apa ? Itulah soalan yang wajib anda jawab setiap kali bertemu dengan individu baru. Tidak sekadar mereka, anda juga mengajukan soalan yang sama kepada seseorang yang anda baru kenali atau temui. Kerja apa?

Jika anda jawab, "tak kerja." "Oh, sayangnya. tambah-tambah lagi jika lulusan universiti." Itulah sebahagian pandangan masyarakat yang perlu anda telan.
Antara bekerja atau tidak, ada kelebihan dan kekurangan yang perlu anda hadapi seperti pengurusan kewangan, pengurusan rumahtangga dan anak-anak serta kuasa berbelanja. Makanya, fikirkan dengan matang bersama pasangan anda, apa yang terbaik untuk kehidupan anda sekeluarga.

Tentunya ibu yang bekerja perlu berkorban lebih untuk memastikan kerjaya, suami dan anak-anak berada dalam kondisi yang selesa dan tidak terabai. Nampak agak ideal tapi hakikatnya, pasti akan ada yang pincang dalam keterbatasan anda dengan kesibukan dan tanggungjawab yang kian menggunung.

Cadangan saya, jangan bekerja hanya sekadar untuk mendapat gaji semata-mata kerana ia cukup memenatkan. Gaji anda akan habis sebelum anda mendapat gaji yang seterusnya. Bekerjalah kerana Allah dan ingin memberi sesuatu kepada orang lain. Cintailah kerjaya anda sehingga anda merasa bahagia  apabila anda bekorban kerananya.

Dan adalah lebih baik jika anda mencintai apa jua yang anda lakukan setiap saat dengan ikhlas agar anda mampu tersenyum bahagia walaupun anda tertidur kepenatan. Esoknya, anda akan bangun dengan senyuman untuk meneruskan rutin yang membahagiakan anda. Itulah hadiah yang paling bermakna buat diri anda. Keterpaksaan dalam melakukan sesuatu akan memenatkan anda dan membuatkan anda kecewa serta  derita. 

Fikir-fikirkanlah.....
panduankelahiran

Monday, October 24, 2011

Ikhlas itu Misteri


Seringkali kita dianjurkan untuk terus ikhlas dalam setiap apa yang kita lakukan. Ikhlas itu adalah melakukan sesuatu hanya kerana Allah. Amal tanpa keikhlasan tidak akan diterima oleh Allah. Tapi kenapa ye?

Pertama : Mengelakkan kecewa
Jika kita melakukan sesuatu supaya kita mendapat pujian atau dikenang manusia, kita akan kecewa bila apa yang kita harapkan itu tidak terjadi. Yang kita dapat bukan pujian bahkan kritikan. Lalu kita merasakan bahawa penat lelah kita tidak dihargai. Pengorbanan kita menjadi sia-sia.

Jika kita melakukan sesuatu supaya tidak dimarahi seseorang, kita juga akan kecewa bila kita tetap dimarahi kerana hasil yang kurang memuaskan. 

Kedua : Tidak berbaloi
Sejarah sahabat mengisahkan seorang pahlawan Islam yang pergi berperang dengan harapan untuk dianggap perwira oleh kaumnya. Oleh kerana terlalu sakit dengan tusukan pedang dan panah, sahabat tersebut telah membunuh dirinya sendiri. Akhirnya, Allah menghantarnya ke neraka kerana tidak ikhlas dalam berperang.

Sungguh tidak berbaloikan ! Jika yang kita dapatkan itu hanya sekadar pujian sedangkan ia tidak dinilai sebagai ibadah yang diterima oleh Allah.

Ketiga : Allah itu Maha Kaya
Allah itu mengajarkan kepada kita bahawa Dialah yang Maha Kaya untuk membalas segala amal kita dengan balasan yang paling baik. Mungkin amal kecil yang ikhlas akan dibalas dengan syurga yang tak terhingga nilainya. 

Surah Yasin mengabadikan kisah seorang sahabat yang baru sahaja memeluk Islam lalu menyatakan keislamannya kepada kaumnya. Tindakan tersebut menyebabkan dia dibelasah sehingga mati. Kerana keikhlasannya, Allah memasukkannya ke dalam syurga walaupun belum pernah melakukan solat dan amal wajib yang lain. Sahabat tersebut sangat terharu dengan balasan syurga yang diberikan oleh Allah kepadanya sehingga dia berdoa untuk dihidupkan kembali agar dia dapat menyatakan kepada kaumnya bahawa jalan yang dipilih olehnya adalah benar. 

Keempat : Bersungguh-sungguh
Ikhlas juga menjadikan kita bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, tidak kecewa dengan pandangan orang lain dan tidak curi tulang dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Baginya, setiap yang dilakukan adalah berupa ibadah kepada Allah. Allahlah tujuan akhir setiap pekerjaannya. Allah jualah yang akan membalas segala amal perbuatannya. Allahlah tempat untuk meminta tolong pada setiap kesulitan dan kesempitannya. 

Lalu dia bersungguh-sungguh menjaga Allah, agar Allah menjadi penjaganya. Bersungguh-sungguh mengingat Allah dalam kesenangan, agar Allah mengingatinya saat kesulitan menimpanya.

Lalu saya menyeru kepada diri ini dan para pembaca untuk terus mengikhlaskan niat kita dalam apa jua yang kita lakukan kerana Allah tahu yang terbaik untuk kita. PadaNya ada balasan yang sangat besar nilaiannya atas setiap amal yang kita lakukan hanya keranaNya. Maka kenapa kita tidak mahu merebut peluang tersebut ?

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com