Wednesday, September 29, 2010

CERAI TA'LIK

....................................................
Ta'lik membawa maksud mensyaratkan atau menggantungkan sesuatu kepada sesuatu yang lain. Cerai ta'lik ini berlaku dalam beberapa hal :
  1. Ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi dan saksi setelah ijab kabul sebagaimana yang termaktub di dalam sijil pernikahan.
    Perceraian seumpama ini (ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi) hanya boleh disabitkan oleh Hakim di dalam perbicaraan. Perkara ini berlaku jika isteri ingin menuntut perceraian di hadapan Hakim, sementara suami tidak mahu menceraikan isterinya dan belum melafazkan talak kepadanya. Isteri dikehendaki membuktikan bahawa suaminya telah melanggar perjanjian (Ta'lik) yang telah dibuat sewaktu bernikah dahulu.
    Jika Hakim dapati suami telah melanggar ta'lik dengan hujah yang jelas yang dikemukakan oleh isteri di dalam perbicaraan, maka Hakim berhak memisahkan kedua pasangan dan menghukumkan jatuh talak kepada pasangan tersebut.
  2. Ta'lik yang diucapkan oleh suami kepada isterinya sebagai contoh:
    "Jika awak keluar rumah ini, maka jatuhlah talak satu kepada kau"
    Jika isteri tetap keluar dari rumah tersebut setelah memahami ucapan yang dibuat oleh suaminya maka jatuhlah talak ke atasnya. Tetapi jika ada lafaz tambahan umpama kalimah "hari ini", dalam lafaz yang diucapkan oleh suami, maka jika isteri keluar dari rumah pada esok hari , lusa atau sebagainya maka tidaklah jatuh talak ke atasnya. Walau bagaimanapun, pasangan dinasihatkan agar membuat pengaduan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahannya.

TALAK

....................................................
Pengertian Talak
Talak merupakan kalimah bahasa Arab yang bermaksud "menceraikan" atau "melepaskan".Mengikut istilah syara' ia bermaksud, "Melepaskan ikatan pernikahan atau perkahwinan dengan kalimah atau lafaz yang menunjukkan talak atau perceraian".
Jika suami melafazkan kalimah ini ke atas isterinya, maka dengan sendirinya mereka berdua telah terpisah dan isterinya berada dalam keadaan iddah . Jika semasa isteri di dalam iddah kedua pasangan ingin berdamai, mereka boleh rujuk semula tanpa melalui proses pernikahan. Sebagaimana firman Allah swt di surah At Talak ayat 2 yang bermaksud,
"Maka rujuklah mereka dengan cara yang baik atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik pula"


   Jenis-jenis Lafaz Talak

Lafaz talak terbahagi kepada dua:
  1. Talak Sharih
  2. Talak Kinayah.
Talak Sharih membawa maksud "nyata" atau "jelas". iaitu talak yang diucapkan oleh suami kepada isterinya dengan kalimah yang jelas dan terang, lafaz seumpama ini hanya membawa maksud penceraian dan tiada pengertian yang selainnya, seperti kalimah "Talak" atau "Cerai".
Contoh lafaz yang Sharih:
  1. Aku ceraikan kau dengan talak satu
  2. Aku telah melepaskan (menjatuhkan) talak untuk engkau
  3. Hari ini aku ceraikan kau
Jika suami melafazkan talak dengan mengunakan kalimah yang "Sharih" seumpama di atas ini, maka talak dikira jatuh walaupun tanpa niat dan saksi.
Sementara Talak Kinayah pula membawa maksud kalimah yang secara tidak langsung yang mempunyai dua atau lebih pengertiannya. Umpamanya jika suami melafazkan kepada isterinya perkataan:
  1. Aku tak nak kau lagi, kau boleh balik ke rumah orang tua kau
  2. Pergilah engkau dari sini, ke mana engkau suka
  3. Kita berdua sudah tiada apa-apa hubungan lagi
Lafaz-lafaz seumpama ini termasuk dalam kategori Kinayah, jika suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya maka talak tidak jatuh, tetapi jika sebaliknya iaitu suami mempunyai niat menceraikan isterinya ketika melafazkan kalimah ini, maka talak dikira jatuh.
Bagi pasangan yang meragui akan lafaz yang telah diucapkan oleh suami, mereka hendaklah menghubungi pihak Mahkamah bagi mendapatkan pengesahannya. Begitu juga bagi pasangan yang ingin merujuk semula, mereka perlulah melaporkan perkara ini ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan nasihat selanjutnya.
Jenis-jenis Talak
Terdapat beberapa jenis talak di dalam perceraian, jenis-jenis talak ini boleh dikategorikan seperti berikut:
  1. Talak Raj'ie
  2. Talak Battah
  3. Talak Bain
  4. Menjatuhkan talak tiga sekaligus
  5. Talak Sunni
  6. Talak Bid'i

1. Talak Raj'ie
Talak Raj'ie membawa maksud talak yang boleh dirujuk semasa isteri di dalam iddah dengan lafaz-lafaz tertentu, iaitu pasangan tidak dikehendaki melalui majlis pernikahan atau ijab dan kabul. Talak yang dilafazkan oleh suami hanya di kira Raj'ie jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua.

2. Talak Battah
Talak Battah adalah talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya buat selama-lamanya, umpamanya perkataan suami kepada isterinya,
"Aku ceraikan kau buat selama-lamanya"
Menurut pandangan Imam Syafi'e talak seumpama ini hanya jatuh menurut niatnya, jika suami berniat satu maka talak hanya disabitkan satu, tetapi jika dia berniat tiga maka talak dikira jatuh tiga.

3. Talak Bain
Talak Bain ini terbahagi kepada dua bahagian:
  1. Talak Bain Kubra
  2. Talak Bain Sughra.
Talak Bain Kubra adalah talak yang telah berlaku kepada pasangan tersebut sebanyak tiga kali. Iaitu suami telah menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah. Jika ditakdirkan isteri ini berpisah atau suaminya yang kedua itu meninggal dunia, maka barulah suami pertamanya berhak menikahi bekas isterinya ini.
Talak Bain Sughra adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh "Rujuk" kembali melainkan dengan pernikahan yang baru, walaupun isterinya di dalam iddah. Sebahagian dari talak Bain Sughra adalah:
  1. Talak yang diputuskan oleh Hakam
  2. Talak melalui Khulu'
  3. Talak yang difasakhkan oleh Hakim
4. Menjatuhkan Talak Tiga Sekaligus
Di zaman Nabi saw dan Abu Bakar ra, talak yang dijatuhkan tiga dalam satu waktu dihukum hanya jatuh sekali sahaja. Tetapi semasa Sayyidina Umar Ibnu Khattab ra menjadi Khalifah, beliau telah menghukumkan jatuh ketiga-tiga talak sekaligus. Keputusan ini dibuat oleh Sayyidina Umar kerana di zamannya ketika itu masyarakat amat mempermudahkan lafaz talak yang dibuat.
Bila berlaku perkara seumpama ini Hakim Mahkamah akan membicarakan kes pasangan yang terbabit dan memutuskan hukum talaknya.
5. Talak Sunni
Talak Sunni adalah talak yang mengikut sunnah Nabi saw, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia telah suci dari haid dan sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di hadapan dua orang saksi.
6. Talak Bid'i
Talak Bid'i adalah talak yang diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:
  1. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri uzur (haid).
  2. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
  3. Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersatu dengannya.

Kesan Penceraian Pada Anak-anak


KESAN-KESAN PERCERAIAN
....................................................
Islam tidak menggalakkan perceraian kerana ia akan mengakibatkan implikasi dan permasalahan yang besar disebabkan oleh perpisahan tersebut. Berbagai permasalahan akan timbul apabila berlaku perceraian di antara suami dan isteri. Sebahagian dari kesan-kesan perceraian adalah :
Kesan emosi terhadap pasanganKewangan
Dua tanggunganSosial
Kesan terhadap AnakUndang-undang



   Kesan Emosi

Setiap pasangan yang menghadapi pergolakan rumahtangga pasti akan merasakan tekanan-tekanan perasaan berikut :
  • Jiwa terganggu
  • Marah
  • Sedih
  • Tidak bermaya
  • Rasa bersalah
  • Terpencil
  • Rendah diri
  • Runsing
  • Putus asa/kecewa
  • Kesunyian
Beban perasaan ini pasti akan menimpa pasangan yang menghadapi perceraian - baik sebelum, semasa atau sesudah berpisah. Tekanan perasaan ini bukan hanya menganggu emosi dan jiwa individu tersebut, tetapi ia juga akan mewujudkan implikasi dan kesan yang negatif terhadap keluarga dan mereka yang terdekat.


   Dua Tanggungan

Bagi pasangan yang telah berpisah, mereka juga akan dibebani dengan tanggungjawab dan peranan yang bertambah;
  • sebagai ibu/bapa tunggal
  • terpaksa mencari nafkah


   Kesan Terhadap Anak

Dalam perceraian, anak-anak menjadi mangsa terutama jiwa dan perasaan mereka. Mereka kurang mendapat kasih sayang, perhatian dan bimbingan dari ibu bapa mereka. Di antara kesan-kesan perceraian terhadap anak-anak ialah:-
Sebahagian daripada perkara-perkara yang akan dihadapi oleh anak-anak ini adalah:
  • Kehilangan kasih sayang dari ibu dan bapa
  • Kadangkala terpaksa berpisah dari adik-beradiknya
  • Rasa bersalah, malu, tidak selamat, hilang rasa keyakinan diri
  • Mengalami tekanan jiwa dan perasaan
  • Perasaan terganggu dan bingung
  • Hilang tumpuan pada pelajaran
  • Akan menunjukkan tabiat dan sikap yang negatif
Perkara-perkara di atas jika dibiarkan berlaku dan berlarutan dalam diri anak-anak , maka ia akan mengakibatkan kesan-kesan yang negatif sepanjang hayat mereka. Pasangan yang ingin berpisah perlu memberikan tumpuan yang mendalam terhadap kesan-kesan yang berlaku kepada anak-anak mereka. Pasangan yang bercerai harus prihatin terhadap perkara-perkara berikut:-
  1. Perceraian tidak memutuskan ikatan anak dan ibu bapa, hanya hubungan perkahwinan suami-isteri saja yang terputus. Anak-anak tidak harus dilibatkan di dalam konflik antara ibu dan bapa.
  2. Anak-anak perlu bantuan dan sokongan ibu bapa agar dapat mengendalikan segala perubahan yang mereka alami setelah ibu bapa bercerai.
  3. Anak -anak juga mempunyai perasaan yang sensitif. Bila kehilangan sesuatu, pastinya perasaan bimbang, geram dan marah timbul. Mereka memerlukan banyak perhatian, sokongan dan bantuan.
  4. Anak-anak memerlukan kasih sayang dari kedua orang tuanya, perasaan negatif yang wujud di antara pasangan tidak harus ditanamkan dalam jiwa anak-anak.


   Masalah Kewangan

Jika seseorang itu berpisah disebabkan oleh masalah kewangan, perkara ini akan tetap menghantui diri mereka setelah bercerai nanti. Sebahagian dari permasalahan yang akan mereka hadapi adalah : Keperluan mengurangkan perbelanjaan kerana pendapatan sudah berkurangan.
  • Kemewahan hidup sebelum ini terpaksa disekat, disebabkan oleh mata sepencarian yang tunggal.
  • Masalah kewangan akan semakin menekan jika seorang isteri sebelum ini hanya bergantung kepada nafkah yang diberikan oleh suami.
  • Kebutuhan dan perbelanjaan hidup seharian anak-anak akan terjejas dan ini mungkin akan turut menjejas pretasi mereka.
  • Berlaku tuntutan berhubung isu nafkah anak di Mahkamah Keluarga.
  • Kerja lembur diperlukan untuk melengkapi keperluan seharian.
  • Suami perlu menanggung beban kewangan yang lebih besar dalam membiayai nafkah anak-anak yang di bawah jagaan isteri yang telah diceraikannya, dan tanggungan ke atas keluarga baru jika sudah berumahtangga lagi.


   Sosial

Jika berlaku perpisahan, kehidupan sosial seseorang itu juga mengalami kepincangan. Berbagai permasalahan yang berhubung dengan pergaulan dan interaksi sesama manusia akan mengakibatkan kesan-kesan yang negatif dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh:
  • Pasangan akan dipandang sinis oleh masyarakat dengan gelaran yang mereka miliki (janda/duda).
  • Berbagai pertanyaan dan soalan yang perlu dihadapi dari kaum kerabatnya.
  • Suami dan isteri akan kehilangan keluarga, saudara-mara dan kawan dari pasangan masing-masing.
  • Pasangan terpaksa mendapatkan bantuan dan pertolongan dari keluarga dan saudara-mara dalam hal penjagaan anak-anak.
  • Jiwa akan lebih tertekan jika selama ini pasangan hanya bergantung di antara satu sama lain dalam hal-hal seharian.
  • Pasangan kadang-kadang terpaksa mendapatkan bantuan kebajikan dari badan-badan tertentu.


   Undang - undang

Perceraian akan melibatkan satu penukaran dalam status seseorang itu dari segi undang-undang. Ini akan menimbulkan masalah-masalah yang boleh menambah beban-beban yang sedia ada:lebih banyak sekatan-sekatan yang harus, dilalui oleh orang orang yang sudah bercerai;
  • Sebagai seorang yang tidak berumahtangga, seseorang itu tidak layak memperolehi rumah HDB.
  • Bayaran cukai pendapatan akan meningkat.
  • Lebih berat tanggungjawabnya sebagai ibu/bapa tunggal.
  • Perbelanjaan guaman.
  • Kerugian jika berlaku penjualan rumah atau lain-lain harta sepencarian.
  • Bersambungya perbalahan di Mahkamah jika bekas pasangan mengingkari tanggungjawabnya dan timbulnya tohmahan yang berkaitan dengan perbicaraan.
Implikasi-implikasi di atas ini merupakan sebahagian kecil dari perkara-perkara yang akan menimpa pasangan-pasangan yang telah membuat keputusan untuk berpisah. Walaupun pada hakikatnya ada pasangan yang terpaksa membuat keputusan yang pilu ini; disebabkan pasangannya tidak bertanggungjawab atau telah lama mengabaikan kewajipannya sebagai seorang suami atau isteri. Perceraian, walau bagaimanapun, bukanlah jalan keluar yang dapat menghuraikan segala masalah yang dihadapinya.

sumber : http://app.syariahcourt.gov.sg/syariah/front-end/AbtDivorce_EffectsOfDivorce_M.aspx

Sebelum dan Sesudah





Sebelum nikah, saya adalah budak sekolah asrama sejak dari tingkatan 1 hinggalah ipt. Bila balik rumah, semua kerja rumah, saya yang perlu selesaikan. Pernah juga terdetik dalam hati, 'mati la aku nak buat kerja rumah lepas nikah nanti. Penat tu..'


Dah la kaki tido juga. Berdiri pun boleh tidur, tersengguk-sengguk dlm kelas sejak sekolah lagi. Alhamdulillah result tetap power juga la.

Bila dah kawin, semua kerja rumah kita kene buat. Suami kata, 'tukan memang kerja orang perempuan.' Tapi sekarang dia pun tolang la juga sikit-sikit, maklum la dia pun budak asrama juga.

Sebelum dapat anak, nak buat apa ikut suka je, tido, makan, main, jalan-jalan dsb. Bila dapat anak, rasa macam terbalik dunia kita. Mana tak nyer.

Setiap malam bangun kadang setiap sejam untuk susukan anak. Nak kene bertarung dengan mata kaki tido untuk susukan anak. Belum lagi jika anak tak tido-tido bila sakit. Kalau anak tak tido, ibu dia pun tak dapat tido juga la.

Bila anak nangis, apa la nak buat agar anak diam balik. Stress juga tu. Patut la ada orang buang anak dalam kolam ikan. Huh, tingkatkan kesabaran mu !

Belum lagi kene pantang macam-macam supaya anak tak meragam perutnya. Kalau langgar lagi, silalah bayar dengan berjaga malam lagi.

Lepas ada anak, diri pun kurang terurus. Kejap bangun tido, bangun tido. Rambut macam orang gila. Muka tak sempat nak berbedak. Mandi pun,, ikut sempat je.

Kalu dulu basuh kain pakai tangan, nak siapkan basuh kain perlu tiga empat kali ke bilik air dan bilik sebab anak terjaga dari tidur. Masak pun bila suami dah balik rumah sebab anak nak berdukung. Hu.. hu.. hu.. sedih sungguh.

Anak dirasakan punca strees seorang ibu. Gelak anak 20% sedangkan 80% lagi adalah tangisan yang cukup menstresskan. Suami pun tak de masa nak layan.

Hinggalah saya cuba untuk mencintai anak itu. Melakukan segala-galanya hanya kerana sebuah cinta. Dan penat itu akhirnya terbayar dengan sebuah kepuasan.

Itu adalah cerita saya yang tak pernah jaga budak kecil. Jadi kepada sesiapa yang belum punya anak, biasakan diri dengan ank-anak. Belajar bagaimana menjaga dan menangani segala permasalahan anak dengan positif dan penuh keriangan. 

Anak sangat memahami bahasa emosi anda. Jika anda stress, anak akan menjadi lebih strees dan anda akan merasa rimas dengan sittuasi itu. Positifkan minda dan tindakan anda akan lebih positif dalam menghadapi setiap permasalahan anak. Mereka masih kecil dan sangat memerlukan kasih sayang, perhatian dan tunjuk ajar kita.

Monday, September 27, 2010

Keajaiban REZEKI - Halal VS Haram


Tahukah anda bahawa rezeki ada yang halal dan haram ?
Rezeki akan menjadi halal atau haram bergantung kepada 3 faktor di bawah.
1.Sumber pendapatan
2.Cara penyediaan
3.Bahan penyediaan

1.Sumber pendapatan 
Sumber pendapat anda menjadi haram apabila anda melakukan sesuatu yang haram seperti menjual arak, judi, dadah, badan(zina/pelacur) dan rokok. Mungkin juga ia menjadi haram apabila wujudnya unsur penipuan, riba, rasuah dan meninggalkan solat ketika bekerja.

2.Cara penyediaan
Cara penyediaan yang menjadikan sesuatu yang halal menjadi haram seperti tidak menyembelih haiwan seperti syarat-syarat yang telah ditetapkan.

3.Bahan penyediaan 
Bahan penyediaan mnjadi haram apabila memasak makanan yang haram seperti memasak haiwan yang tidak disembelih dengan nama Allah atau diambil melalui cara mencuri atau menipu.

Rezeki yang halal umpama air bersih dan baja yang menyuburkan tanaman, sedangkan rezeki yang haram adalah sebaliknya. Rezeki yang halal membawa kita menuju syurga sedangkan rezeki haram membawa kita ke nerakaNya.

Hidup ini hanya sementara sahabatku... maka fikir-fikirlah akan masa depanmu.

Keajaipan REZEKI 3 - Rezeki dan kerja


Jika anda bertemu dengan seseorang, sama ada baru atau telah lama dikenali, anda biasanya akan disoal dengan soalan termasyhur ini. 

"Kerja apa sekarang ?"
Kalaulah anda jawab, "Tak kerja..."
"Pastu nak makan apa?" soal mereka kehairanan.
"Ala.. ulat dalam batu pun boleh makan,"jawab anda yang ingin membela diri.
"Ye la tu.." jebik mereka.


Macam Adik Beradik

Rezeki dan kerja itu ibarat adik beradik, isi dengan kuku, aur dengan tebing atau ombak dan pantai. Sukar sekali untuk dipisahkan. Anda akan dibayar dengan setiap hasil kerja yang anda lakukan.

Jika fikir-fikir, siapalah nak kerja tar jalan di bawah panas terik ? Panjat tinggi-tinggi untuk cuci dan bina bangunan baru macam cuci-cuci service dan buruh binaan ? Nak kitar semula air kumbahan macam Indah Water ? Nak angkut sampah yang berbau busuk ? Nak mempertaruhkan nyawa untuk negara macam polis, askar, tentera dan navy ? Dan banyak lagi.

Semuanya kerana nak cari rezeki untuk sesuap nasi, untuk diri dan keluarga yang dicintai.

Apa pun kerja yang anda usahakan, pastikan ianya halal. Semuanya akan disoal kembali dan sanggupkah kita menghadapi azab yang pedih ? Tapi rezeki juga datang daripada tangan orang lain yang tidak kita ketahui bila dan di mana kita akan mendapatkannya. Ia datang dari arah yang tidak disangka-sangka. 

Saturday, September 25, 2010

HUKUM MENYEDIAKAN KENDURI KEMATIAN (Bahagian 2)

Dibawah ini diperturunkan pesanan beberapa ulama' besar lagi mujtahid:
   
   
1) Imam al-Syafie menegaskan dalam kitabnya al-Umm:
   
a)   Maksudnya:"Aku suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya (keluarga jauh) memberi makan kepada ahli mayat (si mati), yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana itu adalah sunnah dan itu juga ingatan (zikir) yang mulia, dan ianya adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Ini kerana apabila tiba berita kematian Ja'afar, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:
   
Buatlah kamu makan kepada keluarga Ja'afar kerana telah datang perkara yang mengharukan kepada mereka."

  
b)Maksudnya: "Aku benci diadakan ma'tam iaitu perhimpunan, walaupun tidak ada tangisan kepada mereka, kerana sesungguhnya perbuatan itu memperbaharuan dukacita dan membebankan tanggungan"   (Muhammad Idris al-Syafie, al-Umm, juzuk 1 halaman 278-279)

2) Kata Imam Nawawi adalam kitab al-Majmu': Telah berkata Imam al-Syafie dalam al-Mukhtasar: 
   
  "Aku suka kepada kaum kerabat si mati dan kepada jirannya yang membuat makanan kepada ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya. Sesungguhnya ia adalah sunnah yang dilakukan oleh golongan yang baik-baik. Kata ashab kita (ulama fiqh syafie): 
   
Membuat pelawaan sungguh-sungguh supaya ahli si mati itu makan, walaupun mayat berada di negeri lain, juga disunatkan kepada jiran keluarga si mati membuat makanan untuk mereka."  (Imam Nawawi, al-Majmuk Syarah Muhazzab, Juzuk 5, halaman 286)

3) Sahib al-Syamail dan orang lain berpendapat:
   
"Ahli si mati membuat makanan dan menghimpunkan orang ramai supaya makna, maka tidak ada sumber sedikit pun yang diriwayatkan, bahkan perbuatan itu bid'ah yang tidak disukai. Beliau membuat dalil dengan hadis Jarir bin Abdullah radiallahu anhu yang berkata"
   
4) Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata:
   
"Manakala ahli si mati membuat makan dan memanggil orang ramai supaya memakannya, adalah perbuatan itu tidak disyara'kan bahkan ianya bid'ah, berdasar kepada hadis Jarir bin Abdullah yang berkata:
   
"Kami mengira membuat makan untuk dijamu kepada orang ramai adalah sebahagian dari ratapan jahiliyyah"  (Majmu' Fatawa Syeikh al-Islam Ibnu Tamiyyah, juzuk 24 Halaman 316)
   
   
5) Di dalam kitab Fiqh al-Sunnah ada disebut:   

"Disunatkan membuat makanan kepada ahli si mati, kerana ianya dari perkara kebajikan dan taqarrub kepada Allah dari jiran tetangga dan dari kaum kerabat (yang jauh). 
   
Imam al-Syafie berkata:
   
  "Aku suka kaum kerabat si mati membuat dan memberi makan kepada ahli si mati, yang boleh mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana ia adalah sunnah dan daripada perubatan golongan yang baik-baik". 
   
Ulamak mengatakan sunnah mempelawa sungguh-sungguh supaya ahli si mati memakan makanan yang diberikan itu supaya mereka tidak menjadi lemah lantaran tidak menjamah makanan yang disebabkan terlampau terkejut dengan peristiwa kematian atau dengan perasaan segan. Imam-imam mazhab telah bersepakat bahawa hukumnya adalah makruh bagi ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai yang berkumpul kepada ahli si mati, kerana perbuatan itu menambahkan lagi musibah ke atas mereka dan memperbanyak lagi kesibukan di atas kesibukan yang telah sedia ada, dan perbuatan itu tak ubah seperti kelakuan golongan jahiliyyah. Hujah ini berdasarkan kepada hadis Jarir bin Abdullah yang berkata:
   
"Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannnya adalah dari ratapan kematian" 
   
Setengah ulamak mengatakan hukumnya adalah haram bagi ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai".   
  (Sayid Sabiq, Fiqh Sunnah, 1, Halaman 427-428)
   
6) Di dalam kitab Hukmu al-Qira'ah lil Amwat ada disebut:
   
"Antara bid'ah yang diharamkan ialah ahli si mati memberi makan kepada orang yang memberi takziah atau memberi makan kepada faqir miskin selepas mengiring jenazah, dan pada hari khamis, pada hari ke-3, pada hari ke-40 dan tahunan (haul). 
   
Yang sunnahnya ialah sahabat handai dan jiran tetangga memberi makan kepada ahli si mati kerana hadis nabi:
   
"Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja'afar kerana sesungguhnya telah datang perkara yang mengharukan mereka"
(Diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan selainnya dengan sanad yang sahih)
   
Maka Alangkah jauhnya Perbezaan antara al-sunnah dengan bid'ah.   (Muhammad Ahmad Abdul al-Salam, Hukmu al-Qur'an lil Amwat, halaman 25)
    
7) Didalam Kitab "Ahkam al-Janaiz wa bid'aha" ada disebut, antara amalan bid'ah ialah:
   
  a) Ahli si mati menerima dif tetamu dengan memberi makan kepada mereka. 
   
  b) Menerima panggilan jamuan makanan daripada ahli si mati.(Muhammad Nasir al-Albani, Ahkam al-Janaiz wa Bid'ahah, halaman 256)





 SUNNAH MEMBUAT MAKAN UNTUK AHLI SI MATI = PENDAPAT 4 MAZHAB


Selepas kita mengikuti perbincangan dari ulamak dan ulamak mujtahid mengenai membuat dan menjamu makanan selepas kematian, atau dengan lain perkataan membuat kenduri jamuan makan selepas kematian, maka dapat difahamkan dari ulasan dan penerangan itu bahawa amatlah berbeza sekali apa yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat islam kita pada hari ini, kerana amalan mereka membuat kenduri jamuan makan selepas kematian adalah bercanggah dengan sunnah Nabi sallallahu alaihi wasallam dan sunah sahabat-sahabat dan bertentangan dengan fatwa-fatwa ulamak. Oleh kerana perkara ini sangat tebal diamalkan dalam masyarakat islam melayu kita, maka penyusun merasa mustahak membentangkan pula kepada pembaca pendapat fuqaha' dari 4 Imam Mazhab sebagai berikut:

1) Mazhab Maliki:
 
Disunatkan kepada jiran dan seumpamanya menyediakan makanan kepada keluarga si mati kerana kesibukan mereka menghadapi kematian.
 
 
2) Mazhab Hanafi:
 
Disunatkan kepda jiran keluarga si mati dan kaum kerabatnya yang jauh menyediakan makanan untuk ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana sabda Nabi sallallahu alaihi wasallam :
 
"Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja'afar, kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka".
 
Oleh kerana memberi makan itu suatu perkara kebaikan dan ma'ruf, maka dipelawa sungguh-sungguh kepada mereka supaya makan, kerana kesedihan telah menghalang mereka daripada memakan makanan dan menyebabkan mereka menjadi lemah.

3) Mazhab Hanbali:
 
Disunatkan membuat makanan untuk ahli si mati dan dihantar makanan itu kepada mereka bagi memberi pertolongan dan melembutkan hati mereka. Boleh jadi mereka sibuk dengan ujian yang diterima, juga sibuk dengan kunjungan orang ramai yang datang menemui mereka, menyebabkan mereka tidak dapat menyediakan makanan untuk diri mereka sendiri.
 
Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah bin Ja'afar, beliau berkata:  "Apabila tiba berita kematian Ja'afar (bin Abi Talib), Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabada:
 
"Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja'afar sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka".
 
Diriwayatkan dari Abdullah bin Abu Bakar, beliau berkata: "Sentiasa sunnah nabi itu menjadi ikutan kami (sahabat nabi) sehingga ditinggalkan oleh manusia yang meninggalkannnya (yakni sehingga sunnah itu ditinggalkan dan tidak diamalkan oleh kebanyakan orang)".

4) Mazhab Syafie:
 
Sebagaimana disebut dalam Kitab al-Muhazzab oleh Imam al-Syirazi (Abu Ishak Ibrahim Al-Syirazi, wafat pada 476 Hijrah bersamaan 1083 biladiyah, beliau termasuk antara ulamak yang agung dan mujtahid dalam mazhab syafie)
 
(Isteri/suami dan anak-anaknya) kerana diriwayatkan apabila Ja'afar bin Abu Talib  terbunuh, nabi bersabda:
 
Hendaklah Kamu membuat makanan kepada Ahli Ja'afar sesunggunya telah datang kepada merka perkara yang mengharukan mereka

Imam Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmuk, syarah kepada Kitab al-Muhazzab, katanya: "Imam Syafie berkata di dalam kitab al-Mukhtasar   "Aku suka kepada kaum kerabat si mati dan jirannya membuat makanan untuk ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana sesungguhnya perbuatan itu ialah sunnah dan diamalkan oleh golongan yang baik-baik."
 
Telah berkata ashab kita (ulamak fiqh syafie):
 
"Dipelawakan sungguh-sungguh kepada mereka (ahli si mati) supaya mereka makan, dan walaupun mayat itu berada di negeri lain sekalipun, adalah disunatkan juga kepada jiran tetangga keluarga si mati membuat makanan untuk mereka.
 
Setelah kita mengikuti pendapat ulamak di dalam 4 mazhab mengenai membuat dan menyediakan makanan atau jamuan selepas kematian, maka  kita dapati semua mazhab telah bersepakat kata bahawa hukumnya adalah sunat bagi jiran tetangga dan kaum kerabat yang jauh membuat makanan kepada mereka. Bukan mereka membuat makanan dan menjamu jiran dan orang ramai apabila berlaku sesuatu kematian seperti yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat kita pada hari ini.

HUKUM MENYEDIAKAN KENDURI KEMATIAN (Bahagian 1)

HUKUM MENYEDIAKAN KENDURI KEMATIAN
(Dari Majalah Pengasuh yang mana Tok Kenali antara pengasasnya , asalnya tulisan jawi)
  oleh: Hasan Ahmad


MUQADDIMAH
   
Sudah menjadi lumrah kepada orang melayu beragama islam di tanah air kita, apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga, maka ahli keluarga si mati itu akan menyediakan makanan dan minuman. 
   
Pada kebiasaannya, keluarga si mati akan memasak dan menyediakan nasi bungkus mengikut bilangan orang yang hadir bersembahyang jenazah atau mengikut  jumlah orang yang terlibat memberi pertolongan mentajhizkan mayat, termasuk penggali kubur dan sebagainya. Sebaik sahaja selesai sembahyang jenazah, nasi bungkus akan diedar dan dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang turun dari rumah. 
   
Kemudian, pada malam pertama hingga malam ketujuh diadakan majlis tahlil kepada ruh si mati, dan sesudah majlis tahlil, keluarga si mati akan menghidangkan makanan dan minuman kepada jiran dan para jamaah yang hadir, sama ada jamuan ringan atau jamuan berat mengikut qadar kemampuan masing-masing. 

Manakala pada malam ke-3, ke-7, ke-20, ke-40 dan ke-100 pula, pada kebiasaannya akan dihidangkan jamuan nasi dengan aneka masakan yang enak-enak. Kemudian, setiap malam jumaat selepas hari ke-7 hingga hari ke-40 atau kadang-kadang sehingga hari ke-100, diadakan lagi majlis-majlis tahlil, dengan setiap lepas tahlil akan dihidangkan pelbagai hidangan dan masakan oleh ahli si mati. 
   
Pendek kata, menjamu makanan dan minuman selepas kematian telah menjadi tugas yang terpaksa dilakukan oleh ahli si mati, sama ada mereka terdiri dari orang kaya atau kurang berada. Kalau tidak dibuat, nescaya akan dicela oleh jiran tetangganya, kaum kerabatnya dan sahabat handainya. Bukan setakat dicemuh, malahan keluarga si mati yang tidak menurut resam turun temurun itu akan dipandang serong oleh masyarakat sekitar. Bermacam-macam tuduhan dan cemuhan dilemparkan kepada ahli si mati yang tidak mengikut adat tradisi itu. Umpamanya dikatakan kedekut, bakhil, tidak mengenang jasa si mati atau juga dikatakan seperti mengambus batang pisang dan sebagainya. 
   
Itulah antara ungkapan dan ujaran yang menggambarkan kejinya sesiapa yang meninggalkan tradisi tersebut, sebahagian besar dari kalangan umat islam  menganggap dari ajaran islam yang penting yang tidak boleh diabaikan, kerana ianya turut dilakukan oleh orang-orang yang berpengatahuan agama. Sama ada dari lepasan madrasah-madrasah pondok atau lepsan dari sekolah-sekolah arab/agama. Mana-mana individu yang mengkritik adat resam itu akan dicap dan dilabelkan sebagai kaum muda yang hendak merusakkan ajaran islam yang suci. 
   
Walaubagaimanapun ada jugak segolongan kecil umat islam di negara kita yang berpendapat bahawa membuat dan menjamu makanan selepas kematian adalah amalan bid'ah yang perlu ditinggalkan, kerana ia tidak pernah dibuat atau dilakukan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan sahabat-sahabatnya. 



 KEMBALI KEPADA ALLAH DAN RASULNYA

   
Penyusun merasa terpanggil untuk mengambil bahagian dalam perbincangan masalah perselisihan yang tidak ada kesudahan ini, dengan harapan semoga masyarakat kita, khususnya alim ulamak dan bijak pandai islam, dapat menilai siapakah yang sebenarnya berada di pihak yang hak dan siapakah yang berada dipihak yang kabur dalam masalah yang dinyatakan.

Ulamak silam telah membentangkan kepada kita mengenai hukum sebenar membuat dan menjamu makanan kepada orang ramai selepas berlaku kematian. Antaranya ialah dengan cara membawa hadis-hadis yang menjelaskan secara khusus mengenai 
perkara ini:
   
  1) Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud, al-Tarmizi dan Ibnu Majah dari Abdulllah bin Ja'far, beliau berkata apabila tiba berita kematian Ja'far (bin Abi Talib) nabi bersabda:
      
Maksudnya: "Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja'afar (isteri-isteri dan anak-anaknya). Sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka. 
   
Dalam Hadis diatas, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengharapkan jiran tetangga yang tinggal berhampiran dengan keluarga si mati agar membuat makanan kepada mereka yang ditimpakan musibah dan dukacita kematian. Ja'afar bin Abi Talib telah mati syahid dalam peperangan mu'tah pada tahun kelapan Hijrah. 

Sebaik sahaja berita kematian sampai, nabi menyuruh jiran tetangganya melakukan perkara itu kepada ahlinya bagi meringankan beban dukacita ahli keluarga si mati dengan memberi makan kepada mereka. 
   
   
2) Hadis Jarir bin Abdullah Radiallahu anhu katanya:   
     
Maksudnya: "Kami mengira berhimpun orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah sebahagian dari ratapan kematian".  (Diriwayatkan oelh Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan isnad yang sahih).

Hadis diatas menunjukkan kepada kita bahawa orang ramai yang berhimpun dirumah ahli si mati dan memakan makanan yang dimasak dan disediakan oleh ahli si mati adalah sebahagian dari perbuatan ratapan kematian. Dan ratapan selepas kematian adalah perbuatan jahiliyyah yang hukumnya adalah haram sebagaimana dimaklumi. 
   
Ahli si mati tidak patut membuat makanan dan memberi makan atau menjamu orang lain kerana perbuatan itu tidak disyara'kan.

Ganti Puasa Untuk Orang Yang Meninggal dan Uzur


Kemusykilan

Saya ada kemusykilan mengenai bab puasa, ibu sahabat saya telah meninggal 3 tahun lepas, tetapi telah sakit dan uzur 2 tahun sebelumnya dan tidak larat uuntk berpuasa. Persoalannya ialah:

1. jika anak-anak hendak gantikannya bolehkah dibahagi-bahagikan contoh 60 hari bahagi 6 orang anak, iaitu setiap seorang ganti 6 hari?

2. jika kita bayar fidyah? adakah anak2 still kena puasa juga? yakni bayar fidyah+ganti puasa? atau hanya bayar fidyah sahaja.

harap panel al-ahkam dapat memberikan sedikit pencerahan.

wassalam


Jawapan


Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, In Sya-Allah.

Qadha' puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia ini ada 2 keadaan :-

a. Seseorang yang belum sempat mengganti puasanya oleh kerana dia berada didalam keuzuran ketika itu seperti sakit, atau musafir, maka jumhur ulama' mengatakan, dia tidak memikul apa-apa tanggungan dan tidak dikira berdosa. Dengan kata lain, tidak perlu qadha' puasa, kerana baginya, puasa adalah sesuatu kefarduan yang belum sempat ditunaikannya.

b. Jika dia mati dalam keadaan dia boleh mengerjakan puasa ganti, didalam hal ini kebanyakkan ulama' mengatakan walinya tidak wajib menggantikan puasanya. Bagi Qaul Jadid Mazhab Syafie, tidak boleh seseorang itu menggantikan puasa orang lain, sama seperti solat. Menurut Mazhab Hanbali, hukum menggantikan puasa bagi waris adalah sunat ataupun mustahab (digalakkan). Menurut Mazhab Syafie (Qaul Jadid) dan Mazhab Hanbali, Wali wajib memberi makan bagi setiap puasa yang ditinggalkannya dengan secupak makanan [al-Fiqh al-Islami, cet ke 3, 2/681].


Soalan 1 : Hadith dari 'Aisyah ra :-

"Barangsiapa yang mati dan masih menanggung puasa, maka berpuasalah bagi pihak oleh walinya" -[Hadith Muttafaq 'alaih, al-Lu'lu' wa al-Marjan, ms 704].

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa pewaris hanyalah sunat atau mustahab mengqadha'kan bagi pihak ibu atau bapa yang telah meninggal. Waris itu termasuklah anak-anak yang bersedia berpuasa bagi pihak ibu-bapanya. Sebagaimana yang dinyatakan, jika dibahagi-bahagikan puasa yang terhutang sebanyak 60 hari dengan 6 orang anak, maka setiap anak bolehlah melakukan 10 hari puasa qadha' bagi pihak ibu-bapanya.


Soalan 2 :

 Sebagaimana yang kami nyatakan diatas, maka bolehlah membayar fidyah ke atas hari-hari yang ditinggalkannya. Berkata Syiekh al-Qaradawi :-
.
"Boleh memberi makan kepada fakir miskin bagi pihak si-mati, dengan menggunakan harta peninggalannya, sebanyak hari2 yang ditinggalkannya, dengan dalil bahawa hutang kepada Allah dibayar dengan peninggalannya (hartanya), hutang kepada lebih berhak dibayarkan". [Fiqh al-Shiyaam, ms 76].

Jawatan Kuasa tetap fatwa Arab Saudi pernah ditanya mengenai seorang wanita tua yang tida berupaya berpuasa dalam bulan Ramadhan. Wanita tersebut berkeadaan terlalu tua dan sakit selama 3 tahun. Apa yang perlu dilakukan? 

Jawabnya :

"Jika begitu situasi yang dijelaskan, wanita tersebut wajib memberi makan kepada orang miskin pada setiap hari yang dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan pada masa 3 tahun tersebut, dengan memberi 1/2 saa' gandum, kurma, beras, jagung atau apa sahaja makanan ruji (asasi) yang anda memberi makan kepada keluarga." - [al-Lajnah al-Daa'imah 10/161].

Kesimpulannya, hendaklah membayar fidyah sebanyak hari yang ditinggalkan, dan tidak perlu lagi mengqadha'kan puasa tersebut. WA.

Sekian, wassalam
panduankelahiran

Wednesday, September 22, 2010

Perginya Tak Kembali

Hari ini 22 September 2010, Rabu.

Nenek abi kembali ke Rahmatullah pagi tadi setelah terlantar kerana strok selama 1 tahun. Semoga rohnya dipermudahkan Allah untuk ke syurga.

Jenazah dalam perjalanan pulang ke Jembal, Bachok, Kelantan dari Keluang, Johor. Jadi, saya kene kemaskan rumah.

Tuesday, September 21, 2010

Ada Apa Dengan Dana Warisan Keluarga ?


Secara keseluruhannya penulis blog ini ingin berkongsi tentang pengurusan kewangan dengan semua pembaca terutama rakyat Malaysia yang beragama Islam. Terkadang, ada orang berkata : " nak urus apa? Duit saya selalu tak cukup. Belum habis bulan, poket dah kosong." Malas nak memeningkan kepala.

Sama ada anda tergolong dalam golongan banyak duit (tak habis nak makan), cukup-cukup makan atau tak de duit nak makan. Anda dan kita semua perlu mempelajari bagaimana menguruskan kewangan dengan betul. Bak kata Hajjah Rohani, penasihat kewangan Islam "Cukup wang, Hati tenang." Cukup tidak bermaksud kaya tapi dia berasa cukup dengan apa yang dia ada dan dengan keperluan yang perlu ditanggung olehnya.

 Mungkin hari ini anda rasa ia tak penting. Tapi ia akan menjadi tersangat penting bila mana tak de duit untuk membiayai yuran kemasukan anak ke ipt, tiada duit untuk kos perubatan mak ayah yang berpenyakit kronik, suami meninggal sedangkan rumah, kereta dan perabot semua belum habis bayar. Semuanya akan dilelong ... mana anda nak tinggal ? Apa anda nak makan ?

Tiada seorang pun yang menyangka bahawa mereka akan menghadapi saat-saat getir seperti di atas? Ia datang tanpa diduga dan tanpa khabar berita. Saat ia menyapa, adakah kita siap untuk menghadapinya dengan perancangan kewangan yang cukup mantap.

Ada juga kes, bapa hartawan ternama. Tapi setelah meninggal, harta dibekukan dan tidak dapat dituntut oleh waris kerana tiada surat wasiat dan pengagihan harta yang betul. Sia-sia saja harta yang anda kejar siang dan malam jika tidak diwariskan pada anak isteri yang tinggal. Mereka merempat kerana kecuaian anda dalam menguruskan harta dan wang ringgit.

Followlah blog ini untuk kita sama-sama belajar menguruskan kewangan, bagaimana menacari wang,  menyimpan wang, menggunakan wang dan sebagainya ?

Harapan saya, semoga penulis blog ini dipermudahkan oleh Allah untuk berkongsi ilmu yang dia ada.


Teman-teman Pilihan


Ar Rafiiq qabla thariq, memilih teman perlu diutamakan sebelum memulai perjalanan. Penempuh jalan dakwah, hakikatnya sama seperti penempuh perjalanan secara umumnya yang memerlukan teman perjalanan sebagai teman berbicara, berbincang, berkongsi suka dan duka, saling memikul kesulitan perjalanan, menemani di kala sepi, menjadi penasihat ketika lemah, penghibur di kala susah, pelindung di saat ketakutan merasuk, pendorong semangat ketika lemah, dan sebagainya.

Itulah sebabnya para ulama juga turut menjelaskan bahawa adanya seorang teman menjadi salah satu di antara adab orang yang ingin menempuh perjalanan, seperti dikatakan Imam Al-Ghazali: “Hendaknya orang yang ingin bepergian memilih teman. Jangan ia keluar seorang diri. Pilih teman dahulu, barulah tempuh perjalanan. Hendaknya teman yang menemaninya dalam perjalanan itu adalah orang yang boleh membantunya dalam menjalankan prinsip agama, mengingatkan tatkala lupa, membantu dan memotivasi ketika ia tersedar. Dan seseorang tidak dikenal kecuali dengan melihat siapa temannya...” (Ihya’ Ulumuddin, 2/202).

Apa yang dikatakan Imam Al-Ghazali rahimahullah itu sebenarnya, mengambil intisari hadith Rasulullah SAW: “Andai manusia mengetahui apa yang akan dialami seseorang jika ia seorang diri, nescaya tak ada orang yang menempuh perjalanan malam seorang diri.” (Fath Al Bary, 6/138).

Memilih teman-teman yang baik akhlaknya adalah suatu perkara yang penting untuk membangun peribadi yang hanif dalam diri anak-anak kita. Teman umpama cerminan diri seseorang. Bagaimana akhlak teman, begitu pulalah akhlak anak-anak kita.


Sewaktu kecil, saya menemukan teman-teman yang terbaik akhlaknya di rumah-rumah Allah. Kami sama-sama ke surau atau masjid untuk mencari cinta Allah dengan hati sejernih air di dalam gelas. Di sana kami belajar untuk menjadi hamba-hamba Allah yang bertaqwa sehingga cita-cita itu turut kami bawa walaupun setelah keluar dari surau untuk menjalani aktiviti seharian.

Teman-teman yang hanif juga mengajar saya untuk menitiskan air mata keinsafan saat tangan ditadahkan di hadapan Allah, rutin solat berjamaah, qiam, saum dan tilawatul quran. Di sekolah, kami membina hubungan yang baik dengan guru-guru dan semua warga sekolah yang lainnya. Suka dan duka kami harungi bersama sehingga kejayaan menjadi milik kami juga akhirnya.

Sedangkan teman yang buruk akhlaknya banyak mempengaruhi anak-anak kita untuk terjebak dengan rokok, ganja, arak, pornografi dan pelbagai gejala keruntuhan akhlak yang lainnya. Jika anda singgah di Bukit Bintang, anda akan dapat menyaksikan pertunjukan tarian 'shuffel' di tepi jalan raya. Di situ, remaja akan menari berpasangan dengan pakaian yang menjolok mata sambil meneguk arak dari tin minuman supaya lebih bertenaga. Bila ditanya "adakah mak ayah tahu tentang aktiviti mereka?" Mereka menjawab, "tak, tadi cakap nak pergi tuisyen."

Jadi, luangkan sedikit masa kita untuk menyediakan teman-teman yang hanif untuk anak-anak kita. Berkorbanlah sedikit untuk impak kebaikan yang lebih besar.


Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com