Saturday, September 25, 2010

Ganti Puasa Untuk Orang Yang Meninggal dan Uzur


Kemusykilan

Saya ada kemusykilan mengenai bab puasa, ibu sahabat saya telah meninggal 3 tahun lepas, tetapi telah sakit dan uzur 2 tahun sebelumnya dan tidak larat uuntk berpuasa. Persoalannya ialah:

1. jika anak-anak hendak gantikannya bolehkah dibahagi-bahagikan contoh 60 hari bahagi 6 orang anak, iaitu setiap seorang ganti 6 hari?

2. jika kita bayar fidyah? adakah anak2 still kena puasa juga? yakni bayar fidyah+ganti puasa? atau hanya bayar fidyah sahaja.

harap panel al-ahkam dapat memberikan sedikit pencerahan.

wassalam


Jawapan


Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, In Sya-Allah.

Qadha' puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia ini ada 2 keadaan :-

a. Seseorang yang belum sempat mengganti puasanya oleh kerana dia berada didalam keuzuran ketika itu seperti sakit, atau musafir, maka jumhur ulama' mengatakan, dia tidak memikul apa-apa tanggungan dan tidak dikira berdosa. Dengan kata lain, tidak perlu qadha' puasa, kerana baginya, puasa adalah sesuatu kefarduan yang belum sempat ditunaikannya.

b. Jika dia mati dalam keadaan dia boleh mengerjakan puasa ganti, didalam hal ini kebanyakkan ulama' mengatakan walinya tidak wajib menggantikan puasanya. Bagi Qaul Jadid Mazhab Syafie, tidak boleh seseorang itu menggantikan puasa orang lain, sama seperti solat. Menurut Mazhab Hanbali, hukum menggantikan puasa bagi waris adalah sunat ataupun mustahab (digalakkan). Menurut Mazhab Syafie (Qaul Jadid) dan Mazhab Hanbali, Wali wajib memberi makan bagi setiap puasa yang ditinggalkannya dengan secupak makanan [al-Fiqh al-Islami, cet ke 3, 2/681].


Soalan 1 : Hadith dari 'Aisyah ra :-

"Barangsiapa yang mati dan masih menanggung puasa, maka berpuasalah bagi pihak oleh walinya" -[Hadith Muttafaq 'alaih, al-Lu'lu' wa al-Marjan, ms 704].

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa pewaris hanyalah sunat atau mustahab mengqadha'kan bagi pihak ibu atau bapa yang telah meninggal. Waris itu termasuklah anak-anak yang bersedia berpuasa bagi pihak ibu-bapanya. Sebagaimana yang dinyatakan, jika dibahagi-bahagikan puasa yang terhutang sebanyak 60 hari dengan 6 orang anak, maka setiap anak bolehlah melakukan 10 hari puasa qadha' bagi pihak ibu-bapanya.


Soalan 2 :

 Sebagaimana yang kami nyatakan diatas, maka bolehlah membayar fidyah ke atas hari-hari yang ditinggalkannya. Berkata Syiekh al-Qaradawi :-
.
"Boleh memberi makan kepada fakir miskin bagi pihak si-mati, dengan menggunakan harta peninggalannya, sebanyak hari2 yang ditinggalkannya, dengan dalil bahawa hutang kepada Allah dibayar dengan peninggalannya (hartanya), hutang kepada lebih berhak dibayarkan". [Fiqh al-Shiyaam, ms 76].

Jawatan Kuasa tetap fatwa Arab Saudi pernah ditanya mengenai seorang wanita tua yang tida berupaya berpuasa dalam bulan Ramadhan. Wanita tersebut berkeadaan terlalu tua dan sakit selama 3 tahun. Apa yang perlu dilakukan? 

Jawabnya :

"Jika begitu situasi yang dijelaskan, wanita tersebut wajib memberi makan kepada orang miskin pada setiap hari yang dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan pada masa 3 tahun tersebut, dengan memberi 1/2 saa' gandum, kurma, beras, jagung atau apa sahaja makanan ruji (asasi) yang anda memberi makan kepada keluarga." - [al-Lajnah al-Daa'imah 10/161].

Kesimpulannya, hendaklah membayar fidyah sebanyak hari yang ditinggalkan, dan tidak perlu lagi mengqadha'kan puasa tersebut. WA.

Sekian, wassalam
panduankelahiran

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com