Monday, August 10, 2009

Jagalah AURAT di BILIK BEDAH

Saya dibawa oleh seorang staf wanita masuk ke kawasan bilik pembedahan untuk rawatan gigi. Saya diminta menukar pakaian terlebih dahulu. Saya tidak keberatan menurutinya.

Di bilik persalinan, staf itu memberikan pakaian yang disediakan. Pakaian itu ialah kain sarung, baju berlengan tiga suku, skaf yang sangat jarang dan tudung yang sangat jarang.

“Ada baju lengan panjang?” saya bertanya.

“Tiada. Ini sahaja baju yang ada,” beritahu staf tersebut.

Melihat saya berjubah, bertudung labuh dan berpurdah, staf itu kelihatan serba salah juga kerana tidak dapat memberikan pakaian sesuai penampilan saya.

Saya tidaklah mahu menyusahkan dia. Apatah lagi untuk meminta yang bukan-bukan. Namun hukum tetap hukum. Ia berkait dengan hak-hak Allah ke atas para hambaNya.

“Kalau semua yang bertugas perempuan, tidak mengapalah,” saya menjelaskan.

“Tidak mengapa, staf perempuan yang ramai bertugas,” beritahu staf itu pula.

“Tiada seorang pun lelaki?”. Saya inginkan kepastian. Sebenarnya saya disambut oleh seorang staf lelaki di muka pintu kawasan bilik pembedahan itu. Jadi saya mengagak dia salah seorang pembantu di bilik pembedahan nanti.

“Ya…ramai staf perempuan. Err…ada seorang sahaja lelaki iaitu attendant,” teragak-agak dia menjawabnya.

“Hmm… ada jugalah lelaki,” gumam saya.

“Tudung ini jarang sangatlah. Ada tudung yang macam ini? Saya boleh jadikan alas (dalam tudung yang disediakan),” sambil tangan saya memegang sehelai tudung bawal berwarna putih yang ada di situ.

“Itu tudung staf di sini. Mereka pun kena tukar pakaian bila mahu ke bilik pembedahan. Tudung macam tu tiada. Macam nilah, saya beri sehelai lagi tudung.” Staf itu segera mengambil sehelai lagi tudung.

Tudung yang mereka sediakan ialah jenis pakai buang. Material yang digunakan ialah non-woven polypropylene. Material itu sama seperti material mask yang digunakan untuk menutup mulut para perawat. Skaf juga dibuat dari material yang sama. Material jenis ini banyak digunakan untuk membuat beg sekarang.

Jenis beg  Non Woven Polypropylene yang banyak digunakan sekarang.

Jenis beg Non Woven Polypropylene yang banyak digunakan sekarang.

Baguslah mereka boleh sediakan tudung untuk mereka yang berhijab namun apa gunanya jika ia bagai melepas batuk ditangga. Ia tidak dapat dijadikan alternatif untuk menutup aurat sebagaimana dituntut Islam. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang boleh sediakan tudung, biar tudung itu melengkapi syarat hijab.

Kalau sekadar mahu ia dipanggil tudung, memang sahlah ia dinamakan tudung. Dalam konsep hijab, bukan sekadar nama yang dinilai. Bahkan tudung itu harus (wajib) memenuhi konsep hijab yakni menutup rambut, leher dan pangkal leher. Lebih baik (lebih cun) lagi bila tudung dapat menutupi bentuk dada wanita.

“Hmm…kat bahagian ini, ada tudung disediakan. Kat bilik X-Ray tidak boleh pula sediakan tudung,” getus saya dalam hati.

Skaf ini saya pakai bawah tudung.  Doktor pakai atas tudung.  Lebih kemas lagi.

Skaf ini saya pakai bawah tudung. Doktor pakai atas tudung. Lebih kemas lagi.

Oleh kerana saya belum berpuas hati dengan tudung yang sudah 2 helai diberikan termasuk 1 skaf, saya merayu lagi,

“Macam nilah, biar saya pakai tudung saya ini. Saya sanggup ia kotor (kerana proses pembedahan). Balik nanti saya boleh basuh.”

“Tidak boleh. Ini prosedur yang ada di sini,” staf itu bertegas dengan saya dan terus keluar. Nampaknya dia tidak sanggup lagi melayani kehendak saya.

Di Bilik Persalinan

Seusai dia keluar, saya menyalin juga pakaian saya. Nasib baik saya sering memakai sepasang pakaian biasa di dalam jubah. Jadi saya sarungkan sahaja kain sarung yang diberikan dan baju lengan pendek itu di atas pakaian yang sedia ada. Blause lengan pendek dan skirt labuh yang saya pakai tidak kelihatan. Sekurang-kurangnya mereka tidak tahu saya tidak bersalin semua pakaian asal saya. Pakaian itu bersih dan saya bertawakkal kepada Allah. Saya tahu tujuan diminta menukar pakaian. Ia untuk menjaga kebersihan dan memastikan tiada kuman dibawa masuk. Almaklumlah, kuman-kuman suka sangat tinggal dalam darah manusia.

Saya tidak selesa dengan baju lengan pendek yang sudah dikenakan. Saya cuba menarik-narik hujung lengan baju. Hmm…mana boleh.

Saya cuba pula memakai skaf dan sehelai tudung di hadapan cermin. Hmm…memang jarang. Kelihatan rambut dan warna rambut. Saya cuba sehelai lagi. Ok lah. Boleh tahan.

Tudung itu hampir sama seperti dalam foto ini tapi ia lebih besar hingga ke paras bahu.  Dari segi jarangnya sama seperti dalam foto ini.

Tudung itu hampir sama seperti dalam foto ini tapi ia lebih besar hingga ke paras bahu. Dari segi jarangnya sama seperti dalam foto ini.

Hal tudung sudah selesai. Saya membelek baju berlengan pendek itu. Tidak tergamak saya untuk keluar begitu. Saya rasa sungguh berat hati. Saya menutup aurat sejak berusia 12 tahun. Hampir suku abad saya mengabdikan diri sebagai muslimah yang konsisten dengan hijab. Pakaian itu tiada kena mengena dengan rawatan yang saya akan jalani. Tiada darurah langsung untuk saya membuka bahagian lengan saya.

Saya berfikir-fikir sementara staf di luar sedang menunggu.

Saya perasan seorang staf yang sudah memakai pakaian khas untuk masuk ke bilik pembedahan memakai sarung lengan untuk menutup lengannya. Kalau saya bawa sarung lengan itu pun, ia belum memenuhi syarat kerana sarung lengan itu ketat serta membentuk lengan. Hanya warna kulit sahaja yang dilindungi.

Dari mula masuk ke bilik persalinan itu, saya terlihat sehelai non-woven surgical gown tersangkut di belakang pintu. Baju itu berlengan panjang lengkap bercekak di pergelangan tangan. Tapi baju itu khusus untuk staf.

Saya akan berusaha lagi. Saya tidak mahu mengambil mudah dalam mentaati perintahNya. Itu ikrar saya setiap kali dalam solat, “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, pendidik sekelian alam”.

Saya membuka pintu dan menghulur kepala keluar. Ada 3 orang staf perempuan di kaunter. Salah seorang dari mereka tidak memakai seragam. Hanya berbaju kurung sepasang dan bertudung. Dia baru tiba barangkali.

“Ada baju lengan panjang tak?” saya bertanya dari balik pintu.

“Oh…ya…aa nanti kita reka biar jadi baju lengan panjang,” seorang staf menyahut.

Sambil menjawab, saya lihat dia seperti terfikir-fikir untuk menyediakan alternatif.

“Baju yang seperti di belakang pintu ini pun ok,” saya mencadangkan.

“Ha…pergilah ambil baju yang baru,” arah seorang staf yang lebih senior.

“Baju itu pun boleh pakai. Masih baru dikeluarkan,” staf yang lebih muda itu memberitahu.

Baju beginilah yang saya minta untuk dipakai.  Ia disediakan untuk staf sebenarnya.

Baju beginilah yang saya minta untuk dipakai. Ia disediakan untuk staf sebenarnya.

Baju itu bukan sahaja berlengan panjang, bahkan besar dan labuh sehingga bawah paras lutut.

Saya menyarungnya ke atas baju berlengan pendek dan singkat itu. Alhamdulillah. Ini baru kena dengan tuntutan syariat. Tudung yang agak singkat itu pun terlindung dek baju gaun yang agak besar itu.

Saya melangkah keluar dari bilik persalinan dengan rasa selesa. Tiba di meja kaunter, staf berbaju kurung itu bangun dan menolong mengikat tali di bahagian belakang. Saya tidak pun meminta dia berbuat demikian.

“Mari saya tolong ikatkan, ” begitulah katanya.

Daripada panggilan staf lain, baru saya tahu dialah doktor yang akan merawat saya. Laa…doktor rupanya.

Saya duduk di kerusi sementara doktor itu pergi menyalin pakaiannya pula. Sebaik dia keluar, saya lihat dia memakai skaf di atas tudung sama seperti yang saya pakai. Semua staf yang akan masuk ke bilik pembedahan memakai seragam yang sama.

Di Bilik Pembedahan

Saya sempat perhatikan dua orang misi yang berada di luar tadi masuk bersama doktor ke bilik pembedahan. Mereka berdua masih kekal dengan tudung yang asal.

“Boleh pula mereka tidak menukar tudung”, fikir saya. Kemudian saya mengagak mungkin kerana mereka tidak akan menyentuh saya secara langsung.

Bilik itu luas dan selesa.

Saya berbaring di atas katil yang disediakan. Saya diselimutkan hingga ke paras leher. Kemudian kepala saya dibungkus pula dengan kain yang agak tebal dan mata saya ditutup. Ia untuk melindungi mata saya dari silau dek lampu yang dihalakan ke wajah saya.

“Kalau macam inilah prosedurnya, boleh juga kita minta masuk dahulu ke dalam bilik pembedahan. Selepas selesai diselimut, bolehlah staf lelaki itu pula yang masuk,” fikir saya lagi. Ia adalah satu lagi alternatif untuk menjaga aurat dalam keadaan pakaian yang disediakan tidak memenuhi syarat.

Malam Selepas Pembedahan

Saya bercerita pada suami apa yang berlaku. Saya memang langsung tidak tahu saya perlu menukar pakaian untuk menjalani MOS. Saya sangka ia seperti rawatan gigi yang biasa sahaja.

Saya mahu mengesyorkan pakaian alternatif untuk pesakit perempuan. Kita sudah dilimpahi nikmat yang banyak oleh Allah swt. Justeru itu, saya tidak nampak kita mempunyai alasan untuk membelakangkan atau memandang kecil tentang hukum Allah dalam soal hijab ini.

Allah berikan nikmat kain dan pakaian. Allah pinjamkan ilmuNya tentang teknologi membuat pakaian sehingga kita bukan lagi seperti Adam dan Hawa yang mencantas dedaun untuk menutup aurat mereka.

Bukankah kita patut menjadi hambaNya yang bersyukur?

Tanda syukur kita bukan sekadar melafazkan alhamdulillah di lidah tidak bertulang, namun perlu disertai dengan anggota badan lain yang tunduk patuh kepadaNya. Bukankah seluruh anggota badan dan sel-sel yang ada pada kita mempunyai hak-hak untuk mengabdikan diri kepada Allah?

Alasan apakah lagi yang mahu kita kemukakan kepada Rabb pencipta kita untuk tidak patuh kepadaNya dalam soal menutup aurat? Tiada kain? Tidak cukup wang? Atau apa?

Mampukah kita mereka-reka alasan tersebut di Padang Masyhar kelak?

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu yang hendak kamu dustakan?”

[Ayat 13, 16, 18,21, 23, 25,28, 30, 32, 34, 36, 38, 40,42, 45, 47,49, 51, 53, 55, 57,59,61, 63, 65, 67, 69, 71, 73, 75 dan 77 dari Surah al-Rahman (Yang Maha Penyayang)]


nukilan :

Ummu Abbas
4.00pm
9 Jamadil Akhir 1430H

iluvislam.com

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com