Thursday, December 16, 2010

Andai Syurga dan Neraka Tidak Ada


Dalam surah al-Mukminun ayat 1 hingga 11 Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kehormatannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari di sebalik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanahnya (yang dipikulnya) dan janjinya. dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.


Motivasi yang tidak ada tolok bandingannya dalam kita berusaha memperoleh tiket meraih syurga Firdaus, iaitu manusia perlulah beriman dan memenuhi tujuh perkara berikut:

Khusyuk dalam solat
Menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia
Menunaikan zakat
Menjaga kemaluan
Memelihara amanah-amanah yang dipikul
Memegang janji dan
Memelihara solat.

Mungkin tujuh perkara di atas nampak mudah namun untuk mempraktikkannya perlu kepada kesungguhan dan disiplin. Pun begitu, setiap sesuatu itu ada jalan penyelesaian dan jawapannya. Malah sesuatu kejayaan itu datang dalam diri individu itu sendiri.

Namun pernahkah kita bayangkan jika sekiranya syurga dan neraka itu tidak ada? Adakah manusia mahu sujud kepada Allah? Barangkali wajar kita kemukakan pertanyaan ini.

Ini kerana ramai manusia di atas muka bumi ini yang beribadat kepada Allah kerana menginginkan syurga dan takutkan neraka.

Syurga dan neraka ibarat hitam putih kehidupan yang menunjukkan kebaikan dan keburukan. Kehidupan setiap manusia berakhir sama ada di syurga ataupun di neraka.

Ibnu Umar melaporkan, Nabi Muhammad SAW bersabda: Apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia, diperlihatkan kepadanya di waktu pagi dan petang tempat tinggalnya nanti iaitu neraka ataupun syurga dan dikatakan kepadanya, "Inilah tempat tinggal engkau, kelak engkau dihantar ke sana." (riwayat Imam Bukhari)

Namun sejauh manakah kita memanfaatkan dan menghayati erti syurga dan neraka yang sebenar. Adakah semata-mata kerana ganjaran syurga dan takut pada seksaan api neraka, kita tunduk patuh kepada perintah Allah atau disebabkan keikhlasan kita sebagai hamba-Nya yang beriman.

Buku Andai Syurga & Neraka Tidak Ada cuba membicarakan tentang hakikat ibadah dalam kehidupan seorang Muslim.

Buku terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. pastinya menguji sejauh mana kita menginginkan ganjaran syurga dan neraka. Ia juga menyingkap hikmah di sebalik semua peristiwa yang berlaku di sekeliling kita melalui amalan-amalan yang kita lakukan.

Lantaran itu, keinginan dan kesungguhan dalam melakukan ibadah perlu berlandaskan keikhlasan tanpa mengharapkan balasan.

Dalam buku ini juga, ada merangkumi kisah ahli syurga, nikmat-nikmat syurga, azab neraka serta panduan mempersiapkan diri menjadi orang berakhlak mulia. Malah ia turut menjawab persoalan-persoalan mengenai ahli syurga dan siapakah yang mendapat ganjaran syurga.

Bersamalah kita singkap hikmah dan tauladan di sebalik andaian sekiranya syurga dan neraka tidak ada sebagai landasan bagi sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan di akhirat.

panduankelahiran

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com