Friday, May 17, 2013

Sehari Di Wad Bersalin


Jangka masa anda dan bayi berada di wad adalah bermula dari selepas bersalin sehingga diluluskan oleh doktor untuk pulang ke rumah. Di wad, bapa akan bertindak mengazankan anak lelaki dan mengiqamahkan anak perempuan. Jika anda berkeseorangan, anda juga boleh mengiqamatkan bayi anda. Seboleh-bolehnya, kalimah mentauhidkan Allah adalah kalimah yang pertama didengar oleh bayi anda.

Pada waktu pagi, anda boleh mandi di bilik air dengan air suam sebelum bayi anda bangun. Berjalanlah dengan perlahan-lahan walaupun anda berasa bahawa anda mampu berlari selepas bersalin. Mandi secepat mungkin dan tukarkan pad bertali anda kerana bayi anda akan terjaga pada bila-bila masa. Basuh pad dengan bersih dan masukkan ke dalam tong khas di dalam bilik air. Anda dinasihatkan untuk menutup aurat semampunya terutama bertudung kerana pelawat lelaki akan berada di dalam wad sepanjang waktu melawat. Pakailah t-shirt lengan panjang atau ‘blaus’ berlengan panjang, stokin untuk mngelakkan kesejukan dan kain sarung untuk mengurangkan gerakan anda ketika memakainya. Pakai pakaian yang disediakan oleh pihak hospital jika ada. 
Anda juga tidak wajib untuk solat sepanjang waktu nifas. Kertas akan dihamparkan di atas tilam anda untuk mengelakkan darah melekat pada alas tilam. Tukarlah kertas tersebut dengan yang baru jika perlu.

Sekitar 7.00 pagi, anda akan diberikan sarapan pagi.  Kemudian, jururawat akan meminta anda menanggalkan pakaian bayi dan selimutkannya dengan tuala untuk dimandikan. Pastikan anda menukarkan diaper bayi anda jika dia telah membuang air besar kerana ini akan menyulitkan jururawat untuk memandikannya. Siapkan pakaian yang akan dipakai oleh bayi sebelum menolak katil bayi ke bilik mandi bayi, di situ bayi anda akan dimandikan oleh jururawat. Sebaik sahaja dimandikan, segeralah kembali ke katil untuk memakaikan pakaian kepada bayi anda yang kesejukan. Pastikan anda cermat ketika menukarkan dan memakaikan pakaian bayi kerana tulang bayi anda masih terlalu lembut.

Dalam masa yang sama, anda dan bayi sedang menunggu giliran untuk diperiksa oleh doktor. Bayi akan diperiksa tindakan refleksnya, penglihatan, pendengaran, penyusuan, sudah membuang air besar dan kecil serta tahap jaundisnya. Anda juga akan dipastikan tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan. Anda dan bayi akan berada di wad sehingga semuanya berada dalam keadaan yang memuaskan.

Gunakan masa sepanjang waktu di wad untuk menyusukan bayi anda sekerap mungkin. Kejut bayi setiap dua jam untuk disusukan walaupun dia masih tidur dengan lena. Bayi yang banyak tidur dan kurang menyusu berpotensi untuk mendapat jaundis. Berjuanglah untuk menyelamatkan bayi anda daripada serangan jaundis.

Anda kemudiannya akan dihidangkan minum pagi, makan tengahhari, minum petang dan makan malam mengikut waktu sajian hospital tersebut. Pelawat akan datang melawat anda pada waktu melawat dan seorang ahli keluarga wanita dibenarkan untuk menjaga anda terutama pada waktu malam. Jadi, anda boleh meminta orang yang datang menunggu anda untuk membantu anda mengurus bayi bagi mengurangkan pergerakan anda. Peneman anda dinasihatkan untuk membawa alas tidur, selimut kecil dan bantal kerana kebiasaannya tempat tidur untuk penunggu adalah di atas kerusi atau lantai.

Kebiasaannya bayi akan terjaga di waktu malam untuk menyusu, menukar lampin yang basah dan kembung. Pastikan anda kerap menyapu minyak bayi pada perut, bahagian belakang, betis dan tapak kaki bayi untuk mengelakkan kembung atau melegakannya terutama selepas mandi dan selepas menukar lampin. Anda juga perlu membuatkan bayi sendawa selepas menyusu untuk mengelakkan bayi kembung. Caranya adalah dengan meletakkan perut bayi pada bahu anda dan menepuk punggungnya secara perlahan-lahan sehingga sendawa.

Jika anda dan bayi lulus pemeriksaan doktor pada pagi keesokan harinya. Anda boleh bersiap untuk pulang.  Mintalah suami atau ahli keluarga untuk mengambil ubat yang telah disenaraikan oleh doktor di farmasi hospital dan membayar kos hospital anda di bahagian kaunter pembayaran. Suami boleh menggunakan kerusi roda untuk membawa anda sehingga ke kereta anda dan mengembalikan kerusi roda tersebut ke tempatnya.

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com