Assalamualaikum semua...
Walaupun perempuan biasa yang menunggu pinangan, tapi seorang perempuan perlu menilai bakal suami adalah yang terbaik untuknya. Sebelum tu, baca dulu Tips Mencari Suami Impian 1 dan Tips Mencari Suami Impian 2. Kemudian tips seterusnya ialah mencari lelaki yang mempunyai kemahiran hidup yang tinggi.
Kemahiran hidup yang saya maksudkan ialah :
1. mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin
Maksudnya, dia berkebolehan memberi arahan, menilai, membimbing dan menentukan hala tuju sebuah rumahtangga. Namun begitu, dia masih menerima pandangan, kritikan dan teguran daripada isteri juga anak-anak. Mampu memainkan peranan seorang suami dan ayah.
2. mempunyai pekerjaan yang HALAL dan BERHASIL
Suami bertanggungjawab menafkahi keluarga. Jadi pastikan kerja lelaki itu halal (tiada riba, rasuah, penipuan dsb) dan berhasil (cukup untuk menyara keluarga). Kerja yang halal menjamin keberkatan harta dan kebahagiaan rumahtangga. Bagus juga kalau ada simpanan untuk walimatul urus dsb serta takaful untuk bekal hari kecemasan.
3. tahu mengurus diri, rumah dan anak-anak
Ramai suami yang '0' pengalaman tentang mengurus rumahtangga (masak, lipat baju, kemas rumah dsb), membaiki barang rosak (lampu, paip air, sink, mesin basuh dll) dan mengurus anak-anak (mandikan bayi dsb). Kemahiran ini penting untuk suami terutama jika isteri berpantang selepas bersalin atau bekerja yang ada shif dan outstation. Suami yang banyak membantu isteri dalam mengurus rumah dan anak-anak akan lebih dicintai isteri.
4. kemahiran berkomunikasi dengan isteri
Lelaki dan perempuan mempunyai cara komunikasi yang cukup berbeza sehingga mengundang salahsangka sehingga berlakunya pergaduhan dan penceraian dalam rumahtangga. Belajarkan cara berkomunikasi dengan wanita melalui buku panduan berkomunikasi seperti Mens From Mars and Womens From Venus.
Itu sahaja untuk kali ini, mungkin nampak agak utopia (terlalu perfect hingga tak mungkin dicapai) tapi jika suami mempunyai semua kemahiran hidup ini, bahagialah sesebuah rumahtangga. Jika tidak, belajar dan berubahlah menjadi lebih baik.