Barangsiapa yang menikah kerana inginkan kekayaan, maka dia akan mendapatkan kefakiran. Barangsiapa yang menikah kerana inginkan kemuliaan, maka dia akan mendapatkan kehinaan. Barangsiapa yang menikah kerana inginkan keimanan, maka Allah akan mengumpulkan padanya kekayaan dan kemuliaan. Disebabkan hal tersebut, nilai iman adalah faktor kebahagiaan yang paling besar dalam membina sebuah rumahtangga seperti yang telah saya ceritakan dalam Tips Mencari Suami Impian 1. Kali ini, saya akan menceritakan ciri suami impian kedua iaitu ...
SABAR
Para bijak pandai mengibaratkan rumahtangga umpama fakulti KESABARAN dalam sebuah universiti KEHIDUPAN. Suami isteri akan menemui banyak kejadian dan dugaan hidup yang menuntut kesabaran yang tinggi di pihak suami dan isteri. Begitulah pentingnya perihal sabar sehingga saat seseorang ingin mendapatkan nasihat Rasulullah saw, baginda menasihatinya supaya BERSABAR.
Manfaat Sabar
Dengan SABAR, suami mampu memberi ruang kepada isteri untuk berterus-terang jika wujudnya salah faham dan prasangka. Dengan sabar, suami akan dapat menghadapi kerenah isteri, anak-anak, ibubapa dan mertua walaupun penat bekerja. Sabar juga dapat memastikan bahawa anda tidak menjadi mangsa keganasan rumahtangga dan penderaan terhadap anak-anak.
Bagaimana mengenal lelaki yang sabar ?
- TIDAK CEPAT MENINGGIKAN SUARA - Lelaki yang sabar tidak cepat meninggikan suara dengan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain terhadapnya.
- TIDAK CEPAT NAIK TANGAN - tidak pernah memukul kawan atau adik-beradik yang melakukan kesalahan kecil dengan pukulan yang kuat, tumbukan dan sepakan.
- TIDAK PERNAH DIDERA KETIKA KECIL - Lelaki yang didera ketika kecil oleh ibubapa dan penjaga akan cenderung untuk menjadi seorang pemarah dan pendendam ketika dewasa melainkan jika dia mempunyai jiwa pemaaf yang sangat besar dan bertekad untuk tidak melakukan hal yang sama pada orang lain.
- CEPAT MEMAAFKAN - Lelaki yang sabar memberi ruang kemaafan pada pesalah walaupun tidak dipinta.
Pada saya yang pernah melihat kejadian keganasan rumahtangga dan penderaan kanak-kanak di depan mata, menyeru kepada rakan pembaca agar menjadi orang-orang yang sabar dan mencari pasangan hidup yang sabar. Kesabaran dalam rumahtangga adalah nikmat yang tidak terhingga nilaiannya.
Nak tahu lagi tak tips Mencari Suami Impian 3 ? Tunggu dengan SABAR...