Wednesday, June 17, 2009

Tarbawiyah, ibu, dakwah

Prakata

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Alhamdulillah, dalam tulisan kecil ini, kami cuba membahaskan tentang tajuk tarbawiyah untuk para ibu dan dakwahnya serta dalam masa yang sedang belajar atau bekerja. Semoga Allah memberi taufik dan hidayahNya kepada kita semua dalam melaksanakan segala perintahNya. Amin.

Permasalahan Wanita Masa Kini

Barat terus – menerus melancarkan serangan pemikiran dalam banyak perkara yang berkaitan dengan wanita untuk melemahkan sistem tarbawiyah (pendidikan) umat Islam. Pertama, wanita Islam dikatakan tidak terpelajar, mundur, jumud dan terkongkong dengan segala peraturan yang wujud dalam Islam itu sendiri. Sedangkan jika kita menoleh ke arah sejarah lampau, umat manusia memandang rendah terhadap wanita. Eropah umpamanya menganggap suatu kejelekan untuk memberi pelajaran kepada wanita. Wanita hanya layak duduk di dapur dan menjadi pelayan nafsu lelaki, mereka tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka apatah lagi untuk menegakkan hak mereka. Di China, isteri akan menggunakan nama keluarga suami, mencari nafkah dan diceraikan sesuka hati. Di India, isteri yang kematian suami akan dibakar hidup – hidup bersama suaminya.

Kedua, kemelesetan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi kini telah menyeret wanita untuk turut bekerja bersama suami bagi menyara keluarga. Kesibukan ibu rumah tangga ini telah menghambat tugas utamanya sebagai isteri dan tugas mendidik anak – anak di rumah. Pengabaian ini telah meningkatkan kes penceraian dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja seterusnya menghancurkan kehidupan umat Islam itu sendiri. Kemelesetan ekonomi juga menyebabkan ramai keluarga muslim mula menjarakkan kelahiran anak sedangkan kaum yahudi pula semakin menambah bilangan anak – anak mereka. Bayangkan jika suasana ini berlangsung secara berterusan. Apakah yang bakal terjadi 50 tahun akan datang?

Ketiga, dakwah dipandang pada skop yang sangat kecil dan dilaksanakan oleh mereka yang mempelajari bidang agama sahaja. Barat juga memandang mereka yang ingin menyebarkan dakwah sebagai golongan teroris yang sangat ganas dan mengancam keselamatan awam. Oleh hal yang demikian, ramai umat Islam masa kini yang mengabaikan amal dakwah sedangkan keadaan moral masyarakat masa kini yang sangat parah sangat memerlukan amal dakwah daripada setiap individu muslim terutama wanita. Kenapa wanita ? Kerosakan akidah dan akhlak wanita dalam sesebuah zaman akan menghancurkan peradaban zaman tersebut dan seorang ibu yang tidak mengamalkan Islam dengan benar tidak akan mempu untuk mendidik anak – anak mereka untuk berislam dengan benar. Walaupun, amal dakwah dalam menyeru wanita kembali ke jalan kebenaran boleh dilaksanakan oleh lelaki tetapi hakikatnya hanya amal dakwah seorang wanita dapat mengembalikan wanita yang tersesat kembali ke jalan kebenaran dengan sebenar – benarnya..

A. MASALAH BELAJAR BAGI WANITA DAN SOLUSINYA

Pandangan Islam terhadap Lelaki Dan Wanita

Islam memandang sama rata antara lelaki dan wanita dalam melaksanakan ibadah, belajar, dakwah dan pahala yang didapati seperti yang termaktub dalam Al- Quran dan hadith.

(3:195) Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman): "Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan, (karena) sebagian kamu adalah keturunan dari sebagian yang lain[259]. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalanKu, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Kuhapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai - sungai, sebagai pahala di sisi Allah dan pada sisiNya pahala yang baik."

[259] maksudnya sebagaimana lelaki berasal dari lelaki dan perempuan, Maka demikian pula halnya perempuan berasal dari lelaki dan perempuan. kedua-duanya sama-sama manusia, tidak ada kelebihan yang satu dari yang lain tentang penilaian iman dan amalnya.

(16:99) Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya.

Hadith diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dengan sanadnya bahawa Rasulullah saw telah bersabda : “Hak seorang anak (walad) atas ayahnya adalah memberikan nama yang baik, mengajarkannya menulis dan menikahkannya setelah dewasa ”

Dari Nabi saw bahawa beliau pernah bersabda: “menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslim”

Perkataan orang – orang yang beramal, orang – orang yang beriman, walad dan muslim adalah merangkumi lelaki dan perempuan itu sendiri. Maka apa yang diwajibkan ke atas lelaki, menjadi wajib pula ke atas wanita.

Kenapa wajib belajar ?

(62:2) Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.

(2:151) Sebagaimana (Kami Telah menyempurnakan nikmat kami kepadamu) Kami Telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.

Berdasarkan dua ayat di atas, Rasullullah saw adalah dai yang mengajarkan semua manusia samaada lelaki atau wanita untuk mengenal Islam dengan membacakan ayat-ayat Allah, mensucikan manusia dan mengajarkan kepadanya Al Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan apa yang belum mereka ketahui. Oleh itu, semua muslim wajib mengerjakan apa yang diwajibkan atas Rasulullah saw iaitu belajar, mengajar dan beramal dengan apa yang dipelajari. Itulah model pembelajaran sebenar yang setiap muslim tidak dapat lari daripada kita melaksanakannya.

Contoh-contoh Penglibatan Wanita di Dalam Masyarakat di Zaman Nabi s.a.w.

Wanita pada zaman Rasulullah saw menuntut ilmu sepertimana lelaki, bahkan Rasulullah saw telah menyediakan satu hari khusus untuk para sahabiah mempelajari ilmu secara terus daripadanya. Para isteri Rasulullah saw yang banyak berada di samping baginda adalah contoh terbaik wanita yang banyak mempelajari ilmu dan mengajarkannya kepada para sahabat Rasulullah saw terutama selepas kewafatan baginda seperti firman Allah yang bermaksud :

(33:34) Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumahmu dari ayat-ayat Allah dan hikmah (sunnah nabimu). Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.

Ramai ulama besar juga berguru kepada wanita dan para ulama turut memberi langkah – langkah yg baik dalam membantu wanita dalam belajar dan mengajarkan ilmu. Dr Layth Su’ud Jasim di dalam bukunya Khidmat Masyarakat, Peranan Wanita di Zaman Rasulullah saw. Terdapat dua peranan terbesar yang dimainkan oleh para wanita pada zaman Rasulullah saw. Pertama, Menubuhkan dan Mengaktifkan Institusi Khidmat Kemasyarakatan dan kedua, Pembiayaan Program Institusi Kemasyarakatan

A) Menubuhkan dan Mengaktifkan Institusi Khidmat Kemasyarakatan

i. Penubuhan Badan Kebajikan (Suffah Wanita)

Orang pertama yang mengeluarkan idea ini ialah Asma’ binti Yazid bin al-Sakan al-Ansariyyah. Beliau pernah menjadi wakil bagi kaum wanita menemui Rasulullah s.a.w. bagi bertanyakan tentang kewajipan wanita dalam masyarakat dan peranan mereka dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Ini dapat difahami daripada kata-kata beliau: “Aku adalah utusan kepada seluruh kumpulan kaum wanita yang berada di belakangku. Mereka semua sependapat denganku.”

Rasulullah s.a.w. memuji beliau kerana kepintaran dan keprihatinannya terhadap agama. Semua ini menunjukkan kaum wanita dibenarkan berpersatuan sendiri dan mengeluarkan pendapat dalam permasalahan-permasalahan penting, terutama yang bersangkutan dengan kaum wanita, kepentingan agama dan kepentingan dakwah.

Antara aktiviti yang mereka jalankan:
a. Menuntut ilmu
b. Aktiviti Pekerjaan
c. Aktiviti memelihara alam sekitar
d. Mengadakan Perayaan, Sambutan, Bernasyid dan Menyanyi
e. Menghadiri Perhimpunan Tergempar dan Penting

ii. Membina Rumah Tamu dan Membiayainya

Antara wanita yang memberikan sumbangan dalam pembinaan rumah tetamu dan mengeluarkan biaya terhadap tetamu negara Islam ialah Ramlah binti al-Harith bin Tha’labah yang dikenali dengan Ummu Thabit. Rumah beliau mempunyai ruang yang besar dan dikelilingi dengan taman luas yang dipenuhi pohon tamar. Rasulullah saw. pernah mengurung Bani Quraizah yang berjumlah 400 orang atau lebih menurut sesetengah riwayat di dalam rumah tersebut.

Delegasi-delegasi yang pernah menghuni rumah tersebut antara lain:
- Delegasi Salman yang terdiri daripada tujuh orang
- Delegasi Bani Kilab yang berjumlah 13 orang
- Delegasi Bani Murrah yang terdiri daripada 13 orang
- Delegasi Bani Fuzarah
- Delegasi Bani ‘Abd Qays
- Delegasi Bani Tamim
- Delegasi Bani Hanifah
Kesemua delegasi tersebut menjadi tetamu di rumah itu pada masa yang sama.

iii. Institusi Khidmat Kesihatan

Dr. Lyth juga menyebutkan bahawa institusi khidmat kesihatan merupakan salah satu institusi yang berkaitan dengan masjid. Dan para sejarawan dalam bidang perubatan menganggap khemah yang didirikan oleh Rufaydah binti Ka’ab al- Aslamiyyah merupakan hospital pertama dalam Islam. Beliau mempunyai ilmu tentang perubatan dan mewakafkan dirinya untuk membantu umat Islam yang memerlukan. Ketika Sa’ad bin Mu’az r.a cedera dalam satu peperangan, Rasulullah s.a.w. membina khemah untuknya di kawasan masjid bagi memudahkan baginda sentiasa melawatnya. Semua ini membawa banyak manfaat dari aspek perundangan dan kemajuan:
1. Wanita dibolehkan mempelajari ilmu perubatan. Bahkan kadangkala hukumnya menjadi wajib dalam keadaan tertentu.
2. Keperluan untuk membina hospital-hospital atau pusat-pusat perubatan di masjid atau di kawasan sekitarnya.
3. Wanita dibolehkan bekerja di dalam sebarang bidang pengkhususan yang membawa manfaat kepada masyarakat.
4. Doktor wanita boleh mengubati pesakit lelaki sekiranya tidak wujud doktor lain atau mana-mana pakar yang lain.
5. Wanita dibolehkan mendalami ilmu kejururawatan. Contohnya Ku’aibah yang membantu saudaranya Rufaydah.
6. Doktor Muslimah atau pembantunya wajib memakai pakaian yang menutup aurat. Ia tidak bertentangan dengan tugas yang diberi.
7. Perlunya mengambil berat terhadap ketua turus tentera dengan diberikan perhatian khusus terhadapnya. Contohnya Sa’ad bin Mu’az.
8. Mengganjari doktor wanita yang cemerlang dan pakar. Rasulullah s.a.w. memberikan sejumlah harta rampasan perang Khaybar kepada Rufaydah sebagaimana ia diberikan kepada kaum lelaki.
9. Orang-orang Islam begitu maju dalam penubuhan hospital-hospital yang merangkumi pelbagai pengkhususan.

B) Pembiayaan Program Institusi Kemasyarakatan

Allah s.w.t. menyifatkan harta sebagai paksi serta asas kehidupan masyarakat Islam. Lantaran itu Islam meletakkan antara matlamat syara’ ialah memelihara harta. Islam juga memperundangkan hukum-hukum tertentu berkaitan dengan pemeliharaan harta seperti zakat, sedekah, wasiat, waqaf dan sebagainya. Perundangan ini tidak khusus kepada lelaki sahaja, malah turut melibatkan kaum wanita. Terlalu banyak contoh-contoh yang terkandung di dalam sirah mengenai keterlibatan wanita secara langsung di dalam memberi sumbangan material sama ada zakat, sedekah, hadiah pembebasan hamba dan lain-lain.

Bidang keilmuan untuk wanita
 Kedoktoran
 Kejururawatan
 Pendidik (cikgu)
 Perubatan tradisional
 Daiyah
 Kemahiran hidup (pakar masak, menjahit, menyulam, hiasan dalaman dan sebagainya)
Hakikatnya : hanya wanita dapat menjadi guru yang terbaik untuk orang wanita dalam apa –
apa bidang yg diceburi oleh mereka.

B. MASALAH BEKERJA BAGI WANITA DAN SOLUSI ISLAM TERHADAPNYA

Pandangan Islam Terhadap Wanita Dalam Bekerja (Beramal)

Bekerja bagi wanita adalah sebahagian daripada haknya, wanita berhak beramal sepertimana lelaki beramal kerana setiap manusia yang beramal akan mendapat pahala sesuai dengan apa yang mereka kerjakan.

(2:62) Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Shabiin

(3:30) Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan (di mukanya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya, ia ingin kalau kiranya antara ia dengan hari itu
ada masa yang jauh dan Allah memperingatkan kamu terhadap siksaNya dan Allah sangat Penyayang kepada hamba-hambaNya.

(9:10) Mereka tidak memelihara (hubungan) kerabat terhadap orang-orang mukmin dan tidak (pula mengindahkan) perjanjian dan mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

(67:1-2) Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Namun begitu, Allah tidak membebani seseorang di luar kesanggupannya sesuai dengan
firmanNya yang bermaksud:
(2:286) Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma'aflah Kami, ampunilah Kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

Syarat Dan Adab Bekerja
 Amal yg dilakukan diredhai Allah.
 Mendapat izin wali
 Sesuai dgn fitrah wanita
 Tidak sampai berkalwat dgn lelaki lain
 Pakaiannya tidak menyerupai lelaki
 Aktivitinya tidak menjadi pusat tarikan lelaki dan menimbulkan fitnah seperti terhadap
pakaian dan aroma perfumenya.

Perbahasan Sebelum Seseorang Wanita Keluar Bekerja

1. Sejauhmana keperluan wanita terhadap pekerjaannya.

Seorang wanita dibolehkan bekerja jika walinya tidak berupaya untuk mencari nafkah atau tidak cukup nafkahnya. Jika wanita tersebut bersuami, suaminya tidak berupaya untuk mencari nafkah atau tidak cukup nafkahnya. Wanita juga dibolehkan bekerja jika dia adalah janda apatah lagi jika ibu tunggal yang terpaksa menyara anak – anaknya. Namun jika wanita tersebut bekerja sekadar utk bermewah – mewah, sebagai alasan untuk keluar dari belenggu kehidupan rumahtangga, bosan dengan tugasan di rumah dan urusan mendidik anak - anak, maka mereka tidak digalakkan untuk bekerja bakan akan membawa fitnah yang besar jika dia terus berkerja.

2. Keutamaan pekerjaan bagi wanita

A) Aktivitinya dalam menuntut ilmu adalah yang paling utama jika posisi dirinya adalah
sebagai seorang anak.

B) Kegiatan di rumah sebagai isteri dan ibu

Sebagai seorang isteri, wanita perlu berusaha dengan bersungguh – sungguh untuk membahagiakan suaminya. Keredhaan suami akan menjadi kunci seorang wanita untuk memasuki syurga Allah. Oleh itu, seorang wanita perlu memberi layanan yang terbaik untuk suaminya dalam soal masakan, kekemasan rumah, kebersihan rumah dan dandanan diri. Isteri juga tidak boleh meminta daripada suaminya sesuatu yang di luar kemampuan suaminya.

Wanita juga perlu mempelajari cara mendidik anak dalam Islam dengan cara yang benar. Anak – anak perlu disiapkan untuk beribadah di masjid di awal usia kerana masjid adalah institusi yang terbaik untuk membentuk akidah dan akhlak anak – anak. Jadi, sebuah bilik di rumah boleh dijadikan ruang solat untuk memberi kesan yang lebih besar bagi anak dalam mengajar mereka beradab ketika di masjid nanti. Anak – anak juga perlu disiapkan untuk ke sekolah, jadi seorang ibu perlu memdedahkan kepada anak – anak dengan suasana yang bakal dialami di sekolah seperti membaca, mengira dan berkawan dengan anak – anak di sekitar rumahnya. Sebaiknya, setiap rumah mempunyai perpustakaan kecil untuk menumbuh minat membaca dan menimba ilmu anak – anak.

C) Kegiatan yang terlepas dari kaum lelaki

Wanita juga digalakkan menceburi bidang – bidang yang sangat memerlukan penglibatan wanita seperti pakar sakit puan, kedoktoran, pendidikan, dakwah dan kemahiran yang perlu dimiliki oleh wanita yang telah kita bincangkan sebelum ini.

Bantuan jika wanita berkerja

Apabila seseorang wanita terlibat dengan kerjaya, secara rasionalnya wanita tersebut tidak dapat melaksanakan tangungjawabnya dalam mendidik anak – anak dan mengurus rumah tangga dengan sempurna kerana masanya telah diperuntukkan untuk mencari nafkah tambahan untuk keluarga. Oleh hal yang demikian orang – orang yang berada di sekitarnya perlulah membantu wanita tersebut seoptima mungkin agar pendidikan anak – anak dan pengurusan rumah tangga tidak terabai dan memberi impak yang negatif terhadap sesebuah institusi kekeluargaan.

A) Masyarakat terutama pihak majikan dapat memberi jaminan kewangan seperti gaji yang berpatutan, masa rehat di hujung minggu serta cuti sakit atau bersalin, kemudahan kesihatan dan pinjaman kewangan. Sekiranya wanita tersebut mempunyai ramai anak, maka pihak majikan sebolehnya menukar wanita tersebut ke bahagian yang tidak memerlukan keterlibatan yang maksimum terhadap kerjanya supaya wanita tersebut tidak mengabaikan proses tarbiyah anak - anaknya.

B) Pengurusan rumah tangga dan pendidikan anak – anak bukan sahaja tugas isteri sahaja tapi tugas bersama suami isteri. Oleh itu suami sedar bahawa isteri juga mempunyai tugasan lain di luar rumah terutama dakwah ilallah dan sebolehnya membantu semampu mungkin isteri dalam mengurus rumah tangga seperti membantu menyediakan makanan, mengemas rumah, menghantar anak ke sekolah dan memperhatikan pendidikan anak – anak. Suami harus banyak bertolak – ansur dan berbincang dengan isteri agar semua urusan keluarga dapat berjalan dengan baik.

C) Anak – anak juga boleh diberi tugas untuk membantu kerja rumah seperti membasuh pinggan, mengemas tempat tidur, membasuh dan menggosok pakaian sekolah mereka sendiri. Anak juga perlu berusaha untuk menyenangkan hati ibubapa dan tidak membuat huru – hara dalam rumah seperti bergaduh sesama sendiri atau terlibat dengan gejala sosial yang tidak sihat. Namun begitu, ibubapa perlu menerangkan dengan baik kepada anak – anak tentang tanggungjawab mereka dan memberi kefahaman agama yang secukupnya agar anak – anak mampu berprestasi dengan baik dan menjadi anak yang dapat membahagiakan ibubapa. Kepimpinan melalui tauladan adalah pendidikan yang sangat berkesan untuk diamalkan dalam mendidik anak – anak kerana mereka banyak meniru apa yang dilihat berbanding yang didengar.

3. Jenis – jenis pekerjaan

A) Amal dakwah di jalan Allah

(9:71) Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Dapat dilihat kesepaduan kerjasama antara lelaki dan wanita dalam melakukan amal dakwah ke arah Islam dan pengukuhan hukum-hukumnya. Penjelasan di atas menunjukkan bahawa tidak syak lagi wanita Islam mempunyai peranan istimewa dan amat penting dalam melaksanakan amal dakwah bagi melengkapkan peranan kaum lelaki. Bahkan dalam sesetengah keadaan peranan mereka lebih penting, malah mengatasi peranan lelaki, terutama dalam bidang yang didominasi oleh kaum wanita. Ini kerana kaum wanita mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri dari sudut kesediaan, kemampuan, sifat-sifat keperibadian, kejiwaan dan perasaan yang berbeza daripada kaum lelaki.

Jelas bahawa kewajipan dakwah sama sahaja antara lelaki dan wanita. Semua hujah yang mewajibkan dakwah terpakai ke atas wanita. Semua hujah wajib amal jama`ie terpakai ke atas wanita. Kewajipan wala’ `ammah dan khassah juga wajib ke atas wanita. Hakikat masa kini menunjukkan bahawa penglibatan wanita dalam dakwah dan kerja-kerjakemasyarakatan amat penting, kerana wanita adalah salah satu dari sumber kekuatan Islam. Tidak menggunakan kekuatan ini adalah satu pembaziran ke atas kekuatan yang ada. Selain dari itu masuk Islam menggunakan wanita dalam usaha menentang Islam, malah melihat wanita sebagai pintu masuk paling penting dalam usaha merosakkan Islam, oleh itu kaum wanita mesti disedarkan. Dalam hubungan ini wanitalah yang paling sesuai menyedarkan wanita.

Masyarakat Islam terawal memberikan contoh yang praktikal mengenai peranan wanita di dalam dakwah. Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah umpamanya menjadikan rumahnya tempat tumpuan kaum lelaki di dalam menimba ilmu. Beliau begitu terkenal kerana keaktifannya di dalam memberi nasihat dan menyampaikan ajaran Islam di kalangan pelbagai qabilah pada zaman Nabi s.a.w. Baliau pernah diseksa dan dipenjarakan. Namun semangatnya tidak patah.
Menurut Zainab al-Ghazali di dalam bukunya yang berjudul Ila Ibnati, keadaan umat masa kini sangat memerlukan kaum wanita memainkan peranan yang aktif di dalam dakwah. Ini disebabkan penjajah Barat mengeksploitasi wanita di dalam menabur benih-benih kejahatan dan keruntuhan nilai-nilai akhlak dan kemanusiaan. Wanita Islam yang lemah pegangan agamanya serta cetek ilmunya akan terus menjadi alat propaganda syaitan di dalam melariskan kemungkaran yang ditajanya melalui media massa, sama ada media cetak mahupun media elektronik.

Menurut penelitian beliau, wanita adalah orang yang paling layak diketengahkan untuk menjalankan operasi dakwah di kalangan kaum sejenis mereka. Mereka lebih memahami tabiat, kedudukan dan permasalahan yang dihadapi kaum sejenis mereka. Dengan itu mereka lebih berupaya menembusi hati-hati mad’u dengan pendekatan yang bersesuaian serta lebih serasi dengan fitrah mereka.

Dengan penegasan oleh nas syarak mengenai kewajipan dakwah yang tidak membatasi gender, pengamalan wanita di awal Islam, kenyataan dan amalan wanita Islam kini tiada lagi alasan bagi wanita untuk tidak terlibat dalam kerja - kerja dakwah. Alasan untuk memfokuskan usaha mendidik anak di rumah tidak boleh lagi dijadikan hujah untuk tidak terlibat dalam kegiatan dakwah di luar rumah. Dalam hubungan yang sama amatlah songsang jika ada wanita yang tidak sedia terlibat dalam kegiatan dakwah di luar rumah dengan berbagai hujah syar`ie sedangkan dalam masa yang sama mereka bekerja di luar rumah dengan menjawat jawatan - jawatan kerajaan.

Medan-medan Dakwah

Dakwah bukan terbatas pada menyampaikan ceramah di masjid - masjid, memberi tazkirah di dalam liqa’ mingguan atau memberi syarahan di dalam suatu perhimpunan. Sebaliknya dakwah merangkumi usaha - usaha membentuk tingkah laku dan gaya hidup seseorang, membentuk manusia yang memiliki akhlak mulia, tutur kata yang baik, kasih sayang yang mendalam, persaudaraan yang jujur, kegigihan dalam bekerja, sabar ketika bencana, teguh setia menanggung suka dan derita.

Jelas kepada kita, medan dakwah cukup luas dan pelbagai. Setiap orang boleh dan berhak malah wajib memainkan peranan dalam mana - mana medan dakwah. Beliau bertanggungjawab menyesuaikan diri, kemampuan, kesesuaian masa, tempat, kebolehan serta kelebihan yang dimiliki untuk kerja-kerja dakwah. Seseorang wanita tidak harus memenjarakan dirinya di dalam permasalahan keluarga dan rumah tangganya yang sempit, sehinggakan seolah-olah rumah itulah sahaja dunianya, suami dan anak-anaknya sahajalah segala - galanya dalam hidup ini. Akhirnya dia menjadi seorang ukhti yang tidak mempunyai wawasan, tidak mengendahkan masa depan agama dan dakwahnya. Lama kelamaan dia menjadi wanita biasa yang larut di dalam masyarakat, lupa pada tanggungjawab serta cita-cita untuk membangunkan rumah tangga dan masyarakat Muslim yang soleh.

B) Jihad fi sabilllah

(29:6) Dan barangsiapa yang berjihad, Maka Sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (Tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.

(22:78) Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya.Dia telah memilih kamu dan dia sekali - kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, Maka Dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, Maka Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik- baik penolong.

Hakikatnya, suatu kerja tidak akan sempurna tanpa jihad (bersungguh - sungguh) yang sebenarnya. Jihad fisabilillah atau berjihad di jalan Allah bukan sekadar bertempur di medan perang, namun ia turut merangkumi jihad dalam melawan hawa nafsu, menegakkan kebenaran, membanteras kemungkaran, menjaga lisan dan berkorbolehan harta bahkan jiwa semata – mata kerana Allah. Hasil jihad akan dinikmati oleh mereka yang berjihad dan bukannya orang lain.

C) Pekerjaan rumah tangga
Jadi, perseimbangan antara tanggungjawab dakwah dengan urusan rumah tangga amatlah dituntut. Sebagai da’iah yang memiliki kesedaran yang mendalam tentang tanggungjawab, ukhti mestilah mengatur kehidupannya secara seimbang. Rumah tangga tidak harus diabaikan kerana dakwah dan kerja. Begitu juga sebaliknya dakwah dan kerja tidak harus dikorbankan kerana sibuk melayani suami serta kerenah anak - anak. Seorang wanita mesti memahami keutamaan bagi setiap perkara, masa dan keadaan.

Ketika anak - anak masih kecil, tumpuan mesti diberikan kepada mereka, didik mereka supaya menjadi pelapis yang bakal meneruskan risalah. Namun pada masa yang sama ukhti tidak boleh meninggalkan medan dakwah sepenuhnya atas alasan mendidik anak. Tindakan ini akan membawa kerugian kepada ukhti dari segi pendedahan, pengalaman dan pahala. Dalam membuat pengimbangan antara kegiatan dakwah dan urusan rumah tangga wanita mestilah benar-benar mengetahui takat kemampuan maksimum yang boleh atau mampu diberikannya kepada kegiatan dakwah. Dia juga mesti benar-benar tahu takat maksimum urusan rumah tangga yang boleh dikongsi dengan kegiatan dakwah. Dia mesti tahu takat yang kalau dilanggar rumah tangganya akan mengalami kemudaratan. Dia juga mesti tahu takat kegiatan dakwah yang kalau ditinggalkannya akan memudaratkan dakwah. Dalam menentukan kedua-dua takat ini wanita mesti jujur terhadap dirinya, keluarganya dan dakwah yang dipikulnya. Pertimbangannya juga akan dipengaruhi bantuan dan kerjasama suami.

D) Bidang – bidang yang memerlukan tenaga wanita.

Bidang – bidang yang memerlukan tenaga wanita adalah seperti guru, daiyah, doktor, jururawat dan bahagian lain yang turut diterokai oleh wanita. Hal ini adalah kerana, wanita lebih terbuka dalam menyatakan permasalahan yang dihadapi dengan kaum sejenisnya, lebih memahami penjelasan mereka, lebih selesa bersama mereka dan lebih mendalam keterikatan hatinya. Aurat wanita juga lebih terjaga apabila bersama wanita dalam melakukan sesuatu tugasan terutama dalam soal perubatan dan dapat mencegah berlakunya kes – kes penzinaan.

4 Kemestian menjaga kesinambungan tugas dakwah ilallah pada setiap pekerjaan yangdilakukan.

Dakwah Ilallah wajib berjalan dalam semua fasa kehidupan kita. Terdapat lima fasa yang ditekankan di sini iaitu :

A. Fasa kanak – kanak (6tahun – 12tahun) – pada fasa ini, kanak – kanak amat mudah menerima pelajaran dan dilentur, maka mereka perlu diajar untuk berkomitmen terhadap amal islam, mempelajari adab – adab Islam, menghafaz ayat – ayat Al – Quran dan hadith serta mengamalkannya.

B. Sebelum masuk universiti (13tahun – 20tahun) – pada fasa ini, remaja perempuan wajib mengikuti aktiviti – aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah, selalu memberi tazkirah dan terlibat dengan kegiatan sosial. Pada fasa ini, remaja tersebut mulai menumbuhkan rasa percaya diri, membina ukhwah dan belajar kemahiran hidup disamping menyebarkan dakwah kepada orang yang berada di sekelilingnya.

C. Fasa universiti – pada fasa ini, remaja tersebut tekun melakukan semua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti untuk kemaslahatan dakwah disamping tidak mengabaikan pencapaian akademiknya.

D. Fasa ibu rumah tangga – pada fasa ini, seorang isteri dan ibu amat penting mengurus rumah tangga dan mendidik anak – anak dengan tarbiyah islamiyah yang sebenarnya agar anak – anak yang tumbuh membesar dapat menjadi sosok yang hebat dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Cabaran yang bakal mereka hadapi jauh lebih besar daripada zaman kita, maka didiklah mereka dengan sebaik mungkin agar dapat mengharungi cabaran yang bakal mereka hadapi nanti.

E. Fasa pekerja – pada fasa ini, pekerja wanita tidak boleh terlalai dengan kesibukan tugas mereka di tempat kerja. Mereka perlu aktif mengikuti aktiviti luar yang dianjurkan oleh pejabat dan mewarnainya dengan nilai – nilai Islam agar pendapatan yang diperoleh adalah lebih barakah.

sumber : fiqh dakwah muslimah

No comments:

Post a Comment

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com