Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya :
"Wahai jiwa yang tenang. (QS. 89:27)
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. (QS. 89:28)
Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku (QS. 89:29)
dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (QS. 89:30)
(Surah al-Fajr (89) ayat 27-30)
Tafsirannya :
"Wahai jiwa yang tenang"
Asbabun Nuzul Surah al-Fajr ayat 27.
Buraidah
r.a menerangkan, bahawa ayat ini ditujukan kepada Saidina Hamzah r.a
yang gugur sebagai syuhada di Perang Uhud." (Hadis Riwayat Ibnu Abi
Hatim. Lihat Ibnu Katsir ; 6/312)
Bagaimana
Allah SWT memanggil kepada jiwa dengan panggilan yang lembut iaitu
wahai jiwa yang tenang. Roh para syuhada adalah jiwa yang tenang dan
diredai oleh Allah SWT. Saidina Hamzah r.a telah mati syahid di dalam
Perang Uhud, dalam hadis ada menceritakan keistimewaan roh para syuhada
Uhud sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a.
Ibnu
Abbas r.a. menjelaskan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW
bersabda,"Allah telah menjadikan roh saudara-saudaramu yang gugur di
medan Uhud berada di dalam rongga burung berwarna hijau yang berada
dipinggir sungai di syurga. Burung itu memakan buah-buahan syurga
kemudian bertengger di atas lampu-lampu yang terbuat dari emas yang
tergantung di bawah Arasy. Ketika mereka telah mendapat makanan,
minuman, dan tempat tidur yang menyenangkan, mereka berkata, 'Jika
saudara kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa-apa yang Allah
berikan kepada kita, mereka tidak akan meninggalkan jihad di jalan Allah
dan tidak akan lari dari medan perang." Lalu turunlah ketiga-tiga ayat
dari Surah Ali-Imran ayat 169-171).(Hadis sahih riwayat Hakim
diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmidzi)
Asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahuallah dalam tafsir Fi Zilalil Quran Surah al-Fajr ayat 27-30 menyatakan :
"Di
tengah-tengah suasan kiamat yang ngeri dan ditengah-tengah suasana
penyeksaan dan pembelengguan yang dahsyat dan diluar segala kefahaman
itu, tercetuslah suara panggilan dari al-Mala'ul- A'la menyeru orang
yang beriman :
"Wahai
jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh kepuasan dan
mendapat keredaan dari-Nya. Dan silalah masuk ke dalam jamaah para hamba
kesayangan-Ku. Dan silalah masuk ke dalam syurga-Ku."
Demikian
ia diseru dengan penuh mesra dan lemah lembut. "Wahai" ia diseru dengan
ciri kerohaniah dan penuh penghormatan. "Wahai jiwa" ia diseru dengan
memberi sanjungan dan ketenangan.
"Wahai jiwa yang tenang"
Dan ditengah-tengah suasana belenggu dan ikatan itu muncul kebebasan kesenangan dan kemewahan.
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan kepuasan dan mendapat keredaan dari-Nya"
Yakni
kembali kepada asal mulanya setelah berpisah dengan bumi dan bercerai
dengan dunia. Pulanglah kepada Tuhanmu kerana di antara Dia dan engkau
terdapat hubungan dan perkenalan yang kukuh. Kembalilah :
"Dengan kepuasan dan mendapat keredaan-Nya."
Ia diseru demikian lembut yang membuat suasana seluruhnya diselubungi kemesraan yang timbul balik, kepuasan dan keredaan.
"Dan silalah masuk ke dalam jamaah para hamba kesayangan-Ku"
Iaitu para hamba-Ku yang muqarrabin yang dipilih untuk mendapat darjat ini.
"Dan silalah masuk ke dalam syurga-Ku."
Di bawah naungan dan rahmat-Ku.
Jelas
terbayang rasa kasih mesra Ilahi yang mengusap jiwa-jiwa penghuni
syurga iaitu jiwa yang tenteram terhadap Allah dan jalan hidupnya,
terhadap qadak dan qadar di dalam kesenangan dan kesusahan, sama ada
dalam keluasan atau kesempitan, sama ada ia dikurniakan atau ditahan
kurnia, ia selama-lamanya tetap tenang, tenteram, tidak ragu-ragu, tidak
menyeleweng dan tidak teragak-agak di tengah jalan dan tidak gentar
pada hari kiamat yang ngeri.
Kemudian
ayat-ayat itu berlalu berturut-turut menyelubungi seluruh suasana
dengan keamanan, kepuasan , ketenteraman dan irama kata-kata yang
lemah-lembut di sekeliling pemandangan yang membayangkan rasa kemesraan,
hubungan yang dekat dan rasa ketenangan. Itulah syurga dengan
hembusan-hembusan bayunya yang nyaman dan menyegar menjenguk di
celah-celah ayat ini, dan di atasnya muncul tajali wajah ar-Rahman Yang
Mulia Maha Gemilang."
Sahabat yang dikasihi,
Jiwa
orang-orang mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT, yang beramal soleh
ketika di dunia dengan mendapat rahmat Allah SWT adalah termasuk di
dalam jiwa yang tenang dan bersih yang layak memasuki syurga Allah SWT
seperti jiwa para syuhada.
Oleh
itu beramal solehlah kita, jauhi maksiat dan dosa supaya kita termasuk
dikalangan mereka yang rahmati-Nya dan mempunyai jiwa yang tenang atau
nafsu mutmainnah dan akan dijemput untuk memasuki dan menikmati syurga
Allah SWT di hari akhirat nanti.
| LIKE LA KALAU SUKA ENTRI NI |
No comments:
Post a Comment