Saturday, January 31, 2009

Selalu dalam PERLINDUNGAN ALLAH


Nyatanya Allah ingin sekali memberi perlindungan 24jam kepada kita tanpa apa - apa bayaran. Lebih mudah dan murah daripada perlindungan takaful atau syarikat insuran yang lain. Di mana jua dan pada bila - bila masa, Allah siap untuk melindungi anda.

Jadi, apa tunggu lagi? Dapatkan PERLINDUNGAN ALLAH terutamanya dari tipu daya syaitan dengan HANYA BERDOA.

Kuburan…


Kebiasaannya, tatkala kita berbicara tentang topik kuburan, perkara biasa yang akan diperkatakan ialah pengalaman bertemu dengan hantu dan sebagainya. Kali ini, saya tidak ingin berbicara tentang itu, tapi pengalaman menarik saya di sebuah perkuburan Islam di sebuah IPT tempatan.

Sesuatu telah menggamit saya ke sana, kuburan di IPT. Lalu saya ke sana sendirian, tanpa teman. Tiada apa yang perlu ditakuti pada tempat bernama kuburan, yang perlu ditakuti ialah Allah, pencipta yang menghidupkan dan mematikan kita juga penghuni kuburan ini. Kedudukannya di atas bukit menyebabkan saya terpaksa meninggalkan beg kuliah yang berat di pertengahan jalan. Setelah beberapa minit mendaki jalan bertar, Alhamdulillah saya berjaya sampai ke sana.

Terkesima saya melihatnya, Subhanallah… sungguh cantik. Semua kubur diatur dengan cukup rapi dan dihiasi dengan pepohon bunga yang kembang mewangi, seperti taman bunga. Jika anda memandang ke bawah, anda akan melihat sebuah masjid yang berdiri gagah di hadapannya. Tenang dan damai… Andainya di dunia taman bunga cantik sebegini, maka tentu taman – taman syurga tak terkata cantiknya. Maka beruntunglah siapa yang dihadiahi Allah dengan syurgaNya.

Lalu saya memandang ke sekeliling kuburan itu. Kelihatan bukit – bukit lain yang turut dipenuhi dengan kuburan juga, tapi bukan kuburan Islam. Bagaimana ye nasib insan di dalamnya? Mungkinkah ianya salah satu lubang daripada lubang – lubang neraka? Atau mungkin, penghuni kuburan itu terpekik terlolong menahan hebatnya siksaan neraka? Mungkin juga mereka berasa dengki dengan kuburan Islam di bukit ini ?

Peristiwa itu menyebabkan saya rindu untuk kembali menemui Ilahi. Sesekali tertanya – tanya, layakkah saya untuk memasuki syurgaNya atau hanya layak dicampakkan ke nerakaNya? Lalu air mata ini tertumpah juga dari kolamnya. Kawan – kawan pula bagaimana ?

Solat kita, aurat kita, ketaatan kita kepada Allah, ibubapa dan para pendidik sudahkah cukup untuk menghantar kita ke syurga Allah atau nama kita hanya tersenarai dalam senarai hitam ke neraka Allah? Na’uzubillah.

Andai saya pergi dulu, jangan sekali – kali ditangisi pemergian ini, kerana saya pergi untuk bertemu kekasih hati. Doakan saya agar mencapai cita – cita ini. Jumpa kalian di sana, di syurga yang kekal abadi. InsyaAllah.

Tarikh : 13 Mei 2007

Bola Sepak ?


Petang itu, angin bertiup sepoi – sepoi bahasa. Kami sekeluarga tenang menghadap teh masing – masing sambil melayan fikiran sendiri.

“Ayah… boleh tak kalau Along nak tengok bola di stadium malam ni?” soal abang sulung ku memecahkan keheningan kami.

“Em… Alongkan dah nak PMR tak lama lagi, kalau nak tengok juga, tonton dalam televisyen je, ayah tak suka anak ayah keluar malam!” tegas ayah.

“Ala… kali ni je. Ibu… ayah… boleh la…” rayu Along.

“Keputusan adalah muktamad, sebarang surat menyurat tidak akan dilayan,” jawab ayah sebelum berlalu meninggalkan kami.

Aku memandang ibu dan tersenyum melihat keletah Along dan ayah.

Sebelum masuk tidur, Along mengingatkan aku untuk mengejutkannya pukul 3.00 pagi, katanya dia teringin melihat pemain bola sepak yang diminatinya beraksi di atas padang.

“Tengoklah…” jawabu acuh tak acuh sebelum masuk ke bilik.

Pagi itu aku menemani Along menunaikan menyaksikan perlawanan bola sepak Manchester vs Chelsea. Ada sesuatu yang menarik perhatianku pada perlawanan itu. Lalu kuperhatikan gelanggangnya, pemain - pemainnya, bolanya, jersinya dan gaya permainannya. ‘Apa yang menarik ye ?’

“Sejak bila pemain – pemain ni pakai seluar panjang, bukan ke mereka biasa pakai seluar pendek je?” soalan Along memangkas lamunanku.

“O… itulah perkara yang menarik perhatian adik tadi. Bagus la tu, Along. Menutup auratkan adalah wajib di sisi Allah. Sehebat mana pun kita beraksi, kita akan menang hanya dengan pertolongan dan izin Allah,” Jawabku.

“Corak permainan mereka pun nampak lebih mantap daripada sebelum ini,” ulas Along.

“Along, adik lapar la. Adik cari makanan dalam peti ais dulu ye,” ujarku sambil berlalu pergi.

“Adik ! Adik !” jeritan Along membuatkanku bergegas mendapatkannya.

“Ye…kenapa?” soalku tercungap – cungap kepenatan. Boleh lemah jantung dibuatnya.

“Tengok tu, mereka solat ramai – ramai atas padang. Kagumnya …” terang Along dengan rasa takjub.

“Ayah!! Ibu !!!” kini giliran aku pula yang terjerit – jerit memanggil ayah dan ibu.

“Adik… adik…adik mengigau ye,” ibu menepuk – nepuk bahuku.

Aku terkebil – kebil memandang ibu. “Ibu, tadi adik mimpi ye?” soalku.

“Ya, adik mimpi apa ye?” soal ibu memancing minatku.

“Adik mimpi orang main bola sepak pakai seluar panjang, pastu mereka semua solat atas padang, bu,” terangku bersungguh – sungguh.

Ibu memandang tepat pada jam swiss yang berada di tangannya. “Ok, sekarang dah pukul 5.15 pagi, apa kata adik bangun, solat tahajud dan doakan apa yang adik mimpikan menjadi kenyataan, subuh nanti kita jemaah sama – sama kat bilik solat ye, sayang,” cadang ibu lembut.

“Baik,” ujarku lalu terus berlalu ke bilik air untuk berwuduk.

Solat kali ini kurasakan kekhusyukan yang tidak terungkap dengan kata – kata. Saat tangan kuangkat, lalu lisanku berdoa, “Ya Allah, sampaikanlah salamku buat Rasulullah saw, ahlil baitnya serta sahabat – sahabat baginda. Aku memohon ampun padaMu Ya Allah, atas segala dosa - dosaku, kedua ibubapaku, guru – guru, ahli keluargaku dan muslimin serta muslimat di seluruh dunia. Kurniakanlah kami dengan hidayahmu, agar mimpiku hari ini akan menjadi kenyataan esoknya. Amin.” Tanpaku sedar ada sungai jernih yang mengalir di pipiku.

Azan subuh menggamit kami sekeluarga ke ruang solat. Suara ayah mengangkat takbir memecah keheningan pagi dan kami terus khusyuk dalam bacaan kalamNya. Alangkah indahnya hidup ini andai hidup berpaksikan ajaranNya.


Friday, January 30, 2009

Kun Fayakun

Apabila Allah berkata "Kun", maka semuanya pasti akan terjadi. Lalu, bagaimana memicu Allah mengatakan "Kun" kala kita menginginkan sesuatu, kala kita sesat di jalanan, kala kita kesempitan wang, kala anak tidak mendengar kata, kala sedang menduduki peperiksaan dan kala kita ditimpa musibah?

Jawapannya ialah doa yang sungguh - sungguh!!! Doa dan terus berdoa. Lalu Allah dengan kemurahanNya akan memakbulkan segala permintaan hambaNya. Filem Kun Fayakun akan membawa kita semua meyakini kekuasaan Allah yang mampu mengubah segala - galanya. Maha Suci Allah yang ditanganNya segala kekuasaan.

Saya amat mendoakan agar di Malaysia juga akan mempunyai filem - filem seperti ini. Filem yang mendekatkan kita kepada Pencipta kerana rakyat Malaysia sangat dahagakan nasihat dan contoh yang mengembalikan kita semua kepada nilai - nilai Islam.

Percaya atau tidak, sedikit sebanyak filem seperti ini akan mampu menjadi pemicu untuk melahirkan keluarga sakinah dan masyarakat yang tidak terlibat dengan gejala sosial, rasuah dan jenayah. Sama - sama kita doakan.

Mentari Pasti BERSINAR



Sesekali kita perlu duduk dan bertafakur sejenak. Mengenang suri tauladan paling utama, insan berqudwah hasanah yang menjadi panduan zaman berzaman. nsan yang hatinya cukup tulus dalam mentarbiyah umat ini.

Kecintaannya yang mendalam, memadamkan api kemarahan lantaran kejahiliahan dan kebodohan umatnya. Sepak terajang di Tha'if disambut dengan senyuman seorang ayah lalu diiringi doa. "Semoga ana - anak yang lahir dari kalangan mereka akan menjadi pembela Islam."

Di saat kita merasakan harapan terlalu tipis untuk seseorang berubah menjadi baik, tetapi baginda mencontohkan sesuatu yang luar biasa. Memberi sinar harapan ahawa esok mentari pasti bersinar walaupun pekat malam ini menutupi sinaran rembulan. Hasilnya, di saat ramai yang murtad setelah kewafatan Rasulullah saw, ternyata yang berdiri gagah di hadapan barisan perang adalah putera - putera Bani Quraisy dan Tha'if.

Dalam kita mentarbiyah anak - anak menjadi insan berguna, sesekali kita berputus asa dengan sikap mereka yang nakal dan keras kepala. Lantas kita melabelkan mereka sebagai budak nakal yang tiada ubatnya. Jarang sekali kita bersikap optimis lalu mendoakan perubahan yang positif pada diri mereka. Sedangkan doa seorang guru bakal mengubah diri anak didiknya, inikan pula doa ibubapa.

Sebesar mana pun kesalahan mereka, nasihatilah mereka dengan penuh kasih - sayang, didiklah mereka dengan keteladanan dan kesabaran. Mungkin, kesalahan itu juga berpunca daripada kita, maka kita perlu bersedia untuk berubah sebelum melihat anak - anak kita berubah menjadi baik. Berikanlah mereka harapan, bahawa kasih - sayang Allah tidak bertepi dan keampunan Allah itu sangat luas. Khabarkanlah kepada mereka dengan ganjaran syurga yang pasti dan azab neraka yang pedih. InsyaAlah, di suatu ketika nanti kita akan berbahagia melihat anak - anak kita sudah mampu menjadi permata berharga untuk umat ini.

"Ya Allah, ikhlaskanlah hati - hati kami dalam mentarbiyah anak - anak kami. Kurniakanlah kepada kami dan anak - anak kami hidayahMu agar kami tidak termasuk orang yang menzalimi diri sendiri. Permudahkanlah segala urusan kehidupan dan kematian kami, di dunia dan di akhirat kami. Amin."

Thursday, January 29, 2009

Sirah Nabawiyah


Tajuk Buku : Sirah Nabawiyah, Sejarah Lengkap Nabi Muhammad saw
Penulis : Abul Ali al-Hasani an-Nadwi
Penerbit : Mardhiah Press, Indonesia

"Kaum muslimin sekarang sangat memerlukan orang yang dapat mengembalikan kepercayaan diri mereka, kebanggaan mereka atas masa silam dan harapan kepada masa depan. Dan lebih memerlukan orang yang dapat mengembalikan keimanan mereka kepada agama ini, agama yang mereka pikul namanya tetapi tidak mengenal hakikatnya, agama yang mereka anuti lebih kerana keturunan daripada pengertian (pemahaman)" (Sayyid Quthb)

Anda pernah membaca buku sirah? Kalau belum, dapatkannya sekarang di kedai - kedai berhampiran. Jika sudah, buku ini menjanjikan kelainannya. Sirah Nabawiyah, Sejarah Lengkap Nabi Muhammad saw membawa anda menyusuri kisah hidup Rasulullah saw melalui peta sebenar tentang kedudukan sesuatu peristiwa. Jadi, anda dapat memahami secara jelas bagaimanakah kedudukan sebenar peristiwa tersebut.

Sirah Nabawiyah akan membawa anda dekat kepada suri teladan umat ini, memahami tugas dakwahnya seterusnya meneladani sifatnya dalam seluruh aspek kehidupan. Ia akan membawa anda mengenali jati diri seorang muslim, memahami peranannya seterusnya bangkit menegakkan kalimah Lailahaillah Muhammadrasulullah melebihi segala - galanya.

Cara Nabi MENDIDIK ANAK

Tajuk Buku : Cara Nabi MENDIDIK ANAK
Penulis : Ir. Muhammad Ibnu Abdul Hafidh Suwaid
Penerbit : Al-I'tisom Cahaya Umat, Jakarta Timur

"Sungguh telah ada bagimu dalam diri Rasulullah saw itu suri teladan yang baik." (Al-Ahzab:21)

Sungguh, buku ini membawa kita kembali kepada suri teladan yang paling utama, Rasulullah saw dalam mendidik anak - anak. Bagaimana insan agung ini berinteraksi dengan anak - anak? Semuanya terjawab dalam buku ini.

Walaupun banyak buku panduan pendidikan anak - anak terutama dari Eropah membanjiri negara kita, namun buku yang mengetengahkan teladan Rasulullah saw ini akan memberi anda sesuatu yang tidak mungkin didapati dalam buku lain iaitu sisi akhlak Islami yang pasti menjawab segala permasalahan sosial yang merumitkan.

Jadikan buku ini panduan hidup kita semua untuk mendidik diri dan anak - anak. Semoga anak kita bukan sekadar cemerlang di dunia tapi turut cemerlang di akhirat. Amin.

Niat yang IKHLAS


Bismillahhirrahmanirrahim.

Dari Amir al-Mukminin Abu Hafs Umar Ibn Khattab ra, katanya: "Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Setiap amalan itu dinilai dengan niat dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa berhijrah kerana dunia yang ia cari atau wanita yang ingin dinikahi, maka ia akan mendapat apa yang ditujui" (HR Bukhari & Muslim)

Lalu, saya menyeru diri ini dan rakan pembaca untuk mengikhlaskan niat kita dalam apa sahaja kerja kita di dunia ini. Ikhlas dalam beribadah, berkerjaya, mengurus rumah tangga, mendidik anak - anak dan berkongsi dalam blog ini. Semoga dengan niat yang ikhlas, Allah membantu segala usaha kita terutama dalam mendidik "PERMATA UMMAT INI" beserta balasan SYURGA di akhirat sana. InsyaAllah.

"Maka Ya Allah, kurniakanlah kami hati - hati yang ikhlas dalam melangkah di atas jalan menuju SYURGAMU."

Jom baca ini juga ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Anda Dihargai... Terima Kasih :)

Siapakah Penulis Yang Baik?

Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT

Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com